backup og meta

“Tandem Nursing”: Siapa yang Perlu Diutamakan?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    “Tandem Nursing”: Siapa yang Perlu Diutamakan?

    Apakah itu tandem nursing?

    Tandem nursing adalah situasi seorang ibu menyusukan dua orang anak yang berbeza usia dalam tempoh waktu yang sama. Keadaan ini berlaku sekiranya seorang ibu melahirkan anak yang baharu dan pada sama, anaknya yang sedia ada masih lagi menyusu badan. Ini bukan satu masalah yang besar kerana tandem nursing adalah selamat bagi si ibu dan anak-anaknya.

    Tanpa mengira usia anak anda, susu ibu dapat membekalkan nutrien dan imuniti bagi melindungi anak anda daripada pelbagai jenis penyakit selagi mereka masih menyusu badan. Selain itu, menyusu badan juga dapat mengeratkan jalinan emosi antara si ibu dengan anak-anaknya. Oleh yang demikian, sebagai ibu, anda perlu terus memberi susu badan kepada anak-anak walaupun mereka terpaksa berkongsi bersama adik-beradiknya.

    Namun begitu, tandem nursing mempunyai manfaat dan kemudaratan yang tersendiri. Ikuti huraian artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tandem nursing.

    Manfaat tandem nursing

    Sebagai ibu, anda tidak perlu risau untuk melakukan tandem nursing. Berikut merupakan manfaat tandem nursing yang anda perlu tahu:

  • Semakin banyak anak-anak anda menyusu, semakin banyak susu akan dihasilkan. Oleh itu, anda tidak perlu risau akan kekeringan susu.
  • Ia dapat membantu mengurangkan pembengkakan payudara si ibu yang dialami ketika minggu pertama selepas bersalin.
  • Ia dapat membantu mengurangkan perasaan cemburu anak yang lebih tua sekaligus merapatkan hubungan dengan adik baharunya.
  • Ia memberi peluang untuk anak anda yang lebih tua kekal mendapatkan manfaat susu ibu daripada anda.
  • Ia memberi peluang untuk anda terus mengekalkan jalinan emosi antara anda dengan anak yang lebih tua.
  • Jika si ibu mengalami “overactive letdown” iaitu situasi susu keluar terlalu laju lalu menyukarkan anak anda yang masih bayi, anda boleh menyusukan anak anda yang lebih tua terlebih dahulu untuk memperbetulkan aliran susu tersebut.
  • Kemudaratan tandem nursing

    Namun demikian, tandem nursing turut mempunyai kesan sampingannya. Berikut merupakan kemudaratan tandem nursing yang anda perlu tahu:

  • Si ibu akan lebih mudah penat lantaran ia memerlukan nutrisi dan tenaga yang lebih banyak untuk menghasilkan susu.
  • Ia memerlukan masa yang lebih lama dan perhatian yang lebih sekiranya anak-anak anda menyusu pada waktu yang berbeza.
  • Menyusukan anak ketika sedang hamil mampu menyebabkan rasa loya.
  • Ada wanita yang akan mengalami peningkatan terhadap kemahuan seksualnya akibat perubahan hormon yang dialami jika melakukan tandem nursing.
  • Si ibu akan lebih mudah mengalami penurunan berat badan dan perlu makan lebih banyak untuk membekalkan lebih banyak nutrisi dan tenaga.
  • Si ibu terpaksa berhadapan dengan stigma sosial yang berpendapat bahawa anak yang lebih muda akan kurang mendapat nutrisi susu ibu kerana anak yang lebih tua sudah menghabiskannya terlebih dahulu.
  • Siapa perlu diutamakan?

    Setiap manfaat dan mudarat tandem nursing perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum anda memutuskan untuk melakukannya. Namun begitu, siapa yang perlu anda utamakan antara anak anda yang lebih tua dengan anak yang lebih muda?

    Jawapannya adalah anda perlu mengutamakan anak yang lebih muda. Ini kerana mereka memerlukan masa dan perhatian yang lebih daripada si ibu. Mereka juga memerlukan nutrien, kalori serta kolostrum sepenuhnya yang hanya mampu diperolehi oleh sumber utama makanan mereka iaitu susu ibu.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 16/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan