backup og meta

Anak Alah Kepada Susu Lembu? AWAS Parents, Ada Kesan Bahaya Jika Dibiarkan!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 28/07/2023

    Anak Alah Kepada Susu Lembu? AWAS Parents, Ada Kesan Bahaya Jika Dibiarkan!

    Bagaimana untuk menentukan sama ada si manja ada mengalami alahan susu lembu atau tidak ya? Dalam perkongsian artikel ini ada penjelasan lanjut mengenai keadaan tersebut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu alahan susu lembu?

    Apabila bayi alah kepada susu, ini bermakna sistem imun – yang biasanya melawan jangkitan – bertindak balas secara berlebihan terhadap protein dalam susu lembu.

    Setiap kali bayi mendapat susu, badan menganggap protein ini adalah penceroboh berbahaya dan bekerja keras untuk melawannya. Kesannya, badan akan mengeluarkan bahan kimia seperti histamin sebagai tindak balas alahan.

    Susu lembu terdapat dalam kebanyakan susu formula bayi. Bayi dengan alahan susu selalunya menunjukkan simptom pertama mereka beberapa hari hingga minggu selepas mula mendapat susu formula berasaskan susu lembu.
    Manakala bayi yang menyusu badan, boleh menunjukkan gejala apabila si ibu mengambil sebarang produk tenusu.

    Kenal pasti tanda alahan susu lembu 

    Jika anda dapat mengesan tanda alergi susu berikut pada si manja selepas minum susu lembu, ini mungkin menunjukkan anak anda mengalami alahan terhadap susu lembu:

  • Berdehit
  • Sukar bernafas
  • Batuk
  • Suara menjadi serak
  • Sakit tekak
  • Sakit perut
  • Muntah-muntah
  • Cirit-birit
  • Mata berair, gatal atau membengkak
  • Ruam
  • Tumbuh bintik-bintik merah
  • Ada bahagian badan membengkak
  • Tekanan darah menjadi rendah
  • Hilang kesedaran
  • Keterukan tindak balas alahan terhadap susu boleh berbeza-beza. Si kecil boleh memberikan reaksi alahan berbeza bagi setiap pendedahan. 

    Ini bermakna, jika untuk kali pertama bayi menunjukkan tindak balas ringan, untuk situasi seterusnya ia boleh menjadi lebih teruk sehingga mengancam nyawa.

    Baca juga:

    Alahan susu atau intoleransi laktosa?

    Kebanyakan individu keliru antara alahan susu dengan intoleransi laktosa.

    Alahan susu

    Merupakan tindak balas sistem imun terhadap protein terdapat dalam susu lembu yang akan menghasilkan reaksi. 

    Setelah protein dihadam oleh sistem imun, pelbagai reaksi boleh terjad seperti ruam, bengkak dan gatal-gatal pada kulit, masalah pernafasan, hilang kesedaran malah boleh membawa maut. 

    Intoleransi susu

    Intoleransi laktosa pula tidak mempunyai kaitan dengan sistem imun. Individu yang mengalami intoleransi laktosa sebenarnya kekurangan enzim dalam badan. 

    Enzim ini membantu meleraikan kandungan gula yang terdapat dalam susu lembu. Cirit-birit, muntah-muntah, angin dan kembung perut merupakan simptom intoleransi laktosa. Kondisi ini akan menyebabkan ketidakselesaan pada badan tetapi tidak akan membawa maut.

    Anafilaksis, kesan bahaya alahan susu lembu

    Alahan susu boleh menyebabkan anafilaksis, tindak balas yang mengancam nyawa dengan menyempitkan dan boleh menyekat saluran pernafasan individu.

    alahan susu lembu

    Sekiranya anak menunjukkan tindak balas terhadap susu, pastikan anda memaklumkan kepada doktor, walaupun hanya gejala ringan. 

    Anafilaksis adalah kecemasan perubatan dan memerlukan rawatan dengan suntikan epinefrina. Tanda dan gejala akan bermula sejurus selepas pengambilan susu dan boleh termasuk:

    • Penyempitan saluran pernafasan, termasuk tekak hingga menyukarkan untuk bernafas
    • Muka kemerahan
    • Gatal-gatal
    • Kejutan bersama penurunan ketara dalam tekanan darah

    Merawat tindak balas alahan

    Sebaik sahaja anak disahkan mengalami alahan susu lembu, langkah pertama adalah untuk mengelakkan pemberian atau pengambilan susu dan produk tenusu.

    Antara jenis makanan yang perlu dihindari adalah:

    • Mentega
    • Susu mentega
    • Kasein dan kaseinat – protein yang terdapat dalam susu mamalia
    • Coklat
    • Krim
    • Minyak sapi
    • Protein whey
    • Yogurt 

    alahan susu lembu

    Pun begitu dalam berwaspada, si kecil mungkin secara tidak sengaja termakan protein susu dan mengalami tindak balas. Jika ia berlaku, anda boleh merawatnya dengan antihistamin atau epinefrina.

    Jika lebih daripada satu sistem badan terlibat dalam tindak balas alahan – contohnya tekak dan kulit – disyorkan untuk menggunakan epinefrina yang hadir dalam pelbagai bentuk termasuklah penyuntik automatik (auto-injector).

    Sekiranya tindak balas anak adalah ringan dan hanya melibatkan gatal-gatal, antihistamin boleh mengurangkan simptom yang dialami. 

    Perkara boleh dilakukan jika bayi alami alahan susu lembu

    Berikut antara perkara yang boleh anda lakukan sekiranya si manja mengalami alahan susu:

    Menyusu badan

    Jika anda menyusu badan kepada bayi dengan alahan susu, berundinglah dengan pakar untuk mengetahui perubahan diet yang perlu dilakukan.

    Susu formula

    alahan susu lembu

    Doktor mungkin menasihatkan anda untuk bertukar kepada formula terhidrolisis sepenuhnya atau formula berasaskan asid amino, di mana protein dipecahkan kepada zarah untuk mengurangkan kemungkinan mencetuskan tindak balas alahan.

    Berundinglah dengan doktor untuk mengetahui susu formula yang selamat buat si kecil.

    Pemilihan makanan pejal untuk cegah alahan susu lembu

    Apabila anak sudah bersedia untuk mengambil makanan pejal, pastikan ia bebas susu dengan membaca label makanan. Semaklah senarai ramuan terlebih dahulu.

    Terdapat sesetengah makanan yang mungkin tidak menyenaraikan susu sebagai ramuan. Tetapi ia dihasilkan di kilang yang memproses produk tenusu. Jadi wujud risiko pencemaran silang (cross-contamination). 

    Sila perhatikan jika terdapat pernyataan seperti “Diproses dalam kemudahan yang turut memproses susu” atau “Dihasilkan menggunakan peralatan yang digunakan pada susu”. 

    Namun malangnya, tidak semua syarikat melabelkan pencemaran silang ini.

    Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan dan kebimbangan, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 28/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan