backup og meta

Kanak-Kanak Istimewa Cerebral Palsy: 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Mereka

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 17/06/2020

    Kanak-Kanak Istimewa Cerebral Palsy: 5 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Tentang Mereka

    Terdapat banyak stigma dan salah faham masyarakat tentang penyakit Cerebral palsy (CP). Apabila terjumpa seseorang yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap CP, tentu banyak perkara dan persoalan yang bermain di minda anda. Oleh yang demikian, berikut adalah 5 perkara penting yang perlu anda tahu tentang Cerebral palsy:

    1. Ia adalah sejenis penyakit neurologi

    Cerebral palsy merujuk kepada sekumpulan penyakit saraf tidak progresif yang mempengaruhi pergerakan, imbangan dan juga postur seseorang. Keadaan ini boleh terjadi akibat daripada gangguan ketika otak si manja sedang berkembang atau berlakunya kecederaan kepada otak bayi anda semasa dalam kandungan atau dalam tempoh 3 tahun pertama selepas lahir. Dalam CP, isyarat dari otak ke otot terganggu, menyebabkan masalah koordinasi postur dan otot badan. 

    2. Terdapat beberapa jenis penyakit CP 

    CP boleh menghasilkan pelbagai simptom dan tanda yang berbeza. 3 jenis CP yang utama adalah CP spastik, CP atetoid dan juga CP ataksik. CP spastik dicirikan oleh kekejangan atau kekerasan otot pada sekurang-kurangnya satu anggota badan. CP atetoid pula dicirikan oleh berlakunya pergerakan anggota badan yang tidak dikawal (involuntary movement). CP ataksik pula melibatkan masalah atau kesukaran dalam menghasilkan pergerakan yang memerlukan koordinasi. Walaupun terdapat tiga kumpulan yang berbeza, seorang penghidap CP boleh sahaja mengalami simptom campuran daripada ketiga-tiga kumpulan tersebut.

    Untuk CP spastik, ia boleh dikategorikan dengan lebih lanjut mengikut anggota yang terjejas. Jika bahagian kaki sahaja yang terjejas, ia disebut sebagai spastik diplegia. Jika ia membabitkan sebelah badan, ia disebut sebagai spastik hemiplegia. CP spastik yang mempengaruhi keempat-empat anggota pula disebut sebagai spastik quadriplegia.

    3. CP boleh berlaku pada tahap yang rendah, sederhana dan teruk 

    Setiap pesakit CP boleh berada pada spektrum atau tahap yang berbeza. Ada pesakit yang mengalami simptom tahap rendah sehinggakan cukup sukar untuk gangguan pergerakan dilihat manakala terdapat juga pesakit yang kurang bernasib baik, mengalami gangguan yang sangat teruk sehinggakan mereka mengalami sawan yang kerap, gangguan pembelajaran dan juga masalah bertutur. Kebanyakan pesakit CP akan berada di antara dua tahap yang ekstrem ini. Perbezaan tahap keterukan penyakit ini juga akan menentukan keperluan mereka untuk alat bantuan berjalan dan juga pertolongan dalam melakukan aktiviti harian. 

    4. Rawatan boleh melibatkan suntikan Botox, prosedur ortopedik, fisioterapi dan juga terapi pertuturan. 

    Bergantung kepada keadaan dan indikasi, satu atau lebih rawatan diperlukan pada kekerapan yang berbeza dalam merawat pesakit CP kerana setiap penghidap mempunyai simptom dan tahap penyakit yang berbeza. Suntikan Botox digunakan untuk mengurangkan masalah ketegangan otot. Prosedur ortopedik pula boleh melibatkan prosedur seperti pemanjangan tendon atau pemakaian simen bersiri pada anggota badan. Terapi seperti fisioterapi, terapi cara kerja dan juga terapi pertuturan digunakan untuk melatih pesakit untuk lebih cekap dalam melakukan tugas harian dan interaksi dengan orang sekeliling. 

    5. Penghidap CP boleh berdikari untuk beberapa perkara

    Daripada usia yang muda, kebanyakan penghidap CP telahpun mempelajari dan mengamalkan skil-skil adaptasi penting dalam kehidupan harian mereka. Ini membolehkan mereka untuk melakukan beberapa tugasan sendiri seperti memandu, bergerak ke suatu tempat dan untuk melakukan tugas fizikal berkeamatan rendah.

    Seperti keadaan kesihatan yang lain, langkah sokongan utama terhadap mereka yang menghidapnya adalah melalui pemupukan fahaman yang kuat dan kesedaran yang utuh dalam masyarakat. Begitu juga dengan penyakit Cerebral pasly. Ini kerana stigma yang luas boleh melumpuhkan mereka lebih teruk daripada penyakit itu sendiri. Ayuh bersama meningkatkan kesedaran kita demi mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 17/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan