backup og meta

Kanser Kanak-kanak: Bagaimana ingin Berterus-terang dengan Anak

Fakta Disemak oleh Dr. Shelby


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 09/07/2020

    Kanser Kanak-kanak: Bagaimana ingin Berterus-terang dengan Anak

    Kanser boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira had usia dan latar belakang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sebanyak 200 ribu kanak-kanak di seluruh dunia didiagnosis dengan penyakit kanser setiap tahun. Malahan, di Amerika Syarikat, kira-kira 10 ribu kes kanser kanak-kanak (umur 0-14 tahun) baharu didiagnosis pada tahun lalu, dengan 1,180 kematian dilaporkan akibat kanser pada tahun 2018.

    Bagaimana kanak-kanak boleh mendapat kanser?

    Tiada satu sebab khusus yang boleh dikatakan menjadi punca kanak-kanak mendapat kanser. Walau bagaimanapun, kebanyakan kanser yang melibatkan kanak-kanak bukan disebabkan oleh sebarang faktor persekitaran.

    Berbeza dengan kebanyakan pencetus kanser yang dialami oleh orang dewasa, kanser kanak-kanak selalunya berlaku akibat perubahan DNA (asid deoksiribonukleik) semasa peringkat awal kehidupan mereka atau semasa berada dalam kandungan ibu. Kanser kanak-kanak boleh berlaku secara tiba-tiba, tanpa menunjukkan simptom-simptom awal. Ada kalanya, doktor boleh mengesan simptom awal kanser melalui pemeriksaan berkala. Walau bagaimanapun, sesetengah simptom kanser (seperti demam, kelenjar bengkak, kerap berlaku jangkitan, anemia, atau lebam) boleh berlaku bersama dengan jangkitan atau keadaan kesihatan yang biasa dialami kanak-kanak. Namun, kanser kanak-kanak juga berpotensi tinggi dapat dirawat.

    Menurut Statistik Kanser Malaysia, tahun 2007, kanser paling lazim yang dialami oleh kanak-kanak antara umur 0-14 tahun ialah leukemia, kanser otak, dan limfoma.

    Bagaimana untuk memberitahu anak anda menghidap kanser?

    Bukan mudah untuk memberitahu kanak-kanak bahawa mereka sedang menanggung sakit yang jarang ada pada kanak-kanak lain. Salah satu kesukaran terbesar adalah apabila ibu bapa perlu menerangkan kepada anak mereka mengenai penyakit kanser yang dialami. Setiap ibu bapa perlu bersedia untuk menerangkan kepada anak mereka tentang penyakit mereka. Ini kerana, kanak-kanak yang mengalami kanser terhad melakukan perkara normal yang dibuat oleh rakan-rakannya yang lain seperti pemilihan pemakanan dan aktiviti fizikal. Walau bagaimanapun, ada caranya sebelum ibu bapa memberitahu kanak-kanak tentang keadaan kesihatan mereka.

    Bolehkah anak saya faham akan keadaan kesihatannya?

    Berterus-terang kepada anak anda tentang keadaan penyakitnya dapat membantu kanak-kanak untuk bersedia dan kurang berasa takut. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu menerangkan maklumat tentang penyakit anak berdasarkan usia mereka dan penerimaan mereka. Ini kerana, setiap kanak-kanak adalah berbeza. Anda boleh mulakan memberitahu anak sedikit demi sedikit keadaan kesihatan mereka mengikut usia dan kematangan mereka. Berikut adalah panduan umum untuk ibu bapa menerangkan kepada anak mengenai masalah kanser mereka:

    Kanak-kanak usia 0-2 tahun:

    Kanak-kanak di usia sebegini tidak faham jika anda terangkan tentang penyakit mereka. Jadi apa yang anda boleh lakukan adalah dengan menerangkan apa yang berlaku pada waktu atau hari tersebut. Anda boleh memberitahu anak tentang ujian atau prosedur yang akan mereka lalui di hospital. Beritahu anak anda bahawa anda akan menemani mereka sepanjang di hospital.

    Kanak-kanak usia 2-7 tahun:

    Pada peringkat usia ini, anda sudah boleh menerangkan kepada anak anda dengan menggunakan perkataan yang mudah seperti ‘sel baik’ atau ‘sel jahat’ untuk menerangkan tentang kanser. Maklumkan anak anda juga tentang rawatan yang akan diterima bagi memulihkannya. Tawarkan juga pilihan dan ganjaran untuk anak anda selepas selesai prosedur atau ujian yang dilalui serta beri semangat padanya dengan berada di samping anak sentiasa semasa dia menjalani rawatan.

    Kanak-kanak usia 7-12 tahun:

    Kanak-kanak pada peringkat usia ini sudah memahami asas tentang kanser. Bagaimanapun, anda masih boleh menerangkan tentang penyakitnya dengan merujuk sel kanser sebagai sel ‘pengacau’ dan mereka memerlukan rawatan untuk menghalau sel kanser dalam tubuhnya. Anda masih perlu menerangkan segala prosedur atau ujian yang akan mereka lalui sebelum tiba di hospital. Selain itu, anda juga perlu meminta anak untuk berterus-terang jika mereka ada mendengar tentang penyakit mereka daripada sumber lain ataupun kebimbangan lain mereka berkenaan dengan kanser.

    Kanak-kanak usia 12 tahun dan ke atas:

    Bagi kanak-kanak yang lebih tua, mereka sudah boleh memahami konsep kompleks jika diterangkan tentang penyakit kanser. Malahan, kanak-kanak juga akan banyak bertanya tentang penyakit mereka. Ketika ini, anda boleh menerangkan bahawa kanser sebagai penyakit yang ada kalanya sesetengah sel bertindak liar dan membesar dengan terlalu cepat. Justeru, rawatan diperlukan untuk membunuh sel kanser supaya tubuh anak anda boleh berfungsi dengan baik dan simptom-simptom kanser akan hilang. Selain itu, anda juga boleh menerangkan kepada anak mengenai prosedur, ujian dan kesan sampingan yang akan mereka alami setiap kali selepas rawatan.

    Memberitahu anak tentang penyakit yang mereka alami bukanlah mudah kerana bukan semua kanak-kanak faham akan masalah kesihatan mereka. Oleh itu, menjadi tugas ibu bapa untuk mencari ayat yang sesuai bagi memberi fahaman yang mudah kepada anak di samping membantu kanak-kanak menerima dengan baik akan keadaan kesihatan mereka. Sungguhpun ia bukan suatu tugas yang mudah, namun anda perlu sentiasa ingatkan anak anda bahawa kebanyakan kanak-kanak yang menghidap kanser boleh sembuh.  

    Anda mungkin berminat untuk membaca:

    Kanser Kanak-kanak: Punca, Simptom & Rawatan

  • Anak Didiagnosis Kanser: Bagaimana Ibu Bapa Tangani Keadaan Ini?

  • Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Dr. Shelby


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 09/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan