backup og meta

Pokemon Punca Kanak-Kanak Jepun Diserang Sawan? Mommy, Sila Pantau Anak Tengok Kartun!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 18/08/2020

    Pokemon Punca Kanak-Kanak Jepun Diserang Sawan? Mommy, Sila Pantau Anak Tengok Kartun!

    Pasti semua pernah dengar ataupun menonton kartun Pokemon bukan? Tahukah anda, ada episod kartun ini yang menjadi penyebab serta punca kanak-kanak Jepun diserang sawan?

    Pada petang Disember 16, 1997, hampir 700 individu yang tinggal di Jepun telah dibawa ke hospital dan dirawat setelah mengalami pelbagai simptom akut.

    Keadaan ini telah membuatkan satu Jepun menjadi gempar. Manakan tidak, mereka semuanya alami sawan (convulsive seizure) selepas menonton kartun animasi Pokemon di kaca televisyen!

    Episod ‘Electric Soldier Porygon’ yang telah disiarkan petang tersebut bukan sahaja menyebabkan sawan, malah ramai lagi kanak-kanak dan orang dewasa rasa mual dan pening kepala setelah menonton episod itu.

    Sehingga hari ini, episod tersebut telah diharamkan daripada muncul semula di kaca TV walaupun dalam versi yang telah disunting.

    Akibat kejadian ini, kartun Pokemon juga telah berhenti bersiaran selama hampir 4 bulan. Logo Pokemon juga telah dibuang daripada saluran yang menyiarkan kartun tersebut.

    Cahaya biru merah penyebab sawan

    punca sawan
    Tangkapan skrin daripada episod Electric Soldier Porygon yang telah menyebabkan kanak-kanak di Jepun diserang sawan. Kredit gambar @ Metro CO UK

    Pada petang itu, tidak ada apa yang berbeza dengan jalan cerita Pokemon. Ash dan Pikachu masih lagi menjalankan pengembaraan yang sama dan juga melawan orang jahat yang sama.

    Namun, apa yang berbeza ialah sejenis teknik animasi baru yang digelar ‘paka paka’ telah digunakan pada episod kali ini.

    Teknik ini menggunakan 2 warna yang berbeza iaitu biru dan merah secara berselang seli. Pancaran biru/merah ini digunakan berkali-kali dalam episod tersebut dan paling lama disiarkan selama 6 saat.

    Pada pukul 6.50 petang, kebanyakan pesakit sudah mula rasa pening-pening.

    Selepas episod tersebut ditayangkan, hospital di seluruh Jepun mula menerima pesakit yang mengadu pening dan sawan setelah menonton Pokemon.

    Menurut tinjauan yang dilakukan oleh kerajaan Jepun, hampir 700 orang daripada pelbagai negeri di Jepun telah mengalami epilepsi fotosensitif setelah menyaksikan kartun tersebut.

    Seramai 200 orang lagi telah dimasukkan ke hospital manakala 2 orang lagi ditahan wad lebih daripada 2 minggu.

    Apa itu epilepsi fotosensitif

    Epilepsi fotosensitif merupakan sejenis sawan yang dicetuskan akibat pancaran cahaya ataupun corak yang terang dan kontras seperti corak bergaris ataupun kotak-kotak.

    Terlalu banyak bermain permainan video juga boleh jadi antara penyebab epilepsi.

    Ramai orang akan rasa pening kepala, tidak selesa dan mual jika ditayangkan dengan corak yang kontras dalam masa yang lama.

    Namun, berbeza dengan pesakit epilepsi fotosensitif. Mereka yang mempunyai masalah ini akan terus terkena serangan sawan apabila didedahkan dengan grafik bergerak yang mempunyai warna atau corak yang kontras.

    Menurut kajian, 1 daripada 100 orang di dunia ini mempunyai masalah epilepsi fotosensitif.

    Walau bagaimanapun, bukan semua jenis grafik akan menjadi punca sawan.

    Hanya grafik dengan gabungan warna dan kadar frekuensi tertentu sahaja yang boleh membuatkan individu yang menghidap epilepsi fotosensitif mengalami sawan.

    Anda mungkin juga berminat:

    Apa penyebab epilepsi fotosensitif?

    Perkara yang boleh menjadi penyebab sawan mungkin berbeza dari satu individu ke individu yang lain. Namun, antara perkara biasa yang menjadi punca ialah:

    1. Pancaran cahaya
    2. Corak terang dan kontras seperti garis hitam putih
    3. Pancaran cahaya putih yang berselang-seli dengan warna gelap
    4. Terlalu dekat dengan televisyen
    5. Pendedahan terhadap warna tertentu seperti warna merah dan biru

    Selain itu, situasi tertentu seperti berikut juga boleh mencetuskan epilepsi dalam golongan ini:

    1. Cahaya di kelab malam
    2. Terlalu lama di hadapan skrin TV atau komputer
    3. Lampu pada kereta polis, ambulans
    4. Efek visual dalam filem, kartun, dan juga permainan video
    5. Cahaya yang diperhatikan melalui kipas angin
    6. Kamera dengan banyak flash

    Ada pelbagai lagi situasi lain yang boleh jadi penyebab sawan. Mereka juga lebih berisiko jika pada hari yang sama, mereka rasa penat yang amat sangat, mabuk ataupun telah bermain permainan video dalam masa yang panjang.

    Cahaya biru merah penyebab sawan tidak lagi dibenarkan

    punca sawan

    Selepas kejadian kartun Pokemon ini, stesen televisyen di Jepun telah bertindak mengambil langkah proaktif dengan membuat peraturan baru yang lebih ketat bagi mengelakkan perkara sama berulang.

    Garis panduan khusus dirangka untuk rancangan animasi, di mana efek warna biru merah berselang seli tidak lagi dibenarkan untuk tayangan.

    Selain itu, efek visual seperti penggunaan corak yang berkelip perlu dilakukan dengan cara yang lebih berhati-hati.

    Sebagai ibu bapa, penting untuk anda mengawasi anak anda ketika mereka sedang menonton kartun.

    Selain itu, jangan benarkan mereka duduk terlalu dekat dengan kaca televisyen. Jika boleh, hadkan masa mereka bermain permainan video.

    Mana tahu, perkara-perkara tersebut boleh jadi punca atau penyebab mereka diserang sawan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 18/08/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan