backup og meta

Melahirkan Bayi Tidak Cukup Bulan? Ini 5 Petua Penjagaan Untuk Si Manja

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/01/2023

    Melahirkan Bayi Tidak Cukup Bulan? Ini 5 Petua Penjagaan Untuk Si Manja

    Setiap pasangan suami isteri, masing-masing mengharapkan kelahiran cahaya mata yang normal dan sihat. Namun, tidak semua berpeluang memiliki kelahiran seperti yang disangka. Ada pasangan yang mungkin ditakdirkan akan memiliki anak pramatang. 

    Ikuti perkara-perkara yang perlu anda tahu seperti berikut jika melahirkan bayi pramatang.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Ciri-ciri anak pramatang

    Sekiranya anda memiliki bayi pramatang, dia mungkin tidak kelihatan atau berkelakuan seperti bayi yang lain. Antara ciri-ciri bayi pramatang adalah:

    • Sekiranya purata bayi lain mempunyai berat sekitar 3.17 kg, bayi pramatang mungkin mempunyai berat sekitar 2.26 kg atau mungkin juga kurang daripada itu
    • Saiz tubuhnya juga adalah lebih kecil. Memandangkan jumlah lemak yang dimilikinya juga adalah sangat sedikit, kulitnya juga mungkin kelihatan agak nipis sehingga boleh menampakkan salur dan pembuluh darah
    • Semakin awal bayi anda dilahirkan, maka saiznya akan menjadi semakin kecil, dan kepalanya pula akan kelihatan lebih besar. Ini disebabkan oleh saiz tubuhnya yang kelihatan sangat kecil. Lemak tubuh yang dimilikinya juga semakin berkurangan

    anak pramatang

    • Bayi pramatang juga akan mempunyai bulu halus yang disebut sebagai lanugo di bahagian belakang tubuh dan bahu
    • Tubuhnya akan kelihatan sedikit bertulang berbanding bayi normal yang mungkin kelihatan lebih gebu pada kebiasannya. Walau bagaimanapun, anda tidak perlu risau kerana bayi pramatang juga akan mengalami perkembangan dan mempunyai ciri yang sama dengan bayi yang normal lain kelak
    • Memandangkan bayi yang dilahirkan secara pramatang ini tidak mempunyai lapisan lemak pelindung, bayi tersebut akan menjadi sejuk walaupun dalam suhu bilik yang normal. Bayi akan diletakkan di dalam inkubator sejurus selepas dilahirkan atau di bawah sejenis alat pemanas khas yang disebut sebagai pemanas cahaya. Melalui kaedah ini, suhu boleh dilaraskan untuk memastikan bayi mendapat suhu yang bersesuaian

    Bagaimana bayi pramatang berkelakuan?

    Bayi pramatang juga akan berkelakuan sedikit berbeza berbanding bayi normal yang lain. Antara kelakuan yang mungkin anda boleh perhatikan ialah:

    • Bayi pramatang akan menangis dengan lebih perlahan dan mungkin akan mengalami sedikit masalah pernafasan. Ini adalah disebabkan oleh sistem pernafasannya yang masih tidak matang
    • Sekiranya anak pramatang anda dilahirkan dua bulan lebih awal daripada biasa, masalah pernafasan yang dialaminya boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius kerana organ tubuh badannya yang lain tidak mendapat bekalan oksigen yang mencukupi. Untuk memastikan agar masalah ini tidak berlaku, doktor akan memantaunya dengan lebih teliti dan melihat bagaimana dia bernafas bersama-sama kadar degupan jantung.
    • Sekiranya anak pramatang ini memerlukan bantuan pernafasan, dia mungkin akan diberikan bantuan oksigen tambahan, atau alat khas seperti ventilator. Berkemungkinan juga teknik bantuan pernafasan yang lain yang dipanggil CPAP (continued positive airway pressure) akan digunakan untuk sementara waktu bagi menyokong pernafasannya

    Baca juga:

    5 tip penjagaan anak pramatang

    1#. Bekerjasama dengan unit penjagaan rapi neonatal (NICU)

    Pada kebiasaannya, bayi pramatang akan dimasukkan ke unit penjagaan rapi neonatal (NICU) agar penjagaan terbaik dapat diberikan kepadanya.

    Ini adalah peluang terbaik untuk anda mempelajari segala kemahiran yang diperlukan apabila tiba masanya untuk anda membawa pulang bayi ke rumah.

    Perhatikan bagaimana doktor dan jururawat melakukan setiap perkara, dan bertanya kepada mereka sekiranya terdapat sebarang persoalan. 

    2#. Penyesuaian makanan untuk anak pramatang

    Semasa di NICU, anda akan menentukan sekiranya bayi anda disusukan dengan susu ibu atau susu formula. Susu ibu semestinya pilihan terbaik untuk setiap bayi.

    Walau bagaimanapun, susu ibu perlu diperkayakan dengan protein, vitamin, dan mineral tambahan untuk memenuhi keperluan nutrisi yang tinggi oleh bayi pramatang.

    Ia biasa akan dicampurkan dengan human milk fortifier, sejenis produk nutrisi yang berfungsi menggalakkan tumbesaran sihat untuk bayi pramatang.

    anak pramatang

    3#. Ikuti isyarat dan peraturan pemakanan

    Di hospital, bayi pramatang biasanya akan belajar untuk menghisap, menelan dan bernafas untuk makan secara selamat.

    Di hospital, bayi pramatang akan diberikan susu sebanyak 5 ml dalam setiap 3 jam. Sekiranya bayi sudah mula boleh disusukan secara penyusuan badan atau susu botol, bayi tersebut akan mula dibenarkan pulang ke rumah bersama anda.

    Di rumah, perhatikan isyarat bayi anda. Anda mungkin perlu mengubah waktu dan kuantiti susu yang ingin diberikan memandangkan perut bayi anda sudah mula membesar. 

    4#. Pastikan persekitaran dalam keadaan bersih untuk anak pramatang

    Bayi pramatang anda mungkin memiliki sistem imun yang agak lemah. Sila ambil langkah berjaga-jaga berkenaan kebersihan persekitaran rumah anda agar kesihatan bayi anda kekal terjaga.

    Pastikan mereka yang datang berziarah mencuci tangan mereka terlebih dahulu dengan sabun dan air suam bersih sebelum mereka memangku bayi anda, dan begitu juga diri anda.

    Pastikan tahap kebersihan ini kekal terjaga dalam semua aspek termsuklah semasa penyediaan susu bayi.

    anak pramatang

    5#. Kekal selesa dan elakkan suhu yang dingin

    Jika rumah anda berada dalam keadaan yang dingin, pakaikan bayi anda dengan pakaian yang boleh mengekalkan suhu badannya.

    Bayi tidak cukup bulan memiliki jumlah lemak badan yang sedikit, oleh itu pakaian yang sesuai amat diperlukan agar bayi anda tidak kesejukan.

    Pastikan juga pakaian tersebut selesa, bukannya cantik luaran semata-mata.

    Menjaga anak pramatang menjadikan anda sebahagian daripada golongan ibu bapa yang sangat prihatin dan amat berhati-hati dalam melakukan setiap perkara, terutamanya jika ia berkaitan dengan bayi anda.

    Jangan risau, pasukan kesihatan ibu dan bayi di hospital akan sentiasa membantu anda menjaga bayi anda, dan tidak akan meninggalkan anda keseorangan.

    Dapatkan nasihat daripada mereka dan sentiasa merujuk kembali kepada mereka sekiranya terdapat sebarang kesulitan yang timbul. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan