Minggu demi minggu

Ubat Gigi, Adakah Sesuai Digunakan Pada Bayi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Penjagaan oral kanak-kanak perlu bermula sejak mereka masih bayi lagi. Sungguhpun bayi masih belum tumbuh gigi pertama, namun ibu bapa perlu mula menjaga kebersihan mulut dan gusi bayi. Penjagaan oral kanak-kanak sinonim dengan penggunaan berus gigi bayi, kain lembut dan juga ubat gigi.

Gigi bayi mungkin kecil, tetapi ia memainkan peranan penting dalam tumbesarannya kelak. Ia bertindak sebagai ruang letak untuk gigi dewasa nanti. Tanpa set gigi bayi yang sihat, anak anda akan mengalami masalah besar untuk mengunyah dan bercakap dengan jelas. Itu sebabnya penjagaan gigi bayi dan menjaganya agar bebas dari kerosakan adalah sangat penting. Walau bagaimanapun, seawal usia berapakah bayi boleh diberikan ubat gigi dan bagaimana anda ingin membersihkan gusi dan gigi bayi yang kecil?

Bagaimana menjaga gigi dan gusi bayi?

Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? - penjagaan gusi bayi

Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak tumbuh gigi untuk memulakan penjagaan oral mereka. Anda sudah boleh mula menjaga gusi bayi sebelum gigi pertamanya tumbuh lagi. Tetapi pada permulaannya, ia tidak melibatkan penggunaan berus gigi dan ubat gigi.

Caranya adalah dengan:

  • Sebelum gigi bayi tumbuh, anda boleh mula bersihkan gusi dan mulutnya menggunakan kain basah lembut atau lembap atau sekeping kain kasa
  • Secara perlahan-lahan, lapkan dan gosokkan pada gusi dan sekitar mulut bayi.
  • Lakukannya sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutamanya selepas penyusuan dan sebelum tidur.
  • Jika bayi sudah tumbuh gigi, anda boleh mula perkenalkan berus gigi yang direka khas untuk bayi dengan berus lembut. Anda hanya perlu basahkan berus gigi dan kemudian gosokkan perlahan gigi bayi.

Cara ini akan dapat membantu membasuh, menyingkirkan dan menghalang bakteria daripada melekat pada gusi. Bakteria ini boleh menyebabkan plak yang melekit yang akan mengakibatkan kerosakan pada gigi apabila ia tumbuh nanti.

Bila perlu mula perkenalkan bayi dengan ubat gigi?

Apabila gigi pertama atau turut dikenali sebagai gigi susu bayi mula muncul, anda boleh mula menggosok gigi bayi anda dengan berus gigi. Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan berus gigi, iaitu:

  • Berus lembut
  • Kepala kecil
  • Pemegang besar

Sebagai permulaannya, hanya basahkan berus gigi tanpa menggunakan sebarang ubat gigi. Bayi hanya boleh menggunakan ubat gigi jika sudah berusia 18 bulan dan ke atas. Sebelum mencapai usia yang dinyatakan, anda hanya boleh memperkenalkannya dengan ubat gigi jika disarankan oleh doktor gigi.

Apabila gigi susu tumbuh dengan banyak, anda boleh menggunakan ubat gigi pada jumlah sebesar sebutir beras. Jumlah penggunaan ubat gigi rendah atau bebas fluorida akan ditingkatkan kepada saiz kacang pis apabila anda anda berusia lebih 18 bulan. Berus gigi anak anda dengan lembut pada sekitar gigi susunya, di bahagian depan dan belakang.

Anda perlu membantu memberus gigi anak anda sehingga dia mampu untuk memegang berus sendiri. Tetapi pastikan anda mengawal proses memberus gigi itu sehingga anak anda dapat membilas dan meludah dengan sendiri dan tanpa sebarang bantuan.

Apa itu fluorida?

Fluorida adalah sejenis mineral yang dijumpai secara semula jadi di dalam air, tanah dan udara. Hampir semua air mengandungi fluorida, tetapi paras fluorida boleh berubah-ubah bergantung kepada dari mana air itu berasal.

Penggunaan fluorida ditambah ke dalam ubat gigi dengan tujuan untuk:

  • Mencegah kaviti
  • Menguatkan enamel gigi yang lemah
  • Menterbalikkan kerosakan gigi awal
  • Mengehadkan pertumbuhan bakteria oral
  • Melambatkan kehilangan mineral daripada enamel gigi.

Bagaimanapun, terdapat perdebatan mengenai keselamatan fluorida, termasuklah ubat gigi berfluorida kepada manusia. Namun, American Dental Association masih menyarankan penggunaan ubat gigi ini kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Cuma, ia perlu digunakan dengan betul.

Selamatkah ubat gigi fluorida untuk bayi?

Seperti yang dikatakan awal tadi, kepentingan penjagaan kesihatan mulut yang baik adalah amat penting untuk dimulakan dari awal. Ia harus bermula sebelum bayi anda mula untuk tumbuh gigi susu yang pertamanya dengan mengelap gusi dan mulut dengan kain lembut dan lembap untuk membantu membuang bakteria.

Apabila gigi susu mula tumbuh, American Academy of Pediatrics menyarankan untuk beralih kepada penggunaan berus gigi dan ubat gigi bebas fluorida. Tetapi kuantiti ubat gigi yang digunakan adalah sangat sedikit dan tidak melebihi saiz sebutir beras. Penggunaan ubat gigi bebas fluorida ini harus digunakan sehingga anak anda mencapai usia 2 tahun.

Anda boleh menambah jumlah ubat gigi berfluorida jika usia kanak-kanak sekitar 3 hingga 6 tahun, kerana ketika ini mereka sudah pandai meludah semasa menggosok gigi. Pada tempoh usia ini, setiap kali anak anda ingin memberus gigi, kehadiran anda atau individu dewasa lain perlu ada sebagai pengawasan. Menurut American Dental Association, kanak-kanak di bawah usia 6 tahun cenderung untuk tertelan ubat gigi kerana tindak balas refleks menelan mereka masih belum berkembang sepenuhnya.

Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? - penggunaan ubat gigi

Bagaimana jika bayi saya tertelan ubat gigi?

Sekiranya ibu bapa mematuhi jumlah pemberian ubat gigi yang disarankan, adalah tidak mengapa jika bayi tertelan sedikit daripada saiz kecil ubat gigi yang ada pada berus gigi. Bagaimanapun, jika anda meletakkan jumlah ubat gigi yang lebih banyak, dan anak anda tertelan sedikit daripadanya, terdapat kemungkinan bayi mengalami sakit perut. Ini tidak semestinya berbahaya, tetapi anda boleh membawa bayi berjumpa doktor jika bimbang dengan keadaan kesihatan si manja anda.

Ubat gigi berfluorida adalah selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Jika anda bimbang anak anda akan tertelan ubat gigi, sentiasa pantau anak kecil anda semasa memberus gigi, sehinggalah dia sudah boleh memberus giginya sendiri dan pandai meludah.

Apa yang perlu dilakukan jika bayi tidak suka memberus gigi?

Ia merupakan satu situasi normal yang berkemungkinan besar untuk berlaku. Tidak semua bayi menyukai apabila giginya dibersihkan. Keadaan ini akan cenderung untuk berlaku apabila bayi anda sedang dalam tempoh pertumbuhan gigi yang menyebabkan gusinya menjadi lembut dan sakit, sekali gus mengakibatkan bayi anda akan menolak untuk digosok giginya. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengendalikan situasi ini:

  • Jangan memaksa. Gusi bayi adalah sangat sensitif walaupun ia mungkin bukan tempoh pertumbuhan gigi, jadi seandainya bayi anda amat tidak menggemari aktiviti memberus gigi, anda perlu menggunakan kain lap yang lembut dan lembap dan menggosok serta mengelapnya secara perlahan-lahan.
  • Menyanyi. Bagi sesetengah bayi, sedikit gangguan adalah apa yang diperlukan untuk memudahkan proses memberus gigi. Cuba untuk mengalunkan sebarang lagu atau bunyi semasa membersihkan gigi bayi anda.
  • Contoh. Anda mungkin perlu menunjukkan contoh bagaimana proses memberus gigi dilakukan, dengan membenarkan anak anda melihat anda menggosok gigi dan menyukainya. Ia dipercayai dapat membantu anak anda untuk menyukai masa menggosok gigi.
  • Biarkan bermain. Bayi anda mungkin mempunyai sifat ingin tahu mengenai berus gigi atau berus jari tersebut. Tarik minatnya dengan membenarkan dia untuk memegang dan meneliti mengikut kemahuannya. Dia mungkin secara tidak langsung memasukkan berus tersebut ke dalam mulutnya dan memberus giginya secara sendiri.

Perkembangan gigi anak

Apakah peringkat perkembangan gigi anak anda? Perkembangan gigi kanak-kanak adalah proses transformasi berterusan sehingga mereka memasuki alam dewasa. Berikut adalah pecahan pertumbuhan gigi anak anda.

Jenis-jenis gigi

Terdapat empat jenis gigi utama. Setiap satunya adalah unik serta memberi fungsi dan kegunaan yang berbeza:

  • Gigi kacip adalah gigi depan atas dan bawah. Apabila kita menggigit makanan, gigi kacip akan berfungsi seperti gunting untuk memotong makanan tersebut.
  • Gigi taring adalah tajam, dan mengapit gigi seri pada rahang atas dan bawah. Gigi taring berfungsi untuk mengoyak makanan.
  • Gigi geraham depan adalah gigi berpermukaan rata pada bahagian belakang mulut di sebalik gigi taring dan berfungsi untuk menghancurkan makanan.
  • Gigi geraham belakang terletak di bahagian belakang dan lebih besar daripada gigi geraham depan. Jenis gigi ini juga rata dan juga digunakan untuk menghancurkan makanan.

Gigi sebelum lahir

Semasa dalam kandungan lagi, bayi anda sudah mula membentuk gigi pada awal kehamilan. Hakikatnya, tisu pertama tunas gigi bayi terbentuk pada minggu keenam semasa dalam rahim ibu. Enamel mula untuk berkembang apabila fetus berada pada usia tiga ke empat bulan. Apabila bayi lahir, mereka selalunya sudah mempunyai 20 gigi susu di bawah gusi.

Gusi selepas lahir

Kanak-kanak akan mula fasa hendak tumbuh gigi (teething) sekitar usia mereka enam bulan. Ini adalah proses di mana gigi susu hendak keluar melalui gusi bagi membolehkan gigi berfungsi. Kanak-kanak selalunya tumbuh kesemua 20 gigi susu sebelum usia mereka 24 bulan. Gigi bayi selalunya akan keluar dalam turutan tertentu termasuklah gigi kacip, gigi geraham depan, gigi taring dan gigi geraham belakang.

Gigi geraham belakang kekal mula tumbuh pada usia kanak-kanak 5 tahun. Gigi geraham ini berada di bahagian belakang dan tumbuh terakhir sekali. Seterusnya, gigi kacip tengah pada rahang bawah akan tercabut dan digantikan dengan gigi kacip kekal. Meskipun ini adalah turutan standard, namun setiap kanak-kanak mengalami pertumbuhan gigi berbeza dan giginya boleh tercabut pada masa atau turutan yang berbeza.

Dari usia 5 hingga 11 tahun, kanak-kanak akan hilang gigi susu yang lain dan digantikan dengan gigi kekal.

Kanak-kanak akan tumbuh gigi geraham belakang kedua sekitar usia 11 atau 12 tahun. Ini adalah gigi paling belakang yang tumbuh sebelum gigi bongsu, yang akan tumbuh sekitar usia 17 hingga 21 tahun. Namun, bukan semua orang akan tumbuh gigi bongsu. Walau bagaimanapun, jika kesemua gigi sudah terbentuk, seorang dewasa akan mempunyai 32 batang gigi.

Bagaimana untuk menangani kehilangan gigi?

Walaupun ia merupakan proses semula jadi, namun kehilangan gigi boleh jadi menyakitkan untuk kanak-kanak, terutamanya bagi anak kecil. Namun, sesetengah kanak-kanak juga ada yang tidak merasai kesakitan semasa gigi tercabut. Sebagai ibu bapa, anda perlu membantu anak anda menangani proses ini secara fizikal dan emosi. Setiap ibu bapa perlu menenangkan anak mereka dengan cara menerangkan bahawa setiap kanak-kanak akan merasai pengalaman proses kehilangan gigi dan tumbuh gigi kekal. Bagi melegakan kesakitan akibat kehilangan gigi, anda boleh letakkan ubat antikeradangan atau kompres-dingin tanpa preskripsi bagi melegakan ketidakselesaan. Berbincanglah dengan doktor gigi anak anda untuk mendapatkan saranan bagi ubat yang boleh mengurangkan sakit gigi kanak-kanak.

Pereputan gigi anak

Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi?i - pereputan gigi

Pereputan gigi dalam kalangan bayi dan kanak-kanak selalunya dikaitkan dengan penggunaan botol susu mereka. Ini kerana gigi boleh mereput akibat pendedahannya kepada cecair manis yang mengandungi gula seperti (susu ibu, susu formula dan jus buah-buahan) dalam tempoh yang lama. Bakteria di dalam mulut akan bergerak balas dengan gula lalu mengeluarkan asid yang boleh merosakkan gigi. Ini akan menyebabkan gigi mereput dan keadaan ini dikenali sebagai baby bottle tooth decay (BBTD).

Apakah petanda dan simptom baby bottle tooth decay?

Berbeza dengan kaviti yang selalunya tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kondisi ini akan menyerang bahagian hadapan gigi anak anda yang jelas kelihatan. Kebanyakan ibu bapa tidak akan perasan akan gejala ini kerana kerosakan gigi ini pada mulanya tidak akan terlihat sehinggalah lapisan enamel gigi terhakis dan memperlihatkan gigi yang sudah reput.

Sebaiknya, bawalah anak anda berjumpa dengan doktor gigi sekiranya anda perasan gigi anak anda mulai rosak atau anak anda mengadu sakit pada bahagian mulut mereka.

Apa yang perlu dilakukan?

Ada beberapa langkah yang boleh membantu mencegah pereputan gigi berlaku. Ini termasuklah mempraktikkan penjagaan oral pada awal usia anak anda lagi. Berikut merupakan apa yang boleh dilakukan untuk mengelak pereputan gigi:

  • Bersihkan dengan lembut menggunakan pad atau kapas yang bersih setiap kali selepas makan
  • Mula berus gigi anak anda tanpa menggunakan ubat gigi sejurus gigi pertamanya mulai tumbuh
  • Bersihkan dengan lembut bahagian gusi yang masih belum tumbuh gigi
  • Flos gigi anak anda selepas ia mulai tumbuh
  • Pastikan anak anda mendapatkan fluorida yang mencukupi untuk membantu menghilangkan kaviti. Jika air di kawasan anda diami tidak mempunyai fluorida, berhubunglah dengan doktor gigi atau doktor anda untuk mendapatkannya
  • Bawa anak anda berjumpa doktor gigi menjelang ulang tahun pertama kelahirannya untuk membuat pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu takut untuk menghentikan sesuatu tabiat buruk anak anda, Cuba halang anak anda daripada melakukan tabiat seperti menggigit botol susu semasa tidur untuk mengurangkan risiko pereputan gigi dengan:

  • Secara beransur-ansur, cairkan kandungan botol dengan air selama 2 hingga 3 minggu
  • Setelah tempoh itu tamat, isi botol tersebut dengan air putih

Sentiasa ingat bahawa penjagaan gigi anak anda semasa kecil akan memberi kesan kepada kesihatan gigi dan mulut dewasa kelak

Bagaimana menghalang pereputan gigi daripada berlaku?

Berikut merupakan beberapa tip untuk menghalang berlakunya pereputan gigi:

  • Jangan isi botol anak anda dengan cecair yang mengandungi kandungan gula seperti gelatin, punch atau minuman berkarbonat
  • Cuba tidurkan anak anda dengan botol air berisi air putih sahaja bukannya jus, susu atau minuman lain
  • Beri anak anda yang berumur 6 hingga 12 bulan hanya susu formula di dalam botol
  • Alihkan botol susu setelah anak anda sudah tertidur
  • Elakkan anak anda untuk berjalan dengan botol susu sebagai pengganti puting palsu. Selain itu, jangan biasakan anak anda dengan puting palsu serta jangan celupkan puting palsu mereka ke dalam madu atau sebarang bentuk sirap atau gula
  • Ajar anak anda untuk minum menggunakan cawan sekitar berusia 6 bulan. Berhenti menggunakan botol apabila mereka sudah mencecah usia 12 hingga 14 bulan
  • Hadkan jus kepada 6 auns sahaja pada setiap sajian

Tip penjagaan gigi anak anda:

  • Setiap kali selepas makan, lapkan gigi dan gusi anak anda dengan menggunakan pad atau kapas yang bersih untuk menanggalkan plak
  • Mula berus gigi anak anda sejurus gigi mulai tumbuh. Jadikan ia sebagai rutin bersama sebelum anda tidur. Jika anak anda sudah mula meningkat usia, gunakan pad atau kapas lembut berserta ubat gigi yang tidak mempunyai florida dan sapukannya perlahan-lahan pada gigi mereka. Anda boleh mula menggunakan ubat gigi dengan fluorida apabila anak anda sudah pandai untuk meludahkannya semula selepas memberus gigi. Pastikan anak anda menggunakan berus gigi yang lembut dan kecil selain amaun ubat gigi yang sedikit sahaja
  • Mula flos gigi anak anda apabila semua gigi susu sudah tumbuh (biasanya sekitar berusia 2 ½)
  • Jika anak anda berusia 6 bulan atau lebih, anda boleh mula gunakan sumber air atau suplemen yang mempunyai fluorida
  • Periksa gigi anak anda dengan kerap dan bawa mereka berjumpa doktor apabila kesemua gigi susu anak anda sudah tumbuh pada usia 2 hingga 3 tahun

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut