backup og meta

Ibu Bapa Tunggal: Bagaimana Meneruskan Kehidupan

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2019

    Ibu Bapa Tunggal: Bagaimana Meneruskan Kehidupan

    Kehidupan itu adalah satu anugerah. Ada masanya gembira dan ada ketikanya duka menjelma. Tetapi dalam masa yang sama, anda pasti bersetuju bahawa setiapa apa yang berlaku itu merupakan satu cabaran; cabaran untuk meneruskan kehidupan. Apatah lagi buat individu yang bergelar ibu bapa tunggal. Berikut adalah tip bagaimana untuk ibu bapa tunggal meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

    Tip untuk meneruskan kehidupan:

    Menjaga diri

    Ia merupakan satu aspek penting dan utama yang sering dipandang mudah dan dianggap sebagai perkara yang remeh. Jika anda tidak dapat menjaga diri anda dengan sebaik mungkin, bagaimana untuk anda dapat menjaga kesejahteraan anak anda? Tiada siapa inginkan perpisahan, jika anda ingin bersedih, teruskan. Ambil masa untuk anda bertenang. Tetapi dalam masa yang sama, cari kembali kekuatan untuk diri dan anak-anak anda.

    1. Terima ketentuan

    Percayalah setiap yang berlaku ada kebaikan yang menanti. Terima keadaan dan nilai sebagai ibu bapa tunggal. Ubah dan sesuaikan tanggungjawab dan peranan keluarga anda dengan keadaan semasa. Cuba untuk memikirkan apa cabaran yang mungkin anda hadapi dan persediaan yang perlu dilakukan. Dapatkan sokongan dari keluarga dan rakan, jangan mengasingkan diri.

    1. Kaunseling

    Jika anda merasakan anda perlu untuk mendapatkan sesi kaunseling atau terapi. Ia bukan tanda sebagai tanda anda lemah tetapi anggaplah sesi kaunseling ini untuk membantu anda lebih kuat dan tabah. Seandainya anda merasakan anak anda juga memerlukan kaunseling, pastikan anda membawa mereka untuk mendapatkan kaunseling.

    1. Berkeyakinan

    Tingkatkan keyakinan diri dan keluarga anda walaupun kini keluarga anda tidak lengkap seperti keluarga. Bina keyakinan diri sebagai ibu bapa tunggal dan juga sebagai sebuah keluarga baru. Setiap individu dalam keluarga anda berhak untuk meningkatkan keyakinan diri atau mengendalikan situasi ini dengan cara yang tersendiri, selagi ia tidak mendatangkan mudarat.

    1. Memaafkan

    Sentiasa menasihati anak-anak anda untuk bersikap memaafkan anda dan juga bekas pasangan anda untuk setiap apa yang berlaku. Ia adalah satu proses berterusan. Katakan kepada anak-anak anda apa yang berlaku bukan satu pengakhiran kehidupan tetapi permulaan untuk satu kehidupan baru.

    1. Meluangkan masa

    Bagi anak-anak yang berdepan dengan masalah perpisahan dan penceraian antara ibu bapa, sesungguh mereka memerlukan perhatian dari anda. Cuba untuk luangkan masa sekerap mungkin dengan mereka. Lakukan sebarang aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan anda bersama anak-anak, atau anda mungkin boleh melakukan aktiviti yang tidak pernah anda lakukan bersama anak-anak anda.

    1. Bukan salah mereka

    Katakan kepada mereka, bahawa perpisahan atau penceraian yang berlaku antara anda dan bekas pasangan, bukan salah mereka. Ini kerana kanak-kanak sering kali akan menyalahkan diri mereka untuk segala yang berlaku. Sebagai contoh, “Mama berpisah dengan Papa kerana saya telah melakukan kesalahan”. Ia adalah bebanan yang tidak harus dipikul oleh mereka. Sentiasa yakinkan kepada mereka bahawa anda tidak akan pernah meninggalkan mereka walau apapun yang berlaku, sekali pun anda terpaksa menipu. Ini adalah untuk mengembalikan keyakinan dalam diri mereka.

    1. Disiplin

    Jangan kerana rasa bersalah atas penceraian yang berlaku, anda membiarkan anak-anak anda melakukan apa sahaja yang mereka suka. Sebaliknya, tetap mengawal dan mendisiplinkan anak-anak anda. Lebih-lebih lagi tanggungjawab anda sebagai ibu bapa tunggal bukanlah satu perkara yang mudah dan boleh dipandang remeh. Dalam masa yang sama, ajarkan anak-anak anda untuk menjadi lebih berdikari jika mereka sudah cukup dewasa untuk menjaga diri mereka, seperti mengemas bilik tidur, mencuci pakaian dan pinggan mangkuk yang sudah dipakai mahupun membantu membawa keluar sampah ke luar.  

    1. Rutin

    Wujudkan rutin harian antara anda dan anak-anak. Jika katakan anak anda masih kecil dan bersekolah, mungkin anda boleh buat rutin untuk makan malam bersama, dan membaca buku bersama anak setiap kali sebelum tidur. Ciptalah rutin yang bersesuaian dengan anak dan anda dan dalam masa yang sama dapat mengeratkan hubungan antara anda dan anak-anak.

    1. Berbincang

    Untuk meneruskan kehidupan, apatah lagi sebagai ibu atau bapa tunggal, jangan pernah terlupa untuk meluangkan masa dengan anak-anak anda, berbincang tentang perubahan yang akan berlaku berikutan perpisahan atau penceraian anda bersama pasangan. Berlaku jujur dan biarkan anak anda mengetahui apa yang berlaku di sekeliling mereka seandainya mereka sudah cukup dewasa untuk memahami. Dan pastikan anda memberitahu kepada anak anda bahawa kasih sayang anda takkan pernah berubah terhadap mereka.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel berikut:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 05/12/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan