Rancang 5 Aktiviti Mudah Ini Untuk Datuk dan Cucunya. Pasti Bonding Mereka Akan Jadi Lebih Ngam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Untuk menjadi seorang datuk atau nenek yang baik kepada cucunya, tidak semestinya perlu melibatkan pemberian permainan atau makanan-makanan yang tidak sihat seperti aiskrim. Banyak perkara lain lagi yang boleh dicuba bagi mengeratkan hubungan antara cucu, datuk serta nenek. Bagi ibu bapa yang masih tercari-cari idea bagaimana untuk memberikan lebih banyak masa yang berkualiti kepada datuk serta cucu mereka, baca artikel ini bagi mengetahui kaedah yang boleh digunapakai yang memberi manfaat kepada semua pihak.

Rakan sepermainan anak anda

Selain mengajak si kecil anda ke taman permainan berdekatan, anda juga boleh mengajak anak anda untuk melakukan aktiviti di rumah bersama-sama datuk dan neneknya. Anda boleh mengatur aktiviti seperti membaca dan melukis antara anak dan datuknya. Aktiviti seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan kemahiran kognitif kanak-kanak, malah ia dapat mengeratkan hubungan antara anak anda dan datuknya melalui aktiviti yang sihat. 

Pencerita dan ahli sejarah keluarga

Memandangkan ibu dan bapa anda dianggap sebagai generasi terawal berbanding anda dan anak anda, mereka adalah individu yang paling banyak mengetahui sejarah keluarga dan peristiwa-peristiwa penting yang lain. Mereka telah mengalami satu pengalaman hidup yang tidak pernah dilalui oleh anda atau anak anda. Mereka adalah pencerita terbaik untuk menceritakannya kepada anak anda sambil membelek-belek album gambar lama ahli keluarga anda. Ini akan meningkatkan hubungan atau bonding antara mereka berdua.

Aktiviti kesenian atau kraf

Sifat kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu boleh mendorong mereka untuk melakukan aktviti-aktiviti kesenian atau kraf. Mereka bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran baharu, malah dapat mengekspresikan diri mereka melalui penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti ini. Sekiranya ibu atau bapa anda mahir melakukan sesuatu produk kraf tradisional, minta mereka mengajarkannya kepada anak anda. Ibu anda mungkin boleh mengajarnya bagaimana untuk menganyam daun ketupat, manakala datuknya pula boleh memberi tunjuk ajar bagaimana untuk melukis. 

Aktiviti luar bersama-sama

Sekiranya ibu dan bapa anda tinggal berjauhan dengan anda seperti di kampung, bawalah anak anda ke kampung dengan kerap terutamanya pada musim cuti sekolah. Aktiviti di kampung lebih menyeronokkan untuk anak anda kerana banyak perkara yang boleh dilakukan dan diteroka. Ibu dan bapa anda boleh membawa cucu mereka pergi memetik buah di kebun, memancing ikan di tepi sungai atau tali air sawah padi, mandi di telaga atau menolong neneknya membuat kuih. 

Bantuan kecemasan

Ia kedengaran seperti tidak masuk akal, tetapi ia benar-benar berkesan apabila anda mengalami sesuatu kecemasan berkaitan anak anda. Sebagai contoh, bagaimana kalau bayi atau anak anda menangis tanpa henti pada jam 3 pagi? Anda pasti akan menelefon ibu atau bapa anda terlebih dahulu untuk mendapatkan pandangan mereka. Ini kerana mereka lebih mengenali anda dan bayi anda berbanding babysitter anda. Sekiranya ibu dan bapa anda tinggal beredekatan, mereka tidak akan keberatan untuk datang melawat ke rumah anda sekiranya sebarang pertolongan diperlukan. Mereka juga lebih mengetahui bagaimana untuk menenangkan anda. 

Kesemua aktiviti-aktivit seperti ini telah mengingatkan penulis kepada datuk penulis. Datuk penulis adalah seorang tukang kayu di kampung. Bunyi mesin-mesin sedang memotong kayu akan sering kedengaran di ruang tamu rumah mereka memandangkan bengkel kayu tersebut hanya terletak bersebelahan ruang tamu rumah. Kadang kala penulis akan turun dari rumah dan pergi melihatnya melakukan kerja kayu selain bermain-main di dalam bangsal simpanan kayu. Betapa indahnya momen tersebut yang kini hanya tinggal kenangan. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut