backup og meta

Tergoda Dengan Iklan Pil Minda Untuk Anak Jadi Pandai, Benarkah Berkesan Atau Hanya SCAM?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/06/2021

    Tergoda Dengan Iklan Pil Minda Untuk Anak Jadi Pandai, Benarkah Berkesan Atau Hanya SCAM?

    Mudah bangun pagi, Tingkatkan fungsi minda anak, Brain-booster dan banyak lagi. Biasa nampak ayat-ayat sebegini? Kalau tidak biasa, mungkin anda perlu tahu dan ambil tahu mengenai scam pil minda sebelum terjatuh dalam perangkap marketing tuntutan merepek produk sebegini.

    Tuntutan dan dakwaan sebegini biasa diiklankan pada produk-produk pil minda yang kadangkala memasuki pintu pagar sekolah untuk dipasarkan.

    Kenapa kami kata pil minda adalah scam? 

    Modus jualan pil minda 

    Untuk pengetahuan pembaca, kebanyakan modus jualan pil minda ini dijalankan secara serampang dua mata.

    ‘Pakar motivasi’ yang hadir ke sekolah yang sepatutnya bertindak sebagai penceramah motivasi, membuat keuntungan tambahan dengan promosi serta iklan produk pil minda jualannya.

    Maka, jangan anda pelik mengapa anak-anak akan pulang membawa keratan atau flyers pil minda daripada sekolah.

    Sebab mengapa anda perlu tolak daripada membeli pil ‘ajaib’

    pil minda

    Sebelum anda membeli produk tersebut, cuba belek-belek sebentar botol pil minda yang dijual. Adakah ia produk yang berdaftar? Jika tidak berdaftar, ia adalah sebab utama dan pertama mengapa anda perlu menolak daripada membelinya.

    Ia jelas adalah satu produk yang belum tentu selamat untuk diambil. Jika anda mencari barang original kerana risau kualiti barang tiruan, mengapa masih membeli produk daripada mereka yang tidak langsung mempunyai latar belakang dalam bidang berkaitan?

    Periksa bahan kandungan yang terdapat dalam pil tersebut. Jika ia tertulis diperbuat daripada ekstrak tumbuhan, tanya kepada penjual apakah ekstrak tumbuhan tersebut dan apakah komposisi sebenar ekstrak tumbuhan yang didakwa ada dalam pil tersebut.

    Jika terkebil-kebil mata penjual untuk menjawab atau cuba membuat corner baring, itu tanda kedua bahawa dia sendiri tidak pasti bahan yang digunakan dalam pembuatan pil minda. Makan sahaja sayur-sayuran dan buah-buahan yang lebih jelas berkhasiat. 

    Ada tulis sukros atau fruktos? Anda tahu apa maksud keduanya? Bahasa mudah orang kampung, keduanya adalah gula. Bayar harga RM30 sebotol hanya untuk gula? Lebih baik anda beli gula pasir di kedai yang harganya tidak sampai RM3.

    Bagaimana jika penjual mendakwa produk tersebut tiada kesan sampingan?

    Jika benar produk pil minda ‘ajaib’ yang dijualnya tiada kesan sampingan, minta penjual buktikan bahawa produknya telah melalui ujian klinikal.

    Ujian klinikal yang dilakukan terhadap produk bertujuan menilai kesan produk yang didakwa dan kesan sampingan yang mungkin berlaku.

    Jika tiada, ini bermakna produk tersebut tidak pernah menjalani sebarang ujian untuk menentukan tahap keselamatan penggunaannya. Ia ibarat anda menelan bom jangka.

    Bukan sahaja di Malaysia

    pil minda

    Pada tahun 2017, Federal Trade Commission, Amerika Syarikat pernah mengeluarkan amaran mengenai penjualan pil minda (brain-booster) dengan mengaitkan bahawa ia disokong oleh Stephen Hawking walaupun tidak pernah sama sekali mendapat sokongan tersebut.

    Mengapa ada yang bertindak membuat dakwaan sehingga tahap sedemikian? Hanya satu sebab, mereka mahukan duit anda.

    Tiada penjual produk yang akan mengatakan bahawa produk mereka tidak bagus. Kesemuanya dilakukan semata-mata untuk melariskan jualan mereka.

    Di saat anda gigih mengumpul duit untuk membeli pil minda berharga RM30 sebotol, mereka sudah mampu membeli sebiji Toyota Alphard hasil jualan pil ajaib mereka.

    Mengap ramai yang terlibat dalam perniagaan pil minda ini?

    “Sekiranya anda mencari peluang untuk menjadi kaya, tetapi dalam masa yang sama boleh ‘menipu’, saya rasa melibatkan diri dalam perniagaan suplemen minda atau otak merupakan pilihan utama saya,” kata Pieter Cohen, seorang pakar dalam keberkesanan dan risiko berkaitan makanan tambahan dari Harvard Medical School.

    Menurut beliau lagi, anda boleh melakukan sesuatu yang tidak melanggar undang-undang dan kemudiannya menjadi kaya melalui perniagaan seperti ini.

    Disebabkan permintaan yang tinggi daripada pengguna, maka pengeluaran produk ini semakin berleluasa.

    Dengan modal penghasilan pil yang tidak seberapa tanpa sebarang kawalan terhadap ramuan yang digunakan, pembelian botol plastik secara pukal yang jauh lebih murah, serta pembungkusan produk yang tidak mengikut piawai, maka terhasil sebotol pil minda dengan harga yang tidak masuk akal.

    Malah produk-produk ini kadangkala terang-terang dijual dengan cara pukal melalui beg-beg plastik besar yang kelihatan sangat tidak profesional dan tanpa kawalan.

    Sebagai pengguna, anda perlu bijak dalam menilai hal-hal sebegini. Ingatlah, masih ramai individu di luar sana yang menggunakan landasan agama sebagai platform meraih untung pantas.

    Kerana mereka tahu, dengan menggunakan modal pakaian, imej dan sedikit kata-kata islamik, mereka boleh mencapai keuntungan berlipat kali ganda berbanding mereka yang berniaga secara sah dan dengan cara yang betul.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 24/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan