Kerajaan Wajibkan Penggunaan Kerusi Bayi Bermula 2020. Ini Tip Pilih Kerusi Bayi yang Boleh Anda Pertimbangkan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bagi mereka yang masih tidak mengetahui berkenaan hal ini, Kerajaan Malaysia akan mewajibkan penggunaan kerusi bayi atau baby car seat dalam setiap kereta persendirian bermula tahun 2020. Ini bermakna, pemasangan kerusi bayi adalah mandatori bermula tahun 2020 bagi mereka yang mempunyai bayi sebagai salah seorang penumpang di dalam kereta. Bagi mereka yang masih tidak mempunyai kerusi bayi, jangan runsing kerana kami ada tip untuk anda. Ikuti tip di bawah berkenaan cara pemilihan dan penggunaan kerusi bayi yang betul.

  • Jenis kerusi bayi

Untuk pengetahuan anda, terdapat dua jenis kerusi bayi asas iaitu untuk bayi yang berumur di bawah 1 tahun dan untuk kanak-kanak yang berumur antara 1 hingga 4 tahun. Untuk kerusi bayi, ia adalah sejenis kerusi untuk kegunaan hadap-belakang yang boleh menampung berat antara 10 hingga 15 kilogram. Manakala untuk kerusi kanak-kanak pula, ia adalah sejenis kerusi untuk kegunaan hadap-hadapan yang boleh menampung berat sehingga 32 kilogram. 

Sebenarnya, untuk kerusi jenis hadap-hadapan ini, ia juga boleh digunakan secara hadap-belakang mengikut keperluan. Anda tidak boleh memuatkan anak anda sekiranya menggunakan hadap-belakang memandangkan kaki anak anda yang sudah semakin memanjang dan membesar. 

  • Beli yang baharu atau terpakai?

Anda tidak disarankan untuk membeli atau menggunapakai kerusi bayi terpakai. Ini kerana anda tidak dapat memastikan tahap keselamatan yang ditawarkan oleh kerusi jenis ini. Anda tidak mengetahui tahap kerosakan yang mungkin telah berlaku terhadap kerusi tersebut. Selain itu, tahap kebersihan kerusi bayi terpakai juga amatlah diragui. Keselesaan bayi anda juga akan terjejas memandangkan kualiti keselesaan kerusi bayi terpakai juga telah beransur-ansur hilang.

  • Tambahan aksesori kerusi bayi?

Ada sesetengah ibu bapa yang meletakkan cermin kecil pada kerusi bayi untuk memudahkan mereka melihat bayi tersebut terutamanya jika kerusi bayi diletakkan pada posisi hadap-belakang. Ada juga yang menambahkan kusyen tambahan atau sebarang aksesori hiasan lain pada kerusi bayi tersebut. Tahukah anda, barang-barang atau aksesori tambahan ini kesemuanya tidak diuji dan boleh menjejaskan keselamatan bayi anda? Aksesori tambahan seperti cermin kecil tersebut berisiko memberikan bahaya kepada bayi anda sekiranya berlaku sebarang kemalangan. 

  • Laraskan kerusi bayi mengikut manual

Baca manual penggunaan kerusi bayi untuk memastikan kerusi bayi tersebut dipasang dengan betul dan tepat. Ia juga memberikan sokongan tubuh yang betul kepada si kecil anda selain meminimumkan risiko jatuh daripada kerusi bayi tersebut. Pastikan anda mengikat bayi anda pada kerusi tersebut dengan ikatan yang tidak terlalu ketat atau terlalu longgar. Anda juga perlu tahu bagaimana untuk melaraskan tali keledar pada kerusi bayi dengan betul. 

Sekarang anda telah mengetahui bagaimana untuk memilih dan menggunakan kerusi bayi dengan cara yang tepat. Kewajipan penggunaan kerusi bayi diharapkan mampu untuk mengurangkan kadar kematian akibat kesan kemalangan terhadap bayi. Sebagai ibu bapa, jangan gadaikan keselamatan anak anda dengan tidak memasang kerusi bayi pada kereta anda. Anak anda juga berhak untuk mendapatkan jaminan keselamatan seperti anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut