Sedihnya Tak Dapat Menyusukan Anak Sendiri

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bila tengok ibu-ibu lain dapat menyusukan anak sendiri, sure timbul rasa sayu dihati apabila sebagai ibu, anda tidak mampu berbuat perkara yang sama. Tetapi mengapakah ia boleh berlaku? Haa…kalau nak tau sebab-sebabnya, ikuti perkongsian artikel Hello Doktor ini.

Faktor gagal menyusukan anak

Adalah menjadi impian setiap wanita yang hamil ingin memberikan penyusuan eksklusif kepada anaknya apabila dilahirkan kelak. Ini kerana susu ibu sudah terbukti sebagai satu makanan terbaik yang memenuhi segala keperluan nutrisi bayi.

Tetapi bukan semua ibu dapat memberikan penyusuan eksklusif. Berikut adalah punca yang boleh mendasari permasalahan tersebut:

  1. Tiada susu

Sememangnya sewaktu kehamilan, sistem dalam badan akan mengalami perubahan dan mempersiapkan diri untuk kelahiran bayi. Begitu juga dalam aspek penghasilan susu badan. Namun susu akan dikeluarkan mengikut keperluan bayi. Disarankan pada peringkat awal, jika tiada susu yang keluar, ibu-ibu boleh merangsang pengeluaran susu badan dengan memberikan anak menghisap puting.

Jika pada peringkat awal, hanya cecair berwarna kuning pekat yang keluar dan dalam kuantiti yang sedikit, berikan ia kepada bayi anda. Cecair itu dikenali sebagai kolostrum dan ia sangat bagus dalam membantu meningkatkan antibodi si manja anda. 

  1. Tekanan

Apabila tiada susu yang keluar, pastinya ibu-ibu akan berasa tertekan, bukan? Sudah tentu tekanan yang dihadapi ini akan menyukarkan lagi penghasilan susu, sekali gus menjadi punca mengapa anda gagal untuk menyusukan anda. Semakin anda tertekan, semakin kurang hormon oksitoksin yang berperanan dalam membantu penghasilan susu badan.

  1. Desakan sekeliling

Pasti anda pernah mendengar saranan untuk memberikan susu formula kepada bayi untuk membantu bayi lebih kenyang? Lagi-lagi kalau bayi kerap menangis walaupun selepas menyusu sebab dikatakan bayi masih lapar. Itu semua adalah mengarut! Susu ibu sudah cukup untuk nutrisi yang diperlukan bayi. Si manja anda mungkin menangis disebabkan masalah lain seperti ketidakselesaan perut. 

  1. Pam susu

Apabila ibu tidak mengepam susu dan membiarkan sehingga payudara membengkak boleh menjadi punca mengapa anda gagal menyusukan bayi. Ini kerana ia seolah-olah ‘menghantar isyarat’ bahawa susu tidak diperlukan lagi. Keadaan ini sekali gus mengurangkan penghasilan susu badan.

Sebagai ibu, anda amatlah disarankan untuk mempunyai jadual mengepam susu yang tersendiri. Malahan anda mungkin perlu bangun pada awal pagi semata-mata untuk mengepam susu. Tempoh yang terbaik adalah untuk mengepam susu adalah dua hingga tiga jam sekali. 

  1. Sokongan

Sebagai seorang ibu yang baru melahirkan anak, terutamanya untuk zuriat sulung, sudah tentu memerlukan sokongan, khususnya sokongan daripada suami. Bayangkan jika anda bangun tengah malam untuk menyusukan anak atau mengepam susu, dan suami anda turut bangun menemankan anda, sudah tentu ia satu perkara yang membahagiakan, bukan? Lebih baik kalau suami menyiapkan minuman panas dan tolong mengurutkan badan anda. 

Jadi jika anda berasa anda perlukan teman dan sokong, cubalah untuk berbincang dengan pasangan anda. Dan buat para suami, silalah berikan kerjasama. Tanggungjawab membesarkan dan menjaga anak bukan tanggungjawan isteri anda seorang!

Lakukan yang terbaik

Walaupun anda mungkin akan mendengar ‘cakap-cakap’ individu sekeliling anda mengenai kebaikan susu formula. Percayalah, susu ibu adalah sumber pemakanan yang terbaik dan mencukupi buat si manja anda.

Elakkan dari mendengar sebarang percakapan yang berunsur negatif yang boleh menjatuhkan semangat anda seperti mengenai betapa banyaknya kuantiti susu dihasilkan oleh si dia, perlunya memberikan air masak dan sebagainya. 

Jika terdapat sebarang keraguan, dapatkan kepastian dengan bertanyakan kepada mereka yang lebih pakar. Jangan hanya bergantung kepada mereka yang kononnya arif dan ‘Mr Google’ sahaja!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut