backup og meta

Bila Anak Bertanya tentang Seks

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/06/2022

    Bila Anak Bertanya tentang Seks

    Menjelang usia 3-4 tahun, kanak-kanak sudah mula mengenal bahagian tubuhnya serta menyedari terdapat perbezaan antara anatomi tubuhnya dengan orang lain yang berlainan jantina. Ini bererti anda patut mempersiapkan diri dengan jawapan yang jujur apabila mereka bertanyakan soalan tentang seks. Tidak ada usia yang terlalu awal untuk memulakan topik ini. Yang penting, anda perlu tahu cara dan kesesuaian jawapan mengikut tahap anak anda.

    Kanak-kanak secara semula jadi gemar belajar tentang tubuh mereka dan orang lain. Dengan menjawab pertanyaan yang ditanyakan kepada anda, anda membantu mereka memahami tubuh badan dan perasaan mereka serta perasaan orang lain. Ini adalah asas yang baik untuk komunikasi terbuka dan jujur berkaitan perbezaan jantina dan hubungan seks serta menyiapkan mereka menghadapi masa akil baligh dan kedewasaan.

    Bagaimana menjawab persoalan tentang seks?

    Semuanya bergantung kepada tahap anak anda. Apabila mereka berpuas hati dengan jawapan anda dan tidak bertanyakan soalan lanjut, anda mungkin telah memberikan mereka maklumat yang mencukupi. Bila mereka bertanyakan soalan lain, anda boleh memaklumkan mereka dengan lebih lanjut.

    Anda tidak perlu memberitahu secara terperinci. Jawaban yang singkat dan sederhana mungkin mencukupi. Berikut merupakan contoh soalan yang mungkin akan anda hadapi dan jawapan yang sesuai:

    “Mengapa saya tidak mempunyai zakar?”

    Jika anak perempuan anda bertanyakan mengapa mereka tidak mempunyai zakar seperti saudara lelakinya, anda boleh mengatakan bahawa Tuhan menciptakan manusia sebagai lelaki dan perempuan. Dan untuk membezakannya, Tuhan pun memberikan ciri yang berbeza. Penis untuk lelaki dan vagina untuk perempuan.

    “Mengapa dada ibu besar?”

    Jelaskan padanya fungsi payudara dengan bahasa yang sederhana dan mudah difahami. Jelaskan bahawa dia juga menyusu ketika bayi dahulu dan payudara ini boleh menghasilkan air susu lagi sewaktu dia mempunyai adik. Semua ini dilakukan agar bayi dapat membesar dengan sihat, seperti dirinya sekarang. Namun, tugas ini hanya dianugerahkan Tuhan khas untuk para ibu, oleh itu ayah tidak mempunyai payudara besar seperti ibu.

    “Dari mana bayi datang?”

    Kenal pasti dahulu apa yang sebenarnya ingin mereka tahu. Jangan memberi jawapan yang lebih rumit daripada yang sepatutnya. Anda boleh menjawab dengan mengatakan “bayi tumbuh dalam perut ibu, dan ketika mereka sudah bersedia, mereka akan muncul ke dunia.” Jawaban ini sudah mencukupi.

    Jika tidak, anak anda mungkin bertanya lebih lanjut, “bagaimana bayi boleh berada di dalam perut?” Anda boleh menjawabnya dengan “ayah meletakkan benih di dalamnya.” Atau bila anak anda bertanyakan “bagaimana cara bayi keluar?” anda boleh menjawab, “melalui laluan khusus dalam tubuh wanita yang disebut vagina.”

    “Mengapa zakar saya tegak?”

    Zakar kebiasaannya menjadi keras pada pagi hari. Tanyakan padanya, bilakah biasanya zakarnya berdiri. Jika dia menjawab di pagi hari, Anda boleh menjawab sama seperti dirinya yang bangun tidur di pagi hari, zakarnya juga boleh “bangun”. Beritahu juga selain di pagi hari, zakar juga akan mengeras sewaktu membuang air kecil dan akan kembali normal.

    “Apa itu seks?”

    Jelaskan kepada anak anda bahawa hubungan seks itu sebagai salah satu cara menunjukkan kasih sayang dan cinta suami isteri seperti ayah dan ibu. Tekankan perkataan suami isteri untuk mengajarkan moral kepentingan ikatan untuk sebuah hubungan intim.

    Jelaskan kepada anak anda bahawa terdapat cara menunjukkan kasih sayang antara suami isteri seperti berpeluk dan berpegang tangan yang boleh dilihat orang. Sementara ada cara khusus yang tak dilihat orang lain dalam ruang tertutup dan dikunci. Melalui hubungan seks sperma daripada ayah dan sel telur ibu bertemu. Jika anak anda lebih berusia dan tinggi tahap kefahamannya, anda boleh melanjutkan dengan penjelasan yang lebih terbuka jika mereka bertanya lanjut.

    Sejauh mana saya perlu menjelaskannya?

    Anak anda perlu tahu bahawa mereka berhak untuk membicarakan tentang seks dan belajar serta mengetahui bahawa anda tidak keberatan membicarakan hal tersebut. Mereka akan mengetahui ini daripada nada bicara dan sikap anda ketika membicarakan tentang seks. Pendidikan seks adalah keperluan penting bagi anak anda yang sedang membesar.

    Antara topik utama yang perlu mereka ketahui mengikut kesesuaian usia ialah:

    • Perubahan yang berlaku sewaktu akil baligh dan apa yang akan terjadi pada tubuh perempuan dan lelaki
    • Bagaimana proses bayi tercipta
    • Bagaimana terjadinya kehamilan dan bagaimana kontraseptif boleh mencegahnya
    • Seks yang selamat dan penggunaan kondom untuk mencegah penyakit kelamin

    Anak anda perlu mengetahui tentang akil baligh sebelum mereka melaluinya. Perempuan perlu mengetahui tentang menstruasi sebelum berusia 10 tahun, dan lelaki perlu mengetahui perubahan yang akan terjadi sebelum mereka berusia 12 tahun.

    Sediakan jawapan untuk situasi yang kekok

    Walaupun anda harus bersikap terbuka untuk mendidik anda tentang pendidikan seks yang sihat kepada anak anda, terdapat waktu dan tempat yang tidak sesuai untuk membicarakan hal seperti ini contohnya di tempat awam atau di rumah orang lain.

    Jadi, jika anak anda mula bertanya soalan tentang seks pada keadaan yang tidak sesuai, jangan melatah dan bertindak dengan tenang. Katakan sesuatu seperti, “itu soalan yang bagus. Nanti kita bincangkan di rumah.” Pastikan anda ingat untuk membincangkan hal tersebut apabila keadaan mengizinkan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan