Susu Ibu vs Susu Formula

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Salah satu keputusan yang paling besar yang perlu dibuat para ibu untuk pemakanan si manja mereka adalah sama ada menyusu badan atau formula. Ia boleh menjadi satu perkara peribadi atau mungkin mengundang reaksi yang kuat daripada rakan-rakan dan keluarga. Tidak kira apa yang anda putuskan, orang lain pasti akan mempunyai pendapat. Hanya satu perkara yang benar-benar penting: pilihan manakah yang tepat untuk anda dan bayi anda?

Penyusuan susu ibu

The American Academy of Pediatrics (AAP) menyarankan susu ibu sebagai nutrisi terbaik untuk bayi dan bayi perlu diberikan susu ibu secara eksklusif untuk enam bulan pertama. Ini kerana susu ibu mempunyai pelbagai faedah untuk bayi anda seperti:

Ia menyediakan antibodi semulajadi yang membantu bayi anda melawan virus dan bakteria, melawan penyakit, seperti jangkitan telinga. Kajian menunjukkan bahawa bayi yang menyusu susu ibu mempunyai tindak balas antibodi yang lebih baik kepada vaksin berbanding bayi yang diberi susu formula.

Ia biasanya lebih mudah dihadam berbanding susu formula. Jadi bayi yang menyusu susu ibu  kurang sembelit dan kembung perut.

Ia membantu mengelakkan risiko sindrom kematian bayi secara mengejut pada tahun pertama kehidupan bayi anda. Kajian menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu mengurangkan risiko sindrom kematian bayi secara mengejut sehingga separuh.

Ia boleh meningkatkan kecerdasan anak anda. Beberapa kajian menunjukkan penyusuan susu ibu dikaitkan dengan skor IQ yang lebih tinggi sewaktu zaman kanak-kanak.

Susu ibu juga boleh membantu melindungi anak anda pada tahun yang mendatang. Ia membantu mengurangkan risiko berat badan berlebihan, asma, diabetes jenis 1 dan jenis 2, kolesterol tinggi, penyakit Hodgkin, leukemia dan limfoma.

Penyusuan susu ibu adalah baik untuk para ibu juga. Wanita yang menyusukan bayi dapat mengurangkan risiko kanser payudara, kencing manis, penyakit jantung, osteoporosis, dan kanser ovari.

Apakah sebab utama ramai ibu baru mahu menyusu? Ia adalah kerana penyusuan susu ibu bukan sahaja merupakan pengalaman ikatan yang indah dengan bayi, tetapi juga cara yang baik untuk belajar tentang mereka.

Susu ibu juga boleh dipam lantas boleh dimanfaatkan untuk penyusuan di tempat awam dan ahli keluarga yang lain boleh mengambil bahagian dalam penyusuan.

Penyusuan susu formula

Walaupun penyusuan susu ibu adalah yang terbaik, terdapat banyak faedah penyusuan susu  formula.

Ia adalah mudah. Bayi yang diberi susu formula boleh diberi makan oleh sesiapa sahaja pada bila-bila masa.

Ia adalah fleksibel. Anda tidak perlu untuk memasukkan waktu mengepam ke dalam jadual kerja anda. Sebaliknya, anda hanya perlu meninggalkan susu formula kepada pengasuh atau  pusat jagaan harian anak anda.

Suami atau ibu anda boleh memberi makan kepada bayi anda dan berkongsi pengalaman membina hubungan dengan bayi anda.

Jadual penyusuan mungkin lebih mudah. Susu formula tidak dihadamkan dengan cepat seperti susu ibu, jadi bayi yang diberi susu formula tidak perlu makan dengan kerap, terutamanya dalam beberapa bulan pertama.

Anda tidak perlu bimbang pemakanan anda memberi kesan kepada bayi. Ibu yang menyusukan bayi mungkin perlu mengelakkan makanan tertentu yang tidak boleh diterima bayinya.

Wanita yang menyusu contohnya, tidak dibenarkan mengambil alkohol kerana mereka memindahkan sejumlah kecil alkohol kepada bayi mereka.

Apa sahaja pilihan pemakanan untuk bayi anda, susu ibu atau susu formula, atau gabungan kedua-duanya, perkara yang paling penting adalah bayi anda tetap diberi makan, dijaga dengan baik, dan disayangi.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut