Kebelakangan Ini Banyak Berita Menakutkan, Bagaimana Untuk Terangkan Pada Si Kecil?

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Diterbitkan pada 18/03/2020
Share now

Menonton siaran berita semasa adalah satu kebiasaan yang dilakukan oleh kebanyakan individu dewasa. Namun adakah kandungan berita yang disajikan sesuai untuk tontonan kanak-kanak?

Kandungan berita 

Berita, secara umumnya bukanlah satu perkara yang menyeronokkan sepanjang masa. Ia cenderung mengandungi isu kematian, keganasan mahupun bencana alam sama ada di dalam mahupun luar negara. 

Bermula jam 7.30 malam hingga 9 malam, adalah waktu biasa saluran penyiaran televisyen (tv) akan menyiarkan berita. Pada waktu itu juga adalah masa untuk satu keluarga berkumpul beramai-ramai di depan kaca tv.

Selalunya selagi belum habis berita, ‘penguasaan’ siaran tv akan berada di bawah kawalan individu dewasa, iaitu ibu bapa. Selepas tamat siaran berita semasa, barulah hak menukar saluran tv akan diberikan kepada anak-anak.

Kesesuaian kandungan berita

Ini bermakna, peratusan untuk anak-anak turut serta menonton siaran berita adalah tinggi. Tetapi yang menjadi persoalannya, adakah kandungan berita semasa yang disiarkan, sesuai untuk tontonan anak-anak?

Jika tidak, apakah ia merupakan satu tanggungjawab ibu bapa untuk memberi kefahaman kepada anak-anak mengenai kandungan berita yang ditonton? Pada masa bilakah sesuai untuk ibu bapa memainkan peranan tersebut?

Apatah lagi, kanak-kanak adalah 1 peringkat usia di mana mereka lebih mudah terpengaruh dengan apa yang didengar dan dilihat. Sudah tentu perkara sebegini harus menjadi kebimbangan buat setiap ibu bapa. 

Apa yang harus dilakukan?

Atau anda sebagai ibu bapa sebenarnya tidak pernah sedar mengenai implikasi yang mungkin berlaku ke atas si kecil kesan daripada kandungan berita yang ditontonnya?

Tidak mengapa, kami di Hello Doktor akan membantu anda untuk lebih memahami mengenai isu berbangkit. 

Berikut adalah antara beberapa perkara yang perlu dilakukan dalam memastikan anak anda bersedia dengan berita yang ditontoni mereka.

  1. Mencecah usia 7 tahun

Si kecil mungkin tampak bersedia dan boleh menerima apa yang ditontonnya. Namun pada hakikatnya, usia yang paling sesuai adalah apabila mereka sudah memasuki 7 tahun.

Ini kerana mendedahkan anak di bawah usia 7 tahun, walaupun hanya sekadar berita ringan, tapi ia mungkin boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak.

Lebih membimbangkan jika maklumat yang dikongsikan mungkin boleh mendatangkan kesan traumatik.

Kanak-kanak pada usia tersebut mudah mengalami kesukaran untuk membezakan antara apa yang sebenarnya berlaku dan apa yang palsu, apa yang dekat dan apa yang jauh, serta apa yang berkemungkinan untuk berlaku dan apa yang sangat mustahil untuk terjadi.

Dalam erti kata lain, mendedahkan anak kepada kandungan berita adalah sama seperti pendedahan kepada medium lain seperti gajet.

Selain memberikan bimbingan daripada segi konteks, anda perlu menentukan sama ada anak mampu mengawal; emosi dan fizikal.

  1. Batasan konteks

Sebenarnya, bukan mudah untuk mengawal apa yang dilihat atau didengar oleh seorang kanak-kanak. Di rumah, mungkin anda boleh melindungi mereka daripada berita yang tidak bersesuaian.

Tetapi bagaimana pula ketika di luar? Masih terdapat kemungkinan mereka boleh mendengar tajuk utama berita daripada siaran radio atau perbualan individu sekeliling mereka mahupun mengetahuinya daripada rakan-rakan di sekolah.

Jika perkara tersebut berlaku, cuba untuk tentukan apakah yang mereka ketahui dengan bertanyakan soalan.

Dalam masa yang sama, elakkan daripada memberikan penerangan lanjut kerana ia cenderung untuk menyebabkan mereka keliru atau berasa lebih terancam.

Sekiranya ibu bapa perlu memberikan penerangan kepada anak, pastikan anda menjelaskan kepada mereka tentang aspek keselamatan dan siapa yang boleh dipercayai.

Setiap maklumat yang anda kongsikan akan memberi kesan kepada mereka. 

Sebagai contoh, mereka tidak perlu mengetahui bahawa ribut taufan boleh menyebabkan kematian. Namun apa yang mereka perlukan adalah mengetahui keadaan itu tidak berlaku di kawasan perumahan anda. 

Tidak perlu untuk berkongsi terlalu banyak maklumat. Pada usia seawal itu, anak anda hanya perlu diyakinkan bahawa mereka akan berada dalam keadaan selamat. 

  1. Contoh terbaik

Berita adalah seperti makanan. Setiap makanan yang dimakan harus dihadam sebaiknya sebelum boleh ditelan. Begitu jugalah dengan berita. Ia tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa pemahaman yang betul.

Jika sewaktu anda menyemak berita di telefon atau di akhbar, mungkin anda boleh berkongsikan bersama si kecil. Katakan kepada mereka bahawa melalui pembacaan berita, ia membantu anda untuk lebih memahami apa yang berlaku di seluruh dunia.

Anda boleh mengaitkan dengan apa yang disukai oleh anak anda.

Sebaiknya, ketika perkongsian dilakukan, pastikan si manja tidak melakukan sebarang perkara lain. Ia adalah untuk memastikan mereka fokus dan faham mengenai apa yang anda katakan.

Jika tidak, mereka mungkin akan membesar dengan tabiat menerima sesuatu berita tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu. 

  1. Anak memerhatikan anda

Ibu bapa perlu sentiasa ingat setiap apa yang dilakukan akan diperhatikan anak-anak, malahan mereka mungkin menirunya. Bukankah anda adalah cerminan kepada anak-anak

Sekiranya ada isu yang mungkin menyebabkan anda berasa marah, seperti berita seorang kanak-kanak menjadi mangsa penderaan sehingga berada dalam kritikal dan si kecil bertanyakan apa yang menyebabkan anda marah, jelaskan seperti ini kepada anak.

Ibu bapa boleh katakan kanak-kanak tersebut telah disakiti dan dia adalah seseorang yang kita tidak kenali. Pastikan anak mengetahui punca anda marah bukanlah disebabkan mereka. 

Akhir kata

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan penting sebagai gate keeper kepada setiap maklumat yang diterima oleh anak-anak. Tanggungjawab anda di sini adalah untuk memastikan setiap maklumat negatif ditukar kepada sesuatu yang mempunyai unsur positif. 

Elakkan daripada membiarkan anak diselubungi rasa trauma atau ketakutan, ia cenderung untuk menjejaskan tumbesaran mereka. 

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga: