Dah Bersedia Nak Ambil Anak Angkat? Ikuti 9 Perkara Ini Dulu Sebelum Teruskan Hasrat Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Baru-baru ini, pewaris takhta Britain iaitu Putera Harry dan pasangannya, Meghan Markle mengumumkan rancangan mereka untuk mengambil anak angkat bagi membesarkan keluarga mereka. Hasrat tersebut juga adalah sebagai manifestasi kecintaan mereka terhadap kanak-kanak. Pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu telah menyatakan hasrat mereka kepada Queen Elizabeth II, dan ia turut dipersetujui oleh Ketua Negara Britain itu. Mereka berdua telah merancang untuk mengambil dua orang kanak-kanak kembar perempuan sebagai anak angkat mereka.

Kesungguhan untuk memiliki anak atau kecintaan terhadap kanak-kanak seperti Putera Harry dan Meghan Markle telah memberi motivasi kepada ramai ibu bapa di luar sana untuk mengambil anak angkat. Sekiranya anda merupakan salah satu daripada pasangan yang berhasrat untuk mengambil anak angkat, adakah anda rasa bahawa anda benar-benar telah bersedia? Adakah anda mengetahui sebarang perkara penting sebelum anda mengambil anak angkat untuk dipelihara? Ikuti panduan dibawah untuk membantu anda memahami keadaan berkaitan anak angkat sebelum anda mula melakukannya. 

9 perkara yang perlu anda tahu sebelum mengambil anak angkat

  • Ketahui kemampuan anda

Proses pengambilan anak angkat adalah satu proses yang mengujakan, menakutkan dan beremosi. Kebanyakan kanak-kanak telah diambil daripada jagaan ibu bapa kandung mereka, dan berkemungkinan mempunyai pengalaman buruk seperti dipukul atau diabaikan. Oleh itu, fikir sejenak, apa yang boleh anda boleh tawarkan yang bersesuaian dengan pengalaman yang telah mereka alami dan faktor-faktor lain untuk memastikan kegembiraan anak tersebut. Adakah anda benar-benar sesuai untuk mereka?

  • Anda rasa anda boleh menyayangi mereka?

Ini berkaitan sama ada anda berkemampuan untuk menyayangi anak individu lain atau sama ada kanak-kanak tersebut berkeinginan untuk menyayangi anda. Anda tidak akan tahu kebarangkalian untuk kedua-duanya berlaku sebelum mengambil mereka sebagai anak angkat. Anda hanya boleh berharap dan berusaha agar perasaan cinta dan sayang itu dapat dipupuk sepanjang mereka dalam jagaan anda.

  • Biasakan diri dengan mereka

Jangan tentukan secara drastik apakah jenis pakaian atau wangian yang perlu dipakai oleh mereka. Kanak-kanak ini tidak terbiasa dengan persekitaran baharu dan mungkin akan mewujudkan rasa tidak selesa pada mereka. Kekalkan jenis mainan, pakaian atau tempat tidur mereka dengan cara yang sama sehinggalah mereka terbiasa dengan persekitaran baharu.

  • Jangan dedahkan bahawa mereka adalah anak angkat

Sekiranya anak angkat anda buat perangai seperti menjerit-jerit atau menangis di tempat-tempat awam, jangan gunakan alasan dengan mengatakan “dia anak angkat saya” untuk meredakan ketenteraman awam. Alasan seperti ini tidak boleh diterima. Mereka telah menjadi sebahagian daripada keluarga anda, oleh itu, anggaplah dan sayangi mereka seperti anak kandung anda. 

  • Adakah anda layak dipanggil ‘ibu’ atau ‘ayah’

Sebagai ibu bapa baharu kepada anak angkat, anda bukan sahaja perlu bersedia atau belajar bagaimana untuk menjadi seorang ibu dan ayah, tetapi juga bagaimana untuk mendapatkan panggilan itu. Anda perlu bersedia dan berusaha untuk memenangi hati anak angkat anda agar mereka berasa selesa dan akhirnya menggelar anda sebagai ibu dan bapa mereka daripada hati mereka sendiri.

  • Bersedia dengan sebarang kemungkinan

Bersedia untuk menerima sebarang soalan-soalan janggal daripada individu yang tidak dikenali, kenalan dan rakan yang tidak sensitif atau kanak-kanak yang ingin tahu. Mereka mungkin akan bertanya seperti, “Anak angkat baharu ke?”, atau “Ambik anak angkat kat mana?”. Bersedia untuk menjawab pertanyaan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun, elakkan daripada menceritakan sejarah hidup kanak-kanak tersebut kepada orang lain. 

  • Terbuka dengan anak angkat anda

Sekiranya anak angkat anda telah membesar dan boleh berfikir dengan baik, bercakap dengannya berkenaan status mereka sebagai anak angkat daripada permulaan. Berikan respon kepada setiap pertanyaan mereka dengan cara dan jawapan yang bersesuaian. Ini mungkin agak sukar pada permulaannya, tetapi ia amat membantu mereka menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

  • Lakukan secara bersama-sama dengan pasangan anda

Jangan cuba memenangi hati anak angkat tersebut secara sendirian. Ia ibarat anda sedang berlawan dan cuba memenangi pertandingan dengan pasangan anda. Ini sangat tidak sihat kerana kanak-kanak tersebut mungkin akan lebih cenderung kepada satu pihak sahaja. Bekerjasama dengan pasangan anda seperti bergilir-gilir memandikan kanak-kanak tersebut. Kaedah ini adalah lebih baik dan sihat.

  • Nikmati masa tersebut

Tahun-tahun pertama merupakan satu tempoh masa penyesuaian dan peralihan untuk kanak-kanak dan anda sebagai penjaga baharu. Pasti terdapat banyak kesukaran dan kejanggalan yang akan berlaku untuk menemukan titik persamaan antara anda dan anak angkat anda. Walau bagaimanapun, nikmatilah tempoh tersebut sebagai satu tempoh masa pembelajaran untuk anda kerana ia adalah tempoh dimana anda lebih rapat dengannya. Apabila dia sudah meningkat dewasa, percayalah bahawa anda akan mula merindui zaman di mana anda membesarkannya.

Anda tidak perlu untuk menjadi seorang yang kaya atau mempunyai kemewahan seperti Putera Harry untuk membahagiakan anak angkat anda. Kasih sayang dan perhatian sudah cukup untuk membahagiakan seorang kanak-kanak yang mungkin sudah lama tidak dapat merasainya. Buka hati anda untuk menerima kanak-kanak ini dengan sepenuhnya, dan anggaplah dia sebagai anak kandung anda sendiri. Kasih sayang boleh dipupuk selagi mana anda ikhlas dalam satu-satu hubungan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut