backup og meta

Ajar Anak Anda tentang Sentuhan Selamat dan Sentuhan Tidak Selamat

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 17/11/2022

    Ajar Anak Anda tentang Sentuhan Selamat dan Sentuhan Tidak Selamat

    Adalah sukar bagi ibu bapa dan penjaga untuk menentukan bila mereka patut mula mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan diri. Adalah lebih sukar untuk memulakan topik tentang pemangsa yang mungkin mengambil kesempatan terhadap mereka. Pun begitu, melihatkan epidemik pedofilia yang semakin meluas dan mula memberi kesan kepada kanak-kanak di sekolah, tempat awam atau di dunia digital, mengajar anak anda tentang langkah keselamatan yang perlu dilakukan adalah satu keperluan sedari usia kecil lagi. Sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat patut menjadi pengetahuan asas bagi setiap kanak-kanak. Berbekalkan pengetahuan ini, mereka akan lebih bersedia untuk melindungi diri mereka.

    Ajar kanak-kanak nama semua bahagian tubuh mereka, termasuklah bahagian sulit

    Kanak-kanak sering merasa sukar untuk memberitahu orang dewasa mengenai penderaan seksual kerana mereka tidak tahu perkataan yang patut digunakan. Mempelajari istilah yang betul (anatomi) terhadap bahagian sulit mereka memberikan kanak-kanak kosa kata yang mereka perlukan dan membantu mereka tahu bahawa tidak mengapa untuk bercakap tentang bahagian badan mereka. Apabila mengajar anak-anak kecil bahagian tubuh yang berbeza, gunakan perkataan yang betul untuk bahagian sulit mereka seperti kemaluan dan punggung.

    Anda boleh memberikan lebih banyak maklumat kepada anak yang lebih tua, kerana mereka dapat memahami lebih lanjut. Mengajarkan anak anda nama bahagian sulit mereka sepertimana nama anggota tubuh mereka yang lain membuatkan anak anda percaya tiada apa yang memalukan jika melaporkan tentang sebarang sentuhan pada bahagian tersebut (bahagian sentuhan tidak selamat).

    Ajar kanak-kanak “Anda adalah bos badan anda”

    Ajar anak anda untuk memahami bahawa mereka berhak menentukan siapa yang menyentuh mereka dan bagaimana. Wujudkan suasana rumah yang menghormati hak peribadi masing-masing termasuklah tubuh badan anak-anak anda. Bina latihan bersama mereka untuk belajar mengekspresikan diri, sebagai contoh, anak anda mungkin menyatakan kepada adiknya “Kakak tidak suka adik bermain rambut kakak, tolong berhenti,”. Anda sebagai ibu bapa atau penjaga juga perlu segera menghormati hasrat mereka untuk tidak disentuh dengan cara tertentu.”Kakak tak mahu emak dukung sekarang? Baiklah”. Semasa anda mengawasi interaksi anak-anak anda, jelaskan bahawa mereka perlu berhenti menggeletek atau menggasak adik-beradik yang lain jika ada yang berkata “Hentikan! “

    Selain itu, anda juga perlu berhenti memaksa anak anda memberi atau menerima pelukan atau ciuman daripada saudara-mara jika mereka tidak mahu. Ini mengajar kanak-kanak bahawa tidak mengapa untuk mengatakan tidak kepada sentuhan daripada orang dalam keluarga mereka. Sesetengah saudara-mara mungkin mengharapkan pelukan daripada anak-anak anda setiap kali mereka bertemu. Jelaskan kepada mereka bahawa anda sedang mengajar anak-anak anda untuk menjadi bos badan mereka sebagai sebahagian daripada pendidikan tentang keselamatan agar saudara anda tidak tersinggung oleh tingkah laku mereka.

    video ihsan Media Wanita IKRAM

    Terangkan kepada anak anda bahawa terdapat tiga jenis sentuhan

    Tiga jenis sentuhan tersebut adalah:

    • Sentuhan selamat. Ini adalah sentuhan yang selamat dan baik untuk mereka, dan yang membuat kanak-kanak merasa dipedulikan dan penting. Sentuhan selamat termasuklah memeluk, menepuk di belakang, dan merangkul pada bahu. Sentuhan selamat juga termasuklah sentuhan yang mungkin menyakitkan, seperti mengeluarkan serpihan. Jelaskan kepada kanak-kanak bahawa apabila anda mengeluarkan serpihan, anda melakukannya untuk memastikan mereka sihat, yang menjadikannya sentuhan yang selamat.
    • Sentuhan tidak selamat. Ini adalah sentuhan yang menyakiti badan atau perasaan kanak-kanak (contohnya, memukul, menolak, mencubit, dan menendang). Ajar kanak-kanak bahawa jenis sentuhan ini tidak baik.
    • Sentuhan yang tidak diingini. Ini adalah sentuhan yang mungkin selamat tetapi seorang kanak-kanak tidak mahukannya daripada orang tersebut pada masa itu. Tidak mengapa untuk seorang kanak-kanak mengatakan tidak kepada sentuhan yang tidak diingini, walaupun daripada orang biasa. Bantu anak-anak anda mengatakan ‘tidak’ dengan suara yang kuat dan sopan. Ini akan membantu mereka belajar menetapkan sempadan peribadi.

    Sebaik sahaja kanak-kanak boleh menamakan bahagian badan mereka sendiri dan tahu mengenai pelbagai jenis sentuhan, anda boleh mengajar mereka bahawa terdapat satu lagi sentuhan tidak selamat yang juga tidak baik. Sentuhan ini adalah apabila seseorang yang lebih tua atau lebih besar menyentuh bahagian sulit mereka. Cara anda menjelaskan perkara ini akan bergantung kepada umur anak anda.

    Bagi seorang anak kecil, anda mungkin berkata, “Satu lagi sentuhan tidak selamat adalah apabila orang yang lebih besar menyentuh adik pada bahagian sulit dan bukan untuk membersihkan atau memastikan adik sihat. Oleh itu, peraturan keselamatan keluarga kita ialah tiada siapa boleh menyentuh bahagian sulit adik kecuali untuk memastikan adik bersih dan sihat. “

    Ibu bapa perlu memahami bahawa maksud membersihkan ini merujuk kepada anak-anak yang masih memerlukan bantuan orang dewasa untuk menukar lampin, pergi ke tandas, atau mandi. Manakala memastikan “sihat” merujuk kepada lawatan doktor; contohnya, apabila doktor memberi kanak-kanak suntikan di bawah pengawasan penjaga. Apabila mereka meningkat remaja, mereka mungkin sudah boleh menguruskan pertemuan dengan doktor secara sendirian.

    Jadi, untuk kanak-kanak yang lebih besar, anda mungkin berkata, “Satu lagi sentuhan tidak selamat adalah apabila seseorang menyentuh adik di bahagian sulit dan bukan untuk memastikan adik sihat. Oleh itu, peraturan keselamatan keluarga kita ialah tiada siapa boleh menyentuh bahagian sulit adik kecuali untuk menjaga kesihatan adik. “

    Ajarkan juga anak anda peraturan keselamatan yang berikut:

    Peraturan Keselamatan

    Anda boleh mengajarkan nama bahagian sulit anak anda seawal usia 3 tahun dan mula mengajar peraturan keselamatan apabila mereka berupaya mengenalpasti bahagian tubuh mereka. Lebih awal anda mulakan adalah lebih baik. Pastikan juga anda menyatakan bahawa mulut dan dada juga termasuk dalam bahagian tubuh yang dilarang disentuh orang lain tanpa tujuan membersihkan atau kesihatan.

    Perkara-perkara yang disebutkan ini mungkin kelihatan seperti sesuatu yang boleh difikir logik bagi pandangan anda. Tetapi anak anda yang masih kecil mungkin tidak akan memahami pencabulan melainkan anda menjelaskan hak peribadi dan batasan sentuhan orang lain. Lebih baik anda bersikap jujur dan berterus-terang dalam bahasa yang difahami sekarang daripada menyesal di kemudian hari. Apatah lagi dalam kebanyakan kes, pemangsa pedofilia akan cuba melakukan antun seksual atau grooming sehingga anak anda menjadi percaya dan selesa kepada mereka. Oleh itu, lindungi anak anda dengan didikan dan pencegahan yang baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 17/11/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan