Bahaya Sindrom Hurried-Child Yang Perlu Diketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Jika diperhatikan, kebanyakan ibu gemar menggayakan si manja seperti individu dewasa. Sama ada dari segi pakaian, solekan mahupun perhiasan. Keadaan ini dipanggil Sindrom Hurried-Child. Bahaya tau sebenarnya!

Fesyen dan bergaya

Tidak dinafikan, melihat anak berpakaian seperti individu dewasa akan menonjolkan sisi comel mereka. Malahan, sudah tentu timbul rasa seronok dapat menggayakan si manja mengikut fesyen dewasa. 

Niat anda mungkin sekadar untuk berseronok dan suka-suka. Walau bagaimanapun, tabiat ini mempunyai kesan yang tersendiri terhadap pekembangan permata hati anda. Apatah lagi kalau sejak dari bayi lagi sudah dibiasakan dengan fesyen pakaian individu dewasa, ia berkemungkinan akan mengakibatkan mereka menjadi dewasa sebelum waktunya. 

Ia merupakan satu ‘penyakit. Penyakit yang semakin berleluasa ini adalah mengenai cara ibu bapa yang terlalu memaksa anak-anak untuk berjaya atau bergaya. Situasi ini sekali gus berisiko untuk mewujudkan tekanan, masalah kemurungan dan juga keinginan untuk membunuh diri. 

Apa itu Sindrom Hurried-Child

Sindrom ini dikenal pasti oleh pakar psikologi di Tufts University, David Elkind, pada tahun 1981. Sindrom Hurried-Child ini bukan hanya melibatkan aspek tekanan akademik yang terlalu awal di luar batas kemampuan perkembangan semula jadi si kecil. Tetapi ia juga melibatkan pelbagai aspek kehidupan seorang kanak-kanak pada masa kini. 

Dalam pemahaman yang mudah, sindrom ini adalah keadaan di mana ibu bapa membuat jadual hidup untuk anak-anak mereka, mendorong mereka untuk berkerja keras bagi mencapai kejayaan akademik, dan mengharapkan mereka berkelakuan dan bertindak balas bagaikan individu dewasa.

Anda mungkin menganggap perlakuan anda itu tidak akan mendatangkan impak kepada si manja. Namun hakikatnya, ia boleh mewujudkan trauma kepada kanak-kanak yang dipaksa untuk menjadi matang dengan melakukan aktiviti dan peranan seperti individu dewasa.

Impak dan kesannya

Ia bagaikan trend yang berkembang hampir di seluruh dunia untuk memaksa kanak-kanak berpakaian seperti dewasa. Dan perkara ini menjadi antara isu besar yang mendapat kecaman pelbagai pihak. 

Sering kali trend ini dieksploitasikan kepada kanak-kanak perempuan untuk berpakaian seksi, berkasut tumit tinggi dan mengenakan solekan yang ada kalanya keterlaluan. Sudah tentu apa yang dipakai itu adalah tidak bersesuaian dengan usia mereka. 

Menurut Pengasas dan Perunding Utama Parent Connect Consultancy, Noor Afidah Abu Bakar, terdapat dua kesan yang berkemungkinan untuk berlaku kepada kanak-kanak akibat sindrom Hurried-Child ini. 

  1. Harus berkelakuan seperti dewasa

Apabila mengenakan fesyen dewasa, ia secara tidak langsung menjadikan mereka untuk perlu dan diharapkan untuk berkelakuan seperti dewasa. Perlu diingatkan, kanak-kanak tidak boleh dianggap sebagai ‘mini adults’.

Perkembangan fizikal, sosial, emosi, intelektual dan spiritual mereka belum mencapai tahap seperti individu dewasa. Masih terlalu banyak perkara yang perlu dipupuk dan dididik dengan sebaiknya. Bukan semata-mata untuk memuaskan hati ibu bapa sahaja. 

  1. Pertuturan tidak terjaga

Apabila mengenakan fesyen seperti dewasa, ada kanak-kanak memaksa diri mereka sendiri untuk bertutur seperti dewasa. Adakalanya ia melibatkan perkataan-perkataan yang tidak manis untuk disebut, mendengar lagu dan menonton rancangan televisyen yang tidak sesuai dengan usia mereka. Kecenderungan untuk meniru ini wujud untuk mereka menyesuaikan diri dengan imej yang ‘dikenakan’ kepada mereka. 

Kesimpulannya 

Sindrom Hurried-Child ini akan membuatkan anak-anak anda terlepas keseronokan membesar sebagai kanak-kanak. Lebih malang lagi, masa yang sudah berlalu tidak mungkin akan dapat diulang kembali. 

Sindrom ini bukan sekadar melibatkan kanak-kanak untuk mengenakan pakaian seperti dewasa, berpakaian seksi, bertumit tinggi dan bersolek. Tetapi ia juga termasuk kanak-kanak yang ‘dipakaikan’ fesyen menutup aurat sebelum tiba usianya. Ia dilakukan hanya kerana inginkan mereka untuk tampak comel di mata khalayak. 

Jadi berikan si comel anda ruang dan peluang untuk menikmati zaman gembira dan membesar sebagai kanak-kanak dengan sebaiknya. Jangan jadikan anak mangsa kegilaan fesyen anda, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: