Bertengkar Kerana Nama Anak? Cara Atasi Konflik

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Dah berangan macam-macam nama glamour untuk berikan kepada anak dalam kandungan . Alamak, suami ‘pulak’ tak setuju. Macam mana ‘ni’? Ada cara penyelesaian terbaik tak?

Atasi konflik nama anak

Bila masing-masing sudah mempunyai pandangan dan idea tersendiri tentang nama anak yang akan diberikan, tidak dinafikan boleh wujud konflik antara pasangan. Namun, janganlah pula hanya kepada nama anak, anda dan suami bergaduh. Jadi berikut adalah beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan konflik daripada berlaku:

  1. Berbincang

Semua masalah yang timbul boleh diselesaikan dengan perbincangan. Jika anda dan suami tidak sekata dalam pemberian nama si manja, jangan cepat melenting. Memanglah ketika hamil, mood anda mudah swings tetapi janganlah amal. Tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi. 

Jika keadaan tegang, elakkan dari melakukan sebarang perbincangan. Sebaiknya berbincanglah ketika masing-masing dalam emosi yang baik. Hindari daripada meninggikan suara jika wujud sebarang ketidakpuasan hati. Bersabar. 

  1. Banyak pilihan

Percayalah, konflik untuk memberikan nama kepada anak juga boleh wujud apabila anda berdepan dengan terlalu banyak pilihan nama yang anda sukai. Sekejap nama popular dalam drama televisyen, sekejap check Google; tiap-tiap hari berubah fikiran.

Cara yang terbaik, senaraikan lebih kurang 5 hingga 10 nama pilihan beserta pengertian nama tersebut, dan ambil masa untuk berfikir dengan baik. Tidak perlu tergesa-gesa. Jangan lupa, maksud nama yang ingin diberikan kepada si manja juga penting, itu adalah sebahagian daripada doa!

  1. Tekanan

Tekanan boleh wujud dalam pelbagai cara dan nama anak juga boleh menyebabkan tekanan. Anda dan pasangan mungkin menerima tekanan daripada individu sekeliling terutamanya keluarga berkaitan perihal nama untuk si manja. Apatah lagi jika, bayi yang akan dilahirkan merupakan bayi sulung. 

Bertenang, jangan gusar. Jika ada yang memberikan cadangan nama, terimalah dengan hati yang terbuka. Namun tidak perlu berasa terpaksa untuk menerima cadangan tersebut. Anda dan pasangan adalah individu yang lebih berhak untuk memberikan nama. Ini kerana perkara yang paling penting adalah bayi dalam kandungan dan ibu selamat ketika proses kelahiran.

  1. Persamaan nama

Biasanya untuk anak sulung, anda bebas untuk memberikan sebarang nama yang anda sukai. Tetapi konflik mungkin mula wujud apabila kelahiran bayi kedua, ketiga dan seterusnya. Ini kerana anda mungkin menjadi tertekan apabila perlu memilih dan memikirkan nama yang mempunyai huruf pangkal awal yang sama seperti anak yang sulung. 

Tidak dinafikan ia sudah menjadi trend di mana jika nama anak pertama bermula dengan awalan huruf A dan Z sebagai contoh Aqila Zarith, maka anak pada kelahiran seterusnya juga harus mempunyai awalan huruf yang sama. 

Perkara yang perlu anda sentiasa ingat adalah tiada peraturan yang mewajibkan anda untuk melakukan perkara yang sama. Anda dan pasangan bebas untuk memberikan sebarang nama kepada anak. Apa yang penting, maksud dan pengertian nama itu membawa erti yang baik.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: