Tip Keselamatan Permainan Anak Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Kanak-kanak dan permainan adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Permainan bukan sahaja merupakan alat hiburan bagi mereka, malah ia merupakan teman sejati dalam kehidupan seorang kanak-kanak. Persoalannya, adakah permainan yang dimainkan oleh anak anda selamat untuk mereka? Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui tip keselamatan permainan anak anda.

Kesesuaian umur

Pertama sekali, ibu bapa perlu memastikan bahawa permainan tersebut sesuai dengan usia anak anda. Periksa pada labelnya. Kebiasaannya, permainan akan mempunyai klasifikasi umur sesuai untuk bermain. Selain itu, pastikan juga bahawa permainan itu sesuai atau tidak dengan keupayaan fizikal dan mental mereka. Jangan sesekali menganggap bahawa anak anda akan lebih cepat matang jika bermain permainan yang diperbuat untuk kanak-kanak yang lebih dewasa. Sebaiknya, ikut saranan klasifikasi permainan yang telah ditetapkan oleh pengeluar.

Saiz dan berat permainan

Ibu bapa perlu mengambil berat mengenai saiz dan berat permainan yang anda ingin berikan kepada anak anda terutamanya jika mereka masih berusia bawah tiga tahun. Sebaiknya, anda perlu membeli mainan yang besar untuk anak kecil anda bagi mengelakkan mereka tertelan atau tercedera akibat bahagian kecil permainan yang boleh mengundang bahaya. Selain itu, pastikan juga berat permainan itu adalah sesuai untuk anak kecil anda. Periksa sama ada berat permainan itu boleh mencederakan anak anda jika ia terjatuh ke atasnya atau tidak. Jika ya, cari permainan yang lain.

Kualiti permainan

Selain saiz dan berat permainan, ibu bapa juga perlu lebih peka terhadap kualiti permainan anak anda. Pastikan anda memilih permainan yang diperbuat dengan elok. Teliti setiap bahagian kecil mainan bagi memastikannya tidak mempunyai bahagian yang longgar atau rosak. Sebaiknya, beli permainan yang diperbuat daripada pengeluar terkemuka dan boleh dipercayai. Pastikan ia mempunyai sijil keselamatan seperti simbol CE (European Community) pada labelnya. Ia menunjukkan bahawa permainan tersebut telah menepati garis panduan arahan Keselamatan Mainan Komuniti Eropah. Jika tidak, periksa sendiri jika ia adalah selamat atau tidak dimainkan oleh anak anda.

keselamatan permainan

Dalam pada itu juga, ibu bapa juga perlu mengelak daripada membeli permainan yang mempunyai unsur-unsur berikut kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada anak anda:

#1. Permainan yang mempunyai permukaan yang tajam

Ibu bapa perlu memastikan permainan yang anda beli untuk anak tidak mempunyai sebarang unsur yang tajam. Ini bertujuan mengurangkan risiko anak kecil anda daripada mencederakan dirinya sendiri ataupun individu lain yang bermain bersamanya. Bahagian yang paling mudah dan dibimbangi akan tercedera dengan permainan yang tajam adalah mata dan kulit.

#2. Permainan yang mempunyai bahagian yang boleh/senang ditanggalkan

Sudah menjadi lumrah seorang kanak-kanak kecil untuk memasukkan sesuatu yang dijumpainya ke dalam mulut mereka. Oleh itu, permainan jenis ini perlu dielakkan untuk mengurangkan risiko mereka menelannya terutamanya yang bersaiz kecil.

#3. Permainan yang mempunyai cat pada permukaannya

Selain itu, ibu bapa perlu memastikan permainan anak anda tidak diselaputi oleh sebarang cat yang tidak diketahui bahan-bahannya. Ini kerana cat tersebut mungkin mempunyai racun dan berbahaya buat anak kecil anda. Sebaiknya, anda perlu membelikan mereka mainan yang boleh dibasuh selepas dimainkan bagi mengambil langkah berjaga-jaga.

#4. Permainan yang mempunyai tali/riben/wayar

Ibu bapa juga perlu memastikan permainan anak anda tidak mempunyai sebarang bentuk tali, riben atau wayar yang mempunyai panjang lebih daripada 12 inci. Ini kerana benda-benda ini berisiko untuk terbelit pada leher anak kecil anda lalu menyebabkan mereka tercekik. Jika tidak diawasi, benda-benda seperti ini juga berisiko menjadi punca yang boleh menyebabkan maut kepada anak anda.

#5. Permainan yang boleh menembak objek

Anda juga perlu mengelakkan daripada membeli permainan yang boleh menembak objek seperti pistol mainan. Tanpa mengira bahan yang digunakan untuk membuat pelurunya, ia masih boleh mengundang bahaya jika ditembak ke bahagian yang boleh mengundang bahaya kepada anak anda atau individu lain seperti mata, mulut dan lain-lain.

#6. Permainan yang berteraskan elektrik

Kanak-kanak terutamanya yang masih kecil tidak disarankan untuk bermain dengan permainan yang berteraskan elektrik. Sebagai contoh, permainan yang menggunakan bateri. Ini kerana ia boleh mendatangkan risiko anak anda terkena renjatan atau terbakar.

Konklusinya, permainan kanak-kanak bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Meskipun anda sudah mengikut tip-tip dalam artikel ini, anda masih tidak boleh terlalu yakin dan membiarkan anak anda bermain seorang diri. Sebaiknya, sentiasa awasi anak anda ketika mereka sedang bermain untuk mengelakkan sebarang bahaya kerana malang itu tidak berbau.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut