backup og meta

Tolong! Anak Suka Tengok TV Dekat, Tak Bahaya Ke Untuk Matanya? Ini Jawapan Pakar

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/06/2020

    Tolong! Anak Suka Tengok TV Dekat, Tak Bahaya Ke Untuk Matanya? Ini Jawapan Pakar

    “Husna, tengok tv belakang sikit. Dekat sangat tu.” Haaa…ni dialog biasa kalau anak penulis tengok televisyen pada jarak yang dekat. Siapa antara pembaca macam penulis, angkat tangan! 

    Rosakkan mata?

    Penulis yakin sangat, pasti ramai dalam kalangan ibu bapa yang melakukan perkara sama seperti penulis, bukan? Tak nak mengakulah tu. Ish ish ish…tak baik tau. Tetapi sebenarnya, perkara ini macam dah jadi satu kewajipan turun menurun dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. 

    Kalau dahulu, kita ditegur oleh ibu bapa sebab menonton televisyen (TV) pada jarak dekat kerana tidak mahu mata rosak, dan sekarang kita pula yang menegur anak-anak yang tengok televisyen dekat-dekat. Namun, betul ke mata boleh rosak?

    Jeng jeng jeng…sebenarnya kepercayaan kita bahawa menonton tv pada jarak dekat boleh merosakkan mata adalah satu mitos semata-mata. Ia wujud disebabkan trauma serta fobia berikutan masalah teknikal yang berlaku pada waktu dahulu.

    Mitos berkaitan tv

    Daripada pembacaan penulis, pada tahun 1960-an, sebuah syarikat pengeluaran televisyen, General Electric, membuat kenyataan bawah tv berwarna yang dikeluarkan mereka mengalami kesilapan.

    Kesilapan yang berlaku ini menyebabkan alat elektronik ini mengeluarkan pancaran sinar-x secara berlebihan. Walau bagaimanapun, masalah ini dapat diselesaikan pihak General Electric dengan menempatkan perisai kaca bertimbal di sekitar tabung atau tiub sinar televisyen. 

    Itulah alkisahnya bagaimana wujud kepercayaan menonton televisyen secara dekat boleh merosakkan mata. Tetapi malangnya isu itu tidak berakhir di situ sahaja, sebab sehingga ke hari ini, kita masih percaya mengenainya.

    Fakta penglihatan

    Menonton televisyen pada jarak dekat sebenarnya adalah satu tabiat yang dilakukan oleh kebanyakan kanak-kanak. Jom kita fahami dulu mengapa wujudnya tabiat seperti ini dalam kalangan kanak-kanak.

    1. Sebenarnya jarak penglihatan antara kanak-kanak dengan individu dewasa adalah berbeza.
    2. Kanak-kanak boleh fokus pada jarak dekat lebih baik berbanding individu dewasa tanpa memberikan tekanan kepada mata. Keadaan ini disebabkan oleh keadaan kanta mata yang lebih fleksibel dan sesuai untuk pandangan jarak dekat.
    3. Mata boleh menukar bentuk untuk pandangan jarak jauh atau dekat dan mata kanak-kanak adalah yang paling fleksibel untuk situasi ini.
    4. Fleksibiliti mata akan berkurangan mengikut pertambahan usia, jadi kanak-kanak akan mula menjarakkan diri daripada tv apabila semakin membesar.
    5. Tabiat ini wujud kerana keterbatasan mata untuk melihat dan memahami sesuatu.
    6. Adakalanya wujud keinginan dalam diri kanak-kanak untuk masuk ke dalam rancangan tv yang ditonton mereka.

    Akhir kata

    Sebenarnya tidak salah untuk anda sebagai ibu bapa berasa risau apabila anak-anak gemar menonton tv secara dekat. Ini kerana tabiat ini mungkin boleh mendatangkan bahaya jika si manja menontonnya untuk tempoh yang lama dan dalam keadaan pencahayaan yang tidak mencukupi. Jadi tidak salah untuk ambil langkah berjaga-jaga, bukan? Siapa yang tak sayangkan anak.

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 09/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan