backup og meta

Anak Mengalami Fobia Sosial, Bagaimana Membantunya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    Anak Mengalami Fobia Sosial, Bagaimana Membantunya?

    “Dalila, kenapa tak nak kawan dengan Mia, dia kan budak baik’?, kata seorang ibu kepada anaknya kerana dia mendapati si kecilnya itu sangat malu untuk berkawan dan bermain bersama rakan seusianya itu. Bagi ibunya, ia mungkin satu perkara biasa. Namun, ia sewajarnya tidak dibiarkan begitu sahaja kerana anaknya itu mungkin mengalami fobia sosial.

    Apakah yang dimaksudkan dengan ini? Jom kita ikuti artikel untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut!

    Apa itu fobia sosial?

    Jika anak anda seorang yang aktif dan ceria di rumah tetapi berubah menjadi pasif dan pendiam setiap kali berada di luar bersama masyarakat, anak anda berkemungkinan mengalami kondisi kesihatan yang dipanggil fobia sosial. Fobia sosial atau Social Anxiety Disorder ini merupakan satu kondisi kesihatan yang mengakibatkan perasaan tidak selesa atau takut untuk bersosial bersama individu di sekeliling mereka.

    Kondisi kesihatan yang membimbangkan ini sebenarnya didalangi oleh perasaan takut individu pengalaminya yang terlebih dahulu sudah memikirkan setiap kemungkinan yang bakal terjadi sekiranya mereka mula bersosial. Ketika itu, perasaan takut dan malu yang melampau akan membuatkan mereka hilang keyakinan untuk berinteraksi dengan individu lain lantaran malu mengeluarkan pandangan mereka serta takut menerima pendapat individu lain.

    Kanak-kanak yang mengalami kondisi ini cenderung untuk bersendirian dan tidak mempunyai ramai kawan yang seusia dengan mereka. Disebabkan itu, kondisi ini malangnya akan menjejaskan prestasi akademik, keyakinan diri serta hubungan sosial mereka bersama individu yang berada di sekeliling mereka. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan bagi membendung permasalahan ini daripada meruncing dengan lebih teruk.

    fobia

    Apakah yang ibu bapa boleh lakukan?

    Demi mengelakkan kondisi ini daripada berlaku, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak mereka terhindar daripada masalah ini sekali gus memastikan kehidupan sosial mereka yang lebih terjamin. Berikut merupakan beberapa tip yang ibu bapa perlu terapkan kepada anak-anak dalam usaha mengatasi fobia sosial:

    #1. Cognitive reframing

    Cognitive reframing ini merupakan satu teknik psikologi yang mampu menukarkan pandangan atau pendapat daripada perspektif yang negatif kepada yang positif. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami fobia sosial ini selalunya akan membayangkan senario terburuk yang bakal terjadi sekali gus menyebabkan mereka bertindak balas secara keterlaluan. Mereka juga selalu beranggapan bahawa individu lain memandang serong terhadap mereka.

    Pemikiran seperti ini seharusnya ditukar dan dipandang daripada perspektif yang berbeza. Anda perlu mengajar anak anda untuk memandang positif setiap perkara yang berlaku terhadap diri mereka.

    Sebagai contoh, sekiranya anak anda mengadu kepada anda berkenaan guru yang memarahi mereka kerana mendapat gred yang teruk di sekolah, anda boleh menenangkan mereka dan menegaskan bahawa sudah menjadi tugas guru sekolah untuk mengajar anak muridnya sehingga mereka berjaya. Ini akan membuatkan mereka berasa lebih positif lantas meningkatkan keyakinan diri mereka.

    #2. Ajar anak anda untuk bertenang

    Kanak-kanak yang mengalami fobia sosial ini akan mudah berasa gemuruh setiap kali mereka cuba berhadapan dengan masyarakat untuk bersosial. Sebagai langkah mengatasi perasaan ini, anda boleh mengajar anak anda untuk bertenang. Berikut merupakan beberapa teknik untuk mencapai ketenangan yang sangat diperlukan:

    • Menarik nafas sedalamnya. Ini merupakan teknik yang paling asas dan mudah untuk dilakukan. Teknik ini akan menenangkan degupan jantung serta pernafasan ketika sedang gemuruh. Oleh itu, anda perlu ajar anak anda cara melakukan teknik ini dengan sebetulnya iaitu menarik nafas sedalamnya dan hembuskan nafas tersebut secara perlahan-lahan.
    • Merelakskan otot. Ketika sedang gemuruh, otot-otot akan menjadi tegang. Oleh itu, anda perlu mengajar anak anda  untuk merelakskan otot mereka. Sebagai contoh, ajar anak anda untuk menggengam tangan dengan kuat kemudian lepaskan dengan perlahan-lahan. Ini akan membuatkan otot menjadi lebih relaks.
    • Mengalih perhatian mereka. Kanak-kanak yang mudah berasa gemuruh tatkala ingin bersosial perlu dialihkan tumpuan mereka. Anda boleh bercerita dengan mereka apa-apa sahaja cerita yang dapat mengkhayalkan mereka sekaligus membuat mereka lupa akan perasaan gemuruh mereka. Ini sekali gus dapat membuatkan mereka lebih selesa dan yakin untuk bersosial.

    #3. Ajar anak anda teknik berkawan

    Sebagai ibu bapa, anda tidak mampu untuk mengatur dan menetapkan kawan-kawan anak anda. Perkara ini perlu diusahakan sendiri oleh anak anda. Namun begitu, anda masih boleh mengajar mereka teknik untuk berkawan agar anak anda lebih mudah didekati dan disenangi oleh kawan-kawan sekeliling mereka.

    Anda boleh mengajar mereka cara menegur kawan lain dengan sopan. Selain itu, nasihatkan mereka untuk menjadi pendengar yang setia selain memberikan respons yang baik setiap kali berinteraksi dengan kawan mereka.

    Dalam pada itu lagi, pastikan anak anda menjadi seorang yang peramah dalam lingkungan kawan-kawan mereka bagi membuat mereka disenangi oleh kawan-kawan. Namun, perlu diingatkan bahawa menjadi ramah tidak bermaksud terlalu banyak dan bebas dalam percakapan mereka.

    #4. Ajar anak anda skil penyelesaian masalah

    Kanak-kanak yang mengalami kondisi ini sangat suka untuk mengelak daripada masalah kerana mereka tidak mahu berhadapan dengan situasi yang membuat mereka tidak selesa atau gugup. Namun begitu, sikap ini tidak harus ada dalam diri anak anda dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghalangnya sikap anak anda ini daripada berlarutan.

    Anda boleh mengajar anak anda skil penyelesaian masalah bagi mengelakkan perasaan tidak selesa atau gugup ini terus ada dalam minda mereka. Sebagai contoh, anda boleh melatih skil ini dengan memberi mereka tugas seperti membeli barang di kedai runcit untuk melatih skill komunikasi mereka.

    Ini sekali gus akan membuatkan mereka lebih selesa dengan masyarakat di sekeliling selain melatih skil penyelesaian masalah seharian yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka.

    Konklusi

    Kesimpulannya, fobia sosial ini adalah satu masalah yang melibatkan kekurangan keupayaan interaksi sosial dalam kalangan individu. Kebiasaannya, ia akan berlaku pada kanak-kanak. Namun, ia juga boleh berlaku kepada individu dewasa. Untuk mengelakkan ia berlaku, ibu bapa sewajarnya menerapkan langkah-langkah yang telah tertulis di atas ini sejak usia awal kanak-kanak lagi.

    Jadi, ibu bapa yang mempunyai anak dengan fobia sosial seperti ibu Dalila, jangan berdiam diri dan mengganggap kekurangan anak anda ini adalah normal dan akan menjadi lebih baik seiring dengan usia. Anda sebagai ibu bapa adalah kunci kepada setiap kejayaan anak anda. Jangan lupa, ya?

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan