backup og meta

Bagaimana Membina Sistem Sokongan untuk Ibu Bapa Bekerja

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    Bagaimana Membina Sistem Sokongan untuk Ibu Bapa Bekerja

    Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak, istilah ‘support system’ atau sistem sokongan mungkin selalu anda dengari. Terutamanya bagi mereka yang bekerjaya dan perlu mengimbangkan keperluan kerjaya dan keluarga, mempunyai sistem sokongan yang tepat benar-benar dapat membantu mereka.

    Sesetengah ibu bapa bekerja mempunyai sistem sokongan sedia ada dengan ahli keluarga terdekat. Namun, tidak semua orang beruntung ditambah masalah jarak atau ketiadaan ahli keluarga terdekat. Oleh itu, berikut adalah beberapa tip untuk membantu membina sistem sokongan anda dalam penjagaan kebajikan anak anda:

    1. Berterus-terang dengan orang sekeliling

    Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga dan jiran terdekat yang dapat membantu, pastikan anda berterus-terang tentang keperluan sokongan yang anda harapkan daripada mereka. Ini membolehkan mereka bersedia jika berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan mereka. Jika anda tinggal jauh daripada ahli keluarga terdekat, anda masih boleh merujuk mereka tentang panduan dan tip penjagaan anak yang anda perlukan melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas.

    Anda juga perlu membincangkan tentang fleksibiliti yang boleh ditawarkan majikan anda berkaitan pengurusan anak anda. Ini termasuklah memberikan kelonggaran waktu untuk sebarang urusan seperti vaksinasi anak, temu janji dengan doktor dan kecemasan perubatan. Tidak terkecuali juga rakan sekerja anda boleh membantu mengurangkan beban kerja anda dalam situasi yang diperlukan.

    2. Sertai kumpulan sokongan

    Terdapat badan bukan kerajaan yang mengelolakan kumpulan sokongan untuk para ibu seperti Pembimbing Ibu Menyusu. Selain kumpulan sokongan luar, cara lebih mudah adalah dengan menyertai kumpulan sokongan di media sosial yang membolehkan anda berhubung dengan ibu bapa lain untuk perkongsian maklumat dan tip keibubapaan.

    Anda juga boleh mencari kumpulan sokongan berdasarkan usia bayi, tempat tinggal mahupun kumpulan ibu bapa yang berkongsi isu yang sama. Contohnya, kumpulan sokongan untuk ibu tunggal, ibu bapa yang menghadapi anak autisme, kanser, ekzema dan sebagainya. Jika anda tidak gemar menggunakan media sosial, terdapat juga laman web yang menyediakan forum perbincangan yang membolehkan ibu bapa berkongsi tip dan panduan.

    3. Hadiri program atau bengkel untuk ibu bapa

    Kini terdapat pelbagai program atau bengkel yang dianjurkan pada hujung minggu untuk anda menambah pengetahuan baru tentang dunia keibubapaan. Dengan persekitaran program yang biasanya mesra kanak-kanak, kesempatan menambah pengetahuan ini patut anda manfaatkan juga untuk bersosial. Ambil kesempatan ini untuk mengenali ibu bapa lain yang berkongsi minat yang sama dengan anda.

    Selain itu, anda boleh memanfaatkan hujung minggu dengan  memberi kelas tambahan secara bergilir-gilir dengan pasangan ibu bapa lain. Selain dapat membahagikan tugas mendidik anak kepada mereka yang lebih berpengetahuan dalam sesuatu subjek, anda juga dapat ‘bercuti’ sekali sekala daripada tugas keibubapaan tiap kali tiba sesi hujung minggu anak anda bersama dengan rakan sebayanya di rumah lain.

    4. Tanya mereka yang lebih berpengalaman

    Dalam bidang apa pun kerja anda, pasti akan anda mereka yang pernah menjalani alam keibubapaan sebelum anda. Kenalpasti mereka yang berpengalaman di pejabat anda. Sama ada bagaimana mengepam susu, menangani kecemasan di taska dan bagaimana menguruskan tugasan luar jauh daripada si kecil anda.

    5. Balas budi orang lain

    Berikan sokongan, sama ada nasihat atau sekadar menjadi pendengar kepada ibu baru yang memerlukan di tempat kerja anda. Bagi setiap sokongan yang anda berikan kepada kesejahteraan ibu lain di tempat kerja, anda sebenarnya membantu membentuk persekitaran mesra ibu. Ini cara yang terbaik untuk anda membalas jasa mereka yang membantu anda sewaktu anda mula-mula bekerja selepas pantang.

    Berdasarkan kajian  Federal Reserve Bank of St. Louis, ibu kepada sekurang-kurangnya dua anak, secara purata lebih produktif dari segi profesional berbanding ibu anak seorang. Oleh itu, dengan sistem sokongan yang berkesan, ibu bapa yang bekerja sebenarnya mampu menyumbang kepada produktiviti negara yang berdaya saing tanpa mengorbankan kesejahteraan keluarga.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 05/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan