Buat Pasangan Yang Sedang Hangat Bercinta, Ketahui Baik & Buruk Kahwin Muda!

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Cinta itu indah. Ia merupakan anugerah yang tiada nilai jika hendak dibandingkan dengan segala perasaan yang wujud di dunia ini. Namun dalam masa yang sama, ia juga buta dan membutakan pasangan merpati sejoli di luar sana. Gara-gara cinta, ada pasangan yang sanggup kahwin muda tanpa berfikir masak-masak!

Adakah ia satu perkara yang normal?

Buat anda yang tertanya-tanya, pasangan suami isteri yang dianggap kahwin muda adalah mereka yang berusia 25 tahun ke bawah.  Di negara kita, ada juga remaja yang berkahwin dengan pilihan hati masing-masing semasa berusia belasan tahun lagi. Persoalannya, adakah ia satu perkara yang boleh dianggap normal?

Menurut pandangan mana-mana agama sekalipun, tidak salah jika individu ingin berkahwin awal. Bahkan, ia lebih baik kerana anda dapat mengelakkan daripada gejala sosial seperti seks bebas dan hamil luar nikah. Namun, perlu diingatkan bahawa ianya bukan merupakan satu trend yang boleh diikuti oleh setiap golongan muda di luar sana, ya? 

Ia memerlukan persediaan & pengorbanan

Pasangan bercinta di luar sana perlu tahu bahawa perkahwinan adalah satu perkara yang perlu difikirkan masak-masak. Ia merupakan satu keputusan terbesar dalam hidup seseorang kerana ia akan mengubah gaya dan cara hidup anda buat selama-lamanya!

Cuba anda bayangkan, kediaman atau kenderaan anda yang sebelum ini dimiliki oleh anda seorang, perlu dikongsi bersama pasangan anda pula. Adakah anda sudah bersedia untuk tinggal sebumbung, makan sepinggan dan tidur sekatil dengan individu yang bakal hidup bersama anda untuk sepanjang hidup?

Bukan itu sahaja, anda juga perlu mengorbankan sesuatu semata-mata untuk kesenangan anda dan pasangan. Sebagai contoh, anda mungkin perlu menangguhkan atau melupakan sahaja niat anda untuk melanjutkan pelajaran kerana perlu setia menemani suami atau isteri. Jadi, fikirkan semula, ya?

Kewangan perlu stabil

Ramai orang cakap bahawa perkahwinan memerlukan rasa cinta dan kasih sayang yang mendalam kepada pasangan. Ya, memang betul. Tetapi, adakah itu sudah mencukupi? Hakikatnya, yang lebih penting buat pasangan yang sudah berkahwin adalah wang ringgit!

Selepas sahaja seseorang individu itu lulus peperiksaan akhir sekolah seperti Sijil Pelajaran Malaysia di negara kita, sudah tentu mereka memerlukan masa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma atau ijazah sebelum mendapatkan pekerjaan yang terbaik.

Jadi, adakah ini masa yang sesuai untuk berkahwin? Tidak. Sebaiknya, habiskan belajar ke menara gading terlebih dahulu, mengikut kemampuan anda. Selepas itu, cari kerja yang sesuai dan stabil sebelum memutuskan untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Risiko penceraian

Orang dahulu berkahwin untuk sehidup semati bersama pasangan, tetapi zaman kini terlalu banyak kes penceraian. Ini kerana pasangan sekarang banyak yang kahwin awal dan sudah tentu mereka kurang dari segi ilmu rumah tangga. 

Selain itu, kecenderungan untuk mengikut nafsu, hati dan perasaan sambil mengabaikan akal fikiran yang dianugerahkan kepada kita turut menjadi punca perpecahan suami dan isteri. Ini adalah sama sekali perakra yang ingin kita elakkan.

Konklusinya, tidak salah untuk kahwin awal kerana ia adalah hak individu. Pun begitu, anda perlu tahu setiap baik dan buruknya. Jika anda sudah bersedia untuk berkorban, sanggup berdepan dengan risiko penceraian tinggi serta sudah stabil dari segi kewangan, maka tiada penghalang untuk anda berkahwin. Jika tidak, jangan biar cinta itu membutakan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut