backup og meta

Anak Mengadu Sakit Gigi Sebab Berlubang? Ini Cara Mencegah Gigi Anak Rosak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/09/2020

    Anak Mengadu Sakit Gigi Sebab Berlubang? Ini Cara Mencegah Gigi Anak Rosak

    Alamak! Gigi anak berlubang dan rosak? Apakah punca gigi berlubang yang mungkin tidak anda sedari? Jom selidiknya dan ketahui cara pencegahannya.

    Masalah gigi anak berlubang

    Dental caries atau lebih mudah dipanggil sebagai masalah gigi berlubang merupakan antara masalah normal yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tidak kira individu dewasa mahupun kanak-kanak.

    Tetapi, masalah ini lebih kerap dialami oleh kanak-kanak, khususnya mereka yang menyusu botol. Pastinya ia mendatangkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa jika anak anda mengalami masalah gigi berlubang, bukan?

    Cara cegah  gigi anak berlubang

    Ilmu mengenai penjagaan gigi adalah sangat penting. Jadi perkara pertama sekali adalah untuk memastikan bahawa anda juga mementingkan aspek penjagaan gigi dan kesihatan oral anda terlebih dahulu.

    Bagaimana gigi berlubang terjadi? Masalah ini boleh berlaku apabila bakteria dalam plak memetabolisma karbohidrat, yang akhirnya menghasilkan asid yang mengurangkan pH dalam rongga mulut. 

    Asid ini bertindak ‘mencairkan’ (demineralization) struktur gigi anda. Maka terjadilah gigi berlubang.

    Berikut adalah antara beberapa tip untuk mencegah gigi berlubang yang boleh anda amalkan:

    1. Penjagaan awal

    Sama ada anda memilih untuk menyusukan bayi anda secara eksklusif ataupun menggunakan susu botol, adalah penting untuk anda memberikan perhatian dalam aspek penjagaan gigi bayi anda dengan baik. Ini boleh elakkan punca gigi berlubang.

  • Awal kelahiran hingga usia 12 bulan – lap mulut dan gusi bayi anda dengan perlahan-lahan menggunakan kain lap yang bersih. Sekiranya gigi pertama bayi anda sudah kelihatan, anda boleh menggunakan berus gigi bayi yang lembut.
  • 12 hingga 36 bulan – beruskan gigi anak anda 2 kali sehari selama 2 minit. Gunakan sedikit ubat gigi berfluorida sehinggalah anak anda berusia 3 tahun. Sebaiknya berus gigi anak anda selepas sarapan pagi dan sebelum tidur.  
  • 9-cara-cegah-gigi-anak-berlubang

    2. Tiada susu botol

    Sememangnya sudah menjadi kebiasaan ibu bapa untuk membenarkan anak tidur sambil menyusu botol.

    Tahukah anda perbuatan ini bukan sahaja meningkatkan risiko masalah gigi kepada anak anda, tetapi turut mendedahkan anak anda kepada masalah jangkitan telinga dan tersedak?

    3. Bukan pengganti puting

    Terdapat sesetengah ibu bapa yang memilih untuk memberikan anak mereka menghisap botol susu bagi menggantikan penggunaan puting, kerana menyangka ia adalah lebih baik berbanding puting.

    Jangan pernah menggunakan botol susu sebagai pengganti kepada puting bagi penggunaan tempoh waktu yang panjang. Sekiranya anak anda masih mahukan botol susu, sebaiknya isi botol dengan air kosong sahaja. 

    4. Cawan biasa

    Sebolehnya, apabila anak anda mencapai usia seawal setahun, cuba untuk melatihnya minum menggunakan cawan minum yang biasa. Mengajar anak untuk minum dengan cawan biasa dapat mengelakkan kecenderungan cecair daripada terkumpul di sekitar gigi.

    5. Air kosong

    Sekiranya anak anda sudah terbiasa dengan tabiat untuk menghisap botol susu untuk tempoh yang panjang, terutamanya ketika waktu hendak tidur atau dalam perjalanan jauh di dalam kereta, pastikan anda hanya mengisinya dengan air kosong.

    Elakkan daripada memberikan air manis mahupun susu. 

    punca gigi berlubang

    6. Hadkan makanan manis

    Sama ada individu dewasa mahupun kanak-kanak, pasti tidak menolak makanan manis, bukan? Sudah tentu ia boleh menjadi punca gigi berlubang.

    Hadkan jumlah pengambilan makanan manis untuk dimakan oleh anak anda, seperti gula-gula, biskut, kerepek kentang dan segala makanan yang tinggi kandungan gula. 

    7. Jus buah-buahan

    Jus segar yang diperah daripada buah-buahan sememangnya baik. Tetapi American Academy of Pediatrics (AAP) tidak mengesyorkan pemberian jus kepada bayi di bawah usia 6 bulan.

    Jika ingin memberikan jus bagi anak anda yang berusia di antara usia 6 hingga 12 bulan, hadkan kepada 4 auns sehari dan perlu dicampurkan air, dengan kiraan separuh air dan separuh jus.

    Untuk kanak-kanak berusia 1 hingga 6 tahun pula, pemberian jus perlu dihadkan dalam jumlah 4 hingga 6 auns sehari.

    8. Hindari produk pemutihan

    Terdapat kajian yang mengkaji mengenai kesan penggunaan produk pemutihan kepada kanak-kanak.

    Tetapi apa yang pasti, penggunaannya produk seperti itu cenderung menyebabkan gigi anak anda menjadi nipis dan mendatangkan kesan tindak balas yang berbeza berbanding kesannya kepada enamel gigi kekal.

    Sebaiknya elakkan sebarang produk pemutihan bagi kanak-kanak di bawah usia 12 tahun.

    9. Rawatan berkala

    cara mencegah gigi berlubang

    Sebaiknya biasakan anak anda untuk berjumpa dengan doktor gigi. Ia boleh dimulakan seawal ketika anak anda berusia 12 bulan

    Langkah penjagaan elak gigi anak berlubang

    Masalah berkaitan gigi seperti gigi berlubang mahupun gigi reput boleh dicegah daripada berlaku kepada anak-anak anda.

    Cara yang paling penting adalah dengan memastikan langkah penjagaan yang betul diamalkan bagi mencegah sebarang kerosakan daripada berlaku.

    Jangan ambil mudah soal penjagaan gigi anak-anak anda. Mulakan seawal mungkin. Dengan langkah penjagaan yang betul, gigi anak anda akan dapat tumbuh dengan sihat dan baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 16/09/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan