backup og meta

Dah Nak Bersalin? Ketahui Persediaan Bersalin Buat Ibu dan Bayi

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/09/2019

    Dah Nak Bersalin? Ketahui Persediaan Bersalin Buat Ibu dan Bayi

    Setelah hampir 9 bulan anda melalui proses kehamilan, pastinya anda tidak sabar untuk melihat cahaya mata yang anda bakal dilahirkan tidak lama lagi. Tetapi bagaimana dengan persediaan bersalin? Sudahkah anda mendapatkan barang keperluan untuk anda dan bayi dalam kandungan anda? Adakah ia mencukupi? Haaa..jangan gementar. Kami di Hello Doktor akan cuba untuk membantu anda. Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui tentang persediaan bersalin yang perlu anda sediakan.

    Membuat persediaan untuk menyambut kelahiran anak yang dinantikan pastinya sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi jika anda dan pasangan telah menunggu sekian lama untuk mendapatkan zuriat. Walau bagaimanapun, ada kalanya apabila perasaan excited itu menguasai diri, sering kali kita sebagai ibu bapa akan terlebih belanja dalam menyediakan persiapan keperluan bayi. 

    Jadi untuk mengelakkan daripada membuat persediaan bersalin secara berlebihan, berikut disenaraikan beberapa barangan keperluan asas yang perlu anda. Selebihnya, anda boleh dapatkan selepas anda melahirkan bayi, itu pun jika anda merasakan masih belum mencukupi, ya?

    1. Pakaian bayi

    Perkara paling utama dalam melakukan persediaan bersalin adalah untuk mendapat beberapa helai pakaian bayi. Memilih dan membeli pakaian untuk bayi pastinya membuatkan anda rambang mata, bukan? Comel dan cantik sahaja pakaian yang terjual. 

    Walau bagaimanapun, anda amatlah dinasihatkan untuk tidak membeli pakaian bayi dalam jumlah yang terlalu banyak. Ini kerana bayi akan cepat membesar, jadi anda boleh menambah pakaian mereka seiring dengan tumbesaran mereka nanti. 

    Dari segi bahan material pakaiannya pula, pastikan ia dihasilkan daripada 100% kain kapas. Material kain yang lain dikhuatiri akan menyebabkan kerengsaan pada kulit bayi yang secara umumnya kita tahu amatlah sensitif. 

    2. Penyusuan bayi

    Kebanyakan ibu pada masa kini sudah menyedari mengenai kepentingan untuk memberikan bayi dengan susu badan. Jadi pastinya terdapat keperluan bersalin yang perlu anda sediakan seandainya anda memilih kaedah, antaranya pengepam susu, bekas simpanan susu, bekas rendaman stim dan berus mencuci botol. 

    Pastikan anda juga membeli baju dalam khas untuk menyusu, pad dan krim payudara (percayalah, untuk awal-awal proses penyusuan, anda cenderung mengalami masalah payudara melecet). 

    Jika anda bekerja, penting untuk anda menyediakan beg pendingin untuk menyimpan susu yang telah dipam ketika berada di pejabat. Kebiasaannya beg pendingin ini diberikan sekali ketika anda membeli pengepam susu. 

    Bagi keperluan pemberian susu formula pula, antara barang penting yang anda harus sediakan adalah botol susu, termos air panas, bekas air masak dan yang paling utama adalah susu formula pilihan anda.

    3. Mandian bayi

    Beberapa barangan keperluan asas untuk memandikan bayi adalah seperti tuala, minyak telon atau minyak urut untuk bayi (penting untuk mengelakkan bayi mengalami kembung perut), krim ruam bayi, dan putik kapas.

    Sebaiknya carilah tuala yang lembut dan mempunyai hud (hoodie), ini pastinya dapat membantu anda untuk membendung bayi selepas dimandikan. 

    Anda juga boleh menyediakan tab mandi untuk bayi bagi memudahkan anda untuk memandikan bayi anda. Namun, sekiranya anda merasakan sinki rumah anda sudah mencukupi dan selesa untuk anda dan paling utama bayi anda, maka manfaatkan sinki di rumah anda dengan sebaiknya. 

    Kulit bayi adalah sangat dan dalam masa yang sama sensitif. Anda boleh memandikan bayi anda dengan air semata-mata tanpa sebarang sabun mandian khas. Tetapi jika anda memilih untuk memandikan bayi anda dengan sabun, pastikan sabun yang anda pilih adalah sesuai untuk kegunaan bayi.

    Anda boleh melengkapkan keperluan bayi anda dengan mendapatkan pengetip kuku, penyedut hidung (untuk kegunaan ketika bayi mengalami hidung tersumbat disebabkan selesema), termometer (sebaiknya termometer digital, kerana termometer merkuri adalah berbahaya jika pecah) dan juga sikat. 

    4. Menyalin lampin

    Anda akan perlu untuk menukar lampin bayi anda antara 10 hingga 12 kali sehari. Banyak bukan? Jadi lampin boleh dianggap sebagai antara keperluan bersalin yang penting.

    Terdapat pilihan lampin yang boleh anda gunakan untuk bayi anda, sama ada lampin pakai buang atau lampin kain. Jika anda memilih lampin pakai buang, anda boleh mendapatkan satu pek bersaiz newborn atau S. 

    Pemilihan lampin jenis kain pastinya sesuatu yang menjimatkan. Ia bukan sahaja boleh digunakan berulang kali, tetapi ia juga amat mesra kepada alam sekitar. Malahan kini terdapat pilihan lampin kain jenis seluar. Sudah tentu ia memberikan kesenangan untuk ibu bapa. Namun, pastikan anda mencuci lampin kain dengan bersih selepas menggunakannya. 

    Barangan keperluan lain yang boleh anda sediakan adalah lapik khas kalis air (untuk memudahkan proses menukar lampin ketika keluar berjalan-jalan), tisu basah yang sesuai serta krim ruam.

    5. Tempat tidur bayi

    Jika anda ingin mendapatkan katil khas untuk bayi, anda disyorkan untuk memilih cot bayi yang boleh ditukar menjadi katil. Ini pasti menjimatkan wang anda. Tetapi bagi bayi yang menyusu badan, katil ibu juga sesuai untuk dijadikan tempat bayi anda tidur. Namun, pastikan terdapat ruang yang mencukupi dan dapat memberikan keselesaan kepada bayi anda.

    Bayi sebenarnya tidak memerlukan bantal. Sebaliknya anda boleh menjadikan kain muslin atau kain kapas yang lembut dan ringan sebagai alas kepala bayi anda. Kedua kain ini juga boleh berfungsi sebagai selimut dan kain bendung bayi anda.

    Perkara lain yang boleh anda sediakan adalah seperti tilam khas bayi, bantal bolster, lapik tilam kalis air dan kelambu bayi jika dirasakan perlu. Jika anda mempunyai bajet yang lebih, anda boleh dapatkan gajet pengawasan bayi untuk memudahkan anda memantau bayi anda ketika melakukan kerja-kerja di dalam rumah. 

    Dah Nak Bersalin Ketahui Persediaan Bersalin Buat Ibu dan Bayi - elakkan pembaziran

    6. Keperluan perjalanan

    Aspek keselamatan adalah satu perkara yang penting. Jika berkemampuan, dapatkan stroller bayi yang boleh ditukar kepada tempat duduk khas kereta. Jika anda memilih mendapatkan tempat duduk khas terpakai, pastikan semua ciri keselamatan berfungsi sepenuhnya. 

    7. Keperluan ibu

    Untuk ibu-ibu yang bakal bersalin, antara keperluan asas yang perlu disediakan untuk dibawa ke hospital anda seperti selipar atau sandal yang selesa, stokin tebal, pad khas selepas bersalin atau pad biasa, baju dari material kain kapas yang longgar dan dapat menyerap peluh. 

    Anda juga boleh dapatkan set bersalin yang mengandungi keperluan asas seperti minyak urut dan bengkung. 

    Elakkan pembaziran

    Membuat persediaan bagi menyambut kelahiran bayi pastinya sesuatu yang menyeronokkan. Tetapi sebaiknya elakkan daripada melakukan pembaziran. Anda harus sedar, apa yang penting adalah kesihatan bayi dan keperluan bayi untuk tumbesarannya. Sesuatu barangan yang murah tidak bermakna ia tidak berkualiti. 

    Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan