Pernahkah anda memandang anak anda dan berasa mereka sebenarnya kelihatan takut dan teragak-agak untuk pergi ke sekolah atau taman permainan bersama rakan mereka? Anda mungkin mengambilnya sambil lewa sahaja dan menganggap anak anda cuma terlalu malu atau terlalu malas. Namun begitu, anda sebenarnya perlu tahu bahawa terdapat kemungkinan anak anda menjadi mangsa masalah sosial yang sangat berbahaya iaitu buli.
Bagaimana mengetahuinya?
Gejala buli akan mengakibatkan perasaan malu yang sangat teruk buat mangsa terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Disebabkan itu, anak anda mungkin hanya akan berdiam diri dan melaluinya seorang diri. Ibu bapa seharusnya lebih peka terhadap kondisi anak dan mempelajari petanda jika anak anda dibuli. Berikut merupakan 5 petanda biasa yang menunjukkan bahawa anak anda menjadi mangsa buli:
- Kecederaan seperti lebam, luka, calar dan lain-lain: Jika anak anda kerap dan banyak mengalami kecederaan abnormal, ia mungkin disebabkan mereka dibuli. Ibu bapa perlu memberi perhatian lebih terhadap kecederaan dalaman mereka seperti sakit perut atau kepala. Ini mungkin lebih sukar untuk dikesan namun mendatangkan kesan sampingan yang lebih teruk.
- Kehilangan barangan hak milik: Kanak-kanak sememangnya sangat mudah kehilangan barangan, namun jika majoriti barangan hak milik mereka kerap rosak atau hilang, anda perlu berwaspada kerana anak anda mungkin menjadi mangsa buli.
- Perubahan tingkah laku: Anak anda mungkin kerap terlepas waktu makan, sukar tidur atau gagal mengawal emosi. Selain itu, anak anda mungkin berkeras tidak mahu ke tempat awam seperti sekolah atau taman permainan.
- Keputusan teruk di sekolah: Anda perlu risau jika gred anak anda di sekolah merudum dengan teruk.
- Tidak mempunyai ramai rakan: ini tidak semestinya tepat kerana ada kanak-kanak yang memang bersikap pemalu. Namun begitu, anak anda mungkin akan mempunyai rakan yang sangat sedikit jika dia merupakan seorang mangsa buli.
Apakah yang perlu dilakukan?
Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentu sekali bukan penyelesaiannya. Jika anak anda tidak mahu berkongsi masalah mereka, anda boleh memerhatikan reaksi mereka dengan bertanyakan soalan yang melibatkan topik. Contohnya, anda boleh bertanya di mana mereka meletakkan barangan peribadi mereka dan jika mereka tidak menjawab, teruskan bertanya jika ada individu lain yang mencuri barangan tersebut.
Ketika ini, perhatikan riak wajak, bahasa tubuh serta nada suara mereka. Jika anak anda sudah bersedia untuk bercerita, pastikan mereka selesa dan percaya dengan anda. Jangan sesekali memarahi mereka kerana ini bukanlah salah mereka. Sebaiknya, biarkan mereka meluahkan perasaan mereka seterusnya menenangkan dan puji mereka kerana berani menceritakan perkara yang betul kepada anda.
Selain itu, anda juga boleh berbincang dengan cikgu di sekolah anak anda atau terus berjumpa pengetua sekolah bagi membincangkan langkah intervensi yang boleh dilakukan untuk membendung gejala buli ini. Jika gejala ini masiih berlaku dan anak anda terus menjadi mangsa, anda seharusnya berjumpa dengan ibu bapa pembuli untuk berbincang.
Akhir sekali, ajar anak anda bagaimana untuk melindungi diri sendiri. Ajar mereka untuk mendapatkan bantuan daripada individu dewasa jika mereka berasa terancam dan selalu berada dalam kumpulan yang besar untuk mengurangkan risiko ancaman. Sebagai ibu bapa, sentiasa ingatkan anak anda akan perkara ini sebelum keluar ke mana-mana.
Buli dan peristiwa traumatik lain turut memberi kesan terhadap kewujudan mogok sekolah oleh budak sekolah yang terbabit. Persekolahan merupakan satu tanda tempoh peralihan dalam kehidupan setiap individu untuk mengembangkan rasa berdikari dan menyesuaikan diri dengan peringkat berpisah daripada ibu bapa dan berjumpa dengan individu baru. Tidak dinafikan, terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi budak sekolah dalam kehidupan bersekolah. Sesetengah cabaran adalah mudah untuk diselesaikan, namun ada juga yang sukar. Jika masalah tersebut dibiarkan tanpa sebarang penyelesaian, perasaan negatif seperti ketakutan, kemurungan, dan kegelisahan mungkin akan wujud dari semasa ke semasa, yang akhirnya mewujudkan gangguan psikologi yang dipanggil ‘mogok sekolah’. Walaupun usia umum untuk gangguan ini bermula adalah dari 10 hingga 13 tahun, risiko mogok sekolah ini tidak terhad kepada sebarang jantina, etnik dan kumpulan usia.
Simptom mogok sekolah
Jika simptom berikut berlaku berulang kali selepas anak anda memulakan persekolahan, berkemungkinan besar ia adalah tingkah laku mogok sekolah yang mungkin wujud:
- Sikap tidak normal seperti agresif, penafian, keletihan, kemurungan, kegelisahan sosial, ketakutan dan panik.
- Sikap mencari perlindungan yang berlebihan.
- Suka berkepit dengan individu dewasa secara berlebihan.
- Mengamuk atau menangis apabila perlu ke sekolah.
- Melarikan diri daripada sekolah atau rumah.
- Cuba untuk lambat, tiba ke sekolah selambat yang boleh.
- Cuba mendapatkan keizinan untuk tidak hadir ke sekolah atau kerap untuk mendapatkan rawatan harian untuk masalah fizikal seperti kekejangan perut, sakit kepala atau mual. Walau bagaimanapun, simptom ini hilang sebaik sahaja mereka dibenarkan pulang ke rumah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen