Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap ibu bapa semestinya mahukan anak yang mendengar kata, tahu menjaga diri dan beradab. Tiada ibu bapa yang menyukai apabila anaknya membuat perangai, menangis atau merengek apabila tidak mendapat apa yang diingini. Malahan pastinya tidak ada ibu bapa yang mahukan anak remaja menjadi seorang individu yang gemar melanggar peraturan, bergaduh dan melawan kata. Kunci untuk menghindari tingkah laku sebegini adalah terletak kepada bagaimana asuhan ibu bapa dan disiplin yang digunakan dalam mendidik anak-anak. Tetapi apakah bezanya antara disiplin dan hukuman dalam mendidik anak-anak? Ikuti artikel ini untuk membantu anda mengenal pasti perbezaan antara kedua-duanya dan kesan penggunaan hukuman kepada anak-anak.

Disiplin atau hukuman?

Mendisiplinkan anak-anak, adalah satu cabang tanggungjawab dan peranan kepada setiap ibu bapa dan pastinya merupakan perkara yang agak kurang digemari dalam aspek keibubapaan. Mendisiplinkan anak boleh menjadi satu perihal yang boleh mendatangkan kekecewaan, memenatkan dan meletihkan, malahan mungkin perkara yang paling sukar untuk dilakukan oleh setiap individu bergelar ibu bapa.

Apabila berbicara mengenai perihal mendidik dan memperbetulkan tingkah laku mahupun salah laku anak anda, terdapat perbezaan besar antara disiplin dan hukuman. Hukuman hanya akan menumpukan tentang bagaimana membuat atau menjadikan seorang kanak-kanak takut kerana melanggar peraturan, sebaliknya dislipin adalah mengenai mengajarnya bagaimana untuk membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Disiplin adalah berdasarkan idea bahawa kanak-kanak akan melakukan yang lebih baik jika mereka berasa lebih baik. Ia bertujuan untuk mengajar kanak-kanak tingkah laku positif bagi setiap peringkat usia. Ia membantu menjadikan kanak-kanak seorang yang:

  • Bertenang
  • Belajar untuk menyelesaikan masalah
  • Belajar untuk mengendalikan kemarahan
  • Belajar untuk mengawal emosi dan perasaan
  • Mempelajari untuk mengetahui tingkah laku dan kelakuan yang dijangkakan dan diharapkan daripada mereka

Hukuman adalah berdasarkan kepada idea bahawa kanak-kanak perlu berasa takut, malu, kesakitan atau penghinaan untuk belajar bagaimana mempunyai adab atau tingkah laku yang lebih baik. Hukuman adalah:

  • Mengawal tingkah laku melalui kekuasaan dan ketakutan
  • Melatih kanak-kanak untuk berbohong atau menyembunyikan kesilapan dan salah laku
  • Lebih memfokuskan kepada tingkah laku negatif
  • Mengajar anak untuk bersikap dengan atau pada cara tertentu bagi mengelakkan sebarang kesan dan akibat negatif  dan menggalakkan rasuah

Jadi apakah perbezaan sebenar antara hukuman dan disiplin?

Apa itu hukuman?

Hukuman adalah sebarang bentuk denda yang diberikan kepada setiap kesalahan yang dilakukan kanak-kanak. Ia adalah mengenai tentang menjadikan seorang anak itu ‘membayar’ untuk kesilapan yang dilakukan. Adakalanya, keinginan untuk memberi hukuman itu timbul kerana kekecewaan yang dihadapi oleh ibu bapa.

Terdapat juga punca yang mengakibatkan seseorang kanak-kanak itu dihukum adalah kerana rasa putus asa ibu bapa terhadap salah laku anak dan merasakan tindakan seperti menjerit, memukul atau mengambil balik segala keistimewaan yang diberikan kepada anak-anak adalah antara cara yang jelas untuk menghantar mesej bahawa anak harus mengubah tingkah laku atau hukuman akan terus diberikan.

Dipercayai bahawa kebanyakan ibu bapa yang bersikap autoritarian adalah lebih cenderung untuk menghukum anak-anak. Hukuman adalah mengenai mengawal anak, dan bukannya untuk mengajar anak tentang bagaimana harus mengendali dan mengawal diri. Dan sering kali, hukuman akan menyebabkan kanak-kanak mengubah cara mereka berfikir tentang diri sendiri.

Seorang kanak-kanak yang sering kali dihukum dan menanggung hukuman yang berat akan mula berfikir, ‘saya seorang yang jahat’. Daripada memikirkan bahawa keputusan dan pilihan yang dilakukan adalah tidak baik, sebaliknya dia akan lebih merasakan dan mempercayai bahawa dia adalah seorang individu yang jahat dan tidak baik.

Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak - hukuman

Masalah yang mungkin timbul dengan hukuman

Selalunya, sebarang hukuman yang diberikan tidak akan dapat membantu untuk mengajar seorang kanak-kanak untuk menjaga tingkah laku. Sebagai contoh, seorang anak yang dihukum kerana memukul adiknya tidak akan belajar untuk bagaimana menyelesaikan konflik dengan cara yang baik. Tetapi hukuman yang diberikan akan menyebabkan timbulnya kekeliruan tentang mengapa anda boleh memukulnya dan kenapa ia tidak menjadi kesalahan kepada anda, sebaliknya ia menjadi kesalahan kepada dia untuk memukul adiknya.

Hukuman yang diberikan kepada kanak-kanak turut akan menyebabkan wujudnya kepercayaan bahawa mereka tidak akan mempunyai kemampuan untuk mengawal tingkah laku mereka sendiri. Dan mempercayai bahawa ibu bapa mesti membantu mengawal tingkah laku mereka.

Hukuman yang terlalu berat boleh menyebabkan timbulnya rasa marah dan dendam pada kanak-kanak terhadap individu yang memberikan hukuman, dan tidak akan menyebabkan mereka berfikir tentang sebab mereka mendapat masalah. Jadi daripada memikirkan tentang bagaimana untuk menjadi lebih baik pada masa akan datang, kanak-kanak akan lebih memikirkan tentang bagaimana untuk membalas dendam atas segala hukuman yang diterima.

Apa itu disiplin?

Disiplin adalah cara yang boleh membantu untuk mengajar kanak-kanak kemahiran baru, seperti tentang bagaimana untuk mengawal tingkah laku, menyelesaikan masalah dan mengendalikan emosi dan perasaan yang mendatangkan ketidakselesaan pada diri. Disiplin membantu kanak-kanak untuk belajar daripada kesilapan dan mengajar mereka cara yang terbaik untuk menangani emosi seperti kemarahan dan kekecewaan.

Teknik untuk mendisplinkan anak-anak adalah termasuk seperti memberikan tempoh masa tertentu atau menarik balik sebarang keistimewaan yang diberikan. Ia bermatlamat untuk memberitahu kepada anak-anak tentang kesan negatif yang akan berlaku terhadap sebarang tingkah laku atau keputusan yang tidak sepatutnya dilakukan dan membantu anak untuk membuat keputusan yang lebih baik pada masa akan datang.

Disiplin akan mengambil gaya asuhan keibubapaan autoritatif, iaitu satu pendekatan yang lebih berwibawa. Ini kerana gaya asuhan ini akan menggabungkan dua gaya asuhan – autoritarian dan permisif – tidak cenderung mengawal tetapi dalam masa yang sama tidak cenderung membenarkan anak untuk melakukan sesuka hati. Ia akan melibatkan disiplin yang lebih sihat di mana anak-anak jelas mengenai peraturan dan kesan negatif yang akan berlaku jika melanggar peraturan tersebut. Kebiasaannya peraturan yang dibuat akan menyenangkan kedua-dua belah pihak, sama ada ibu bapa mahupun anak-anak.

Manfaat disiplin kepada kanak-kanak

Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak - disiplin

Disiplin adalah lebih bersifat proaktif, dan bukannya reaktif. Ia dipercayai dapat mencegah banyak masalah tingkah laku dan memastikan kanak-kanak belajar secara aktif daripada kesilapan mereka.

Banyak teknik disiplin yang melibatkan pendekatan positif boleh diamalkan dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Antaranya seperti sistem pujian dan ganjaran. Sistem yang lebih positif akan menggalakkan tingkah laku yang baik pada kanak-kanak dan membantu mereka untuk lebih mematuhi peraturan.

Berbanding hukuman, disiplin akan memupuk dan menggalakkan hubungan positif antara ibu bapa dan anak-anak. Impak yang lain daripada hubungan positif yang wujud adalah ia akan membantu mengurangkan masalah tingkah laku yang lebih bersifat untuk mendapatkan perhatian dan cenderung menjadikan anak-anak lebih berkemampuan untuk menjaga tingkah laku.

Tidak dinafikan disiplin mungkin akan menimbul sedikit rasa bersalah pada diri kanak-kanak, tetapi ia tidak melibatkan rasa dimalukan. Faktor ini adalah penting, kerana seorang kanak-kanak yang merasakan sesuatu yang baik pada dirinya sendiri akan cenderung untuk membuat keputusan yang lebih baik. Ini juga membantu memupuk keyakinan dalam dirinya untuk menjaga kelakuan dan emosinya.

Kesan negatif memukul anak

Mendisiplinkan anak sememangnya merupakan tugas utama bagi pasangan ibu bapa. Kadangkala, ibu bapa juga gagal mengawal perasaan lalu memarahi anak yang melakukan kesalahan. Lebih teruk lagi, ada juga ibu bapa yang sanggup menggunakan kekerasan dan memukul anak dengan tangan ataupun objek hanya disebabkan salah laku yang mungkin tidak setimpal dengan hukuman yang diterimanya. Ini sebenarnya akan mendatangkan pelbagai kesan negatif.

Sekiranya anak anda melakukan kesalahan, kawal kemarahan anda. Selain itu, sentiasa sematkan dalam hati anda bahawa memukul dan kekerasan tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan dan ia hanya akan mendatangkan pelbagai kesan negatif yang lain, seperti:

  1. Ia tidak akan mengajar anak anda apa-apa

Anda perlu tahu bahawa memukul anak tidak akan mengajar anak apa-apa. Tidak wujud sebarang pengajaran dan pembelajaran yang boleh diperolehi melalui hukuman seperti ini. Paling bahaya, ia mungkin hanya akan menyebabkan anak anda mengalami parut pada badannya akibat kecederaan dipukul oleh anda.

  1. Mengeruhkan keadaan

Jika ibu bapa berpendapat bahawa memukul akan membuat anak anda tidak lagi melakukan kesalahan tersebut, anda sama sekali salah. Ini kerana kanak-kanak tetap akan mengulangi kesalahan tersebut dan jika ini terjadi, apakah yang anda ingin lakukan? Adakah anda perlu memukulnya dengan lebih kuat lagi? Tidak, memukul bukanlah jawapannya.

  1. Menyebarkan keganasan

Jika anda sendiri yang membenarkan keganasan ini tersebar dengan memukul anak anda, maka tidak mustahil jika mereka juga terpengaruh dengannya. Mereka akan beranggapan bahawa memukul merupakan jalan penyelesaian kepada setiap salah laku. Ini hanya akan menyebabkan mereka memukul rakan-rakan mereka yang melakukan kesalahan.

  1. Merendahkan nilai diri anak dan juga anda

Memukul anak anda sebenarnya bukan sahaja akan mencederakan fizikal mereka, malahan juga emosi mereka. Ini hanya akan membuatkan mereka hilang rasa hormat terhadap diri sendiri sekali gus merendahkan nilai diri mereka. Bukan kepada anak sahaja, ia juga akan merendahkan nilai diri ibu bapa yang memukul anak. Anda perlu tahu bahawa memukul anak jika mereka melakukan kesalahan hanya akan memuaskan hati anda ketika itu sahaja. Kesannya, anak anda akan takut kepada anda dan anda sendiri akan berasa menyesal kemudian hari.

Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak - memukul

  1. Membuat anak membenci ibu bapa

Sebagai kanak-kanak kecil, mereka masih belum mampu berfikir secara rasional. Disebabkan itu, mereka akan menganggap bahawa hukuman memukul mereka adalah satu ketidakadilan, penghinaan dan rasa tidak dihargai. Kesemua ini akan disimpan di dalam hati lalu menyebabkan mereka mula menyemai perasaan benci akan ibu bapa mereka sendiri.

  1. Memberikan kesan negatif pada jangka masa yang panjang

Ibu bapa seharusnya tahu bahawa perbuatan memukul anak akan mendatangkan kesan negatif pada jangka masa yang panjang, seperti:

  • Anak anda akan menjadi agresif
  • Anak anda akan menjadi egois dan anti sosial
  • Perkembangan kognitif dan emosi terbantut

Paling membimbangkan, kanak-kanak yang terlalu terdedah kepada keganasan semasa kecil cenderung untuk mencontohinya. Mereka mungkin akan menggunakan kekerasan ini untuk melakukan jenayah dan pelbagai kesalahan tingkah laku. Oleh itu, anda sebagai ibu bapa perlu mendisiplinkan anak anda daripada kecil lagi. Anda juga perlu sentiasa ingat bahawa memukul bukanlah satu pilihan hukuman yang terbaik.

Tindakan lain yang mungkin memburukkan lagi masalah tingkah laku

Terdapat beberapa tindakan atau hukuman selain memukul yang boleh membuatkan masalah tingkah laku kanak-kanak menjadi lebih buruk. Walaupun mungkin pada ibu bapa tujuan ia dilakukan adalah untuk membetulkan tingkah laku anak-anak, tetapi sebaliknya, ia mungkin akan mendatangkan kesan negatif.

  1. Menjerit

Pasti semua individu yang bergelar ibu bapa pasti pernah meninggikan suara kepada anak-anak, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidupnya. Walau bagaimanapun, menjerit secara kuat kepada kanak-kanak, tidak akan mendatangkan sebarang kesan positif. Sebaliknya, ia akan menjadikan anak anda terbiasa dengan jeritan tersebut dan tidak mengikut arahan anda. Semakin anda kerap menjerit dan memarahi anak, ia akan menjadikan anak anda seakan kebal terhadap perkara tersebut dan akan mengulangi tingkah laku yang tidak sepatutnya.

  1. Membebel

Membebel mengajar anak anda bahawa mereka tidak perlu mempunyai sikap yang bertanggungjawab. Ini kerana mereka mempercayai bahawa ibu bapa mereka akan kerap membebel kepada mereka dan menjadikan mereka tidak perlu berusaha untuk berubah dan menjadi lebih bertanggungjawab. Kerap membebel akan menyebabkan anak anda untuk memberikan jawapan, ‘Saya tahu!’, dan menggalakkan anak-anak untuk menjawab atau bertengkar dengan anak serta berjanji untuk melakukan sesuatu kemudian nanti berbanding melakukannya sekarang.

  1. Ugutan berulang

Jika anda memberikan ugutan kepada anak-anak tanpa tindakan yang seterusnya, ia akan membuatkan mereka belajar dengan cepat bahawa anda tidak tegas dengan apa yang dikatakan. Malahan, ia mungkin menyebabkan anak anda tidak akan mendengar kata dan teguran anda kerana mengetahui bahawa anda tidak akan melakukan sebarang hukuman yang telah anda katakan.

Katakan atau berikan sebarang ugutan seperti ingin menarik sebarang keistimewaan atau kesan negatif yang boleh anda lakukan. Disiplin yang konsisten adalah amat penting jika anda mahu anak anda berubah dan lebih menjaga tingkah laku mereka.

  1. Ceramah

Hampir sama dengan membebel, cuma ia mungkin tidak dilakukan secara kerap. Berceramah kepada anak tidak akan menyebabkan anak anda menyedari kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, daripada mendengar ceramah yang anda berikan, anak anda mungkin akan lebih memikirkan tentang betapa dia tidak menyukai anda berceramah.

Disiplin atau Hukuman, Cara Terbaik Mendidik Anak - ceramah

Cara yang terbaik, jelaskan mengenai kebimbangan anda, sebab mengapa anda mahukan anak anda untuk berubah dan jangkaan yang anda inginkan daripada anak anda. Daripada secara berterusan menyatakan kesilapan dan keputusan yang salah yang anak anda lakukan, gunakan peluang itu untuk mengajar anak anda cara untuk menyelesaikan masalah.

  1. Memalukan

Memalukan anak anda dengan memberikan hukuman kepadanya yang bermaksud untuk memalukannya pastinya tidak akan membantu anak anda untuk berubah. Walaupun pelbagai cara yang digunakan oleh ibu bapa dalam mengawal anak-anak, tindakan memalukan anak-anak adalah hanya akan membuatkan perkara menjadi lebih teruk.

  1. Hukuman tidak berkaitan

Memberikan kanak-kanak sesuatu hukuman yang tidak mempunyai kaitan dengan kesalahan tingkah laku yang dilakukan boleh menyebabkan mereka menjadi keliru. Jika sebagai contoh, seorang anak memukul adiknya dan dipaksa oleh ibu bapa untuk menulis, ‘saya tidak akan memukul adik lagi,’ ia sebenarnya tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya mungkin akan menyebabkan anak anda tidak menyukai penulisan. Sebaiknya, berikan sebarang kesan yang setimpal di atas setiap perbuatan yang dilakukan, kerana ia dipercayai dapat membantu kanak-kanak untuk mengingati kesan atas perbuatan yang dilakukan dan mencegahnya untuk mengulangi kesilapan yang sama.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan