Masalah Penghadaman Bayi yang Ibu Bapa Patut Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap kali bayi menangis, ibu bapa pasti akan berasa risau akan keadaan si kecil kesayangan mereka. Bayi akan menangis apabila mereka berasa lapar, dahaga, mengantuk atau tidak selesa. Antara perkara yang menyebabkan ketidakselesaan adalah apabila mereka mengalami masalah pada perut mereka.

Kebiasaannya, ketidakselesaan yang berlaku pada perut bayi adalah berpunca daripada sistem penghadaman mereka yang mempunyai masalah. Terdapat beberapa perkara yang akan mengakibatkan masalah pada sistem penghadaman bayi. Ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Masalah-masalah penghadaman bayi

Seringkali kita terdengar atau terbaca masalah penghadaman bayi selalunya berpunca daripada masuk angin. Sebenarnya, terdapat banyak lagi perkara yang boleh menyebabkannya, antaranya:

  • Refluks

Refluks adalah kondisi bayi memuntahkan kembali lelehan susu yang diminum oleh mereka. Ini disebabkan oleh pencerut esofagus (sphincter) mereka yang masih belum berfungsi sepenuhnya. Ibu bapa tidak perlu risau kerana ia bukan kondisi yang berbahaya dan akan hilang dengan sendirinya apabila bayi mula makan makanan pejal. Namun begitu, jika si kecil anda mengalami hilang selera makan, berat badan lambat naik atau mengalami masalah pernafasan, segera bawa anak anda berjumpa doktor untuk mengelakkan komplikasi lain.

  • Muntah-muntah

Kebiasaannya, ini akan berlaku akibat infeksi pada saluran usus bayi anda. Kondisi ini boleh berlaku serentak bersama demam atau cirit-birit dan akan berlanjutan sehingga 2 hingga 3 hari bergantung kepada bayi. Jika anda mendapati bahawa si kecil anda kekurangan air liur atau air kencing, itu mungkin menunjukkan mereka mengalami dehidrasi. Jika itu berlaku, anda perlu memberikan mereka susu badan atau susu formula. Sekiranya kondisi bayi semakin teruk, segera bawa anak anda berjumpa doktor.

Dalam beberapa kes, bayi yang kerap muntah-muntah mungkin lahir dengan kelainan pada ususnya. Kondisi yang dinamakan pyloric stenosis ini berlaku disebabkan otot pada ruang keluar perut menebal lalu menghalang susu untuk memasuki perut. Jika si kecil anda didiagnosis dengan kondisi ini, doktor mungkin akan menyarankan pembedahan untuk membuang halangan berupa lebihan otot yang terdapat pada ruang keluar perut.

  • Cirit-birit

Kondisi ini kebiasaannya berlaku disebabkan oleh jangkitan virus. Rotavirus, merupakan virus yang menyebabkannya. Ia selalunya menyerang bayi yang berusia 6 hingga 24 bulan terutamanya ketika cuaca sejuk. Apa yang anda perlu lakukan jika si kecil anda dijangkiti virus ini adalah pastikan bayi anda kekal berhidrasi. Jika kondisi ini berlanjutan sehingga 2 atau 3 minggu, bawa bayi anda berjumpa doktor kerana bayi anda mungkin juga mengalami alahan kepada susu. Alahan ini selalunya dapat dirawat dengan nutramigen atau alimentum.

  • Sembelit

Sembelit merupakan kondisi yang sangat biasa berlaku kepada si kecil. Ia bukanlah satu kondisi yang perlu dirisaukan kerana ia tidak begitu bahaya. Namun begitu, dapatkan bantuan doktor jika bayi anda mendapati bayi kelihatan terlalu sakit, menangis apabila hendak membuang air besar atau terdapat darah pada najis bayi untuk mengelakkan apa-apa komplikasi yang lain.

Bagaimana membantunya?

Bagi sesetengah kondisi, ia mungkin tidak dapat dielakkan. Namun begitu, ibu bapa boleh melakukan beberapa perkara untuk membantu si kecil mengatasi masalah ketidakselesaan pada perut mereka, antaranya:

  • Susukan bayi pada waktu yang betul: Ini bertujuan mengelakkan mereka terlebih atau terkurang mengambil susu yang boleh mengakibatkan pelbagai masalah kepada sistem penghadaman mereka.
  • Susukan bayi dengan posisi yang betul: Ini bertujuan mengelakkan bayi memuntahkan kembali susu yang mereka minum. Selain itu, posisi yang betul juga dapat mengurangkan risiko bayi tercekik dan memudahkan mereka sendawa untuk mengeluarkan angin.
  • Kerap mendukung bayi: Ini bertujuan untuk membuat bayi berada pada posisi yang paling sesuai untuk sistem penghadamannya bekerja. Jika anda sedang melakukan pekerjaan, bawa sahaja bayi anda menggunakan ‘baby carrier’ atau selempang bayi.
  • Urutkan bayi: Ini bertujuan untuk memberi tekanan yang sepatutnya kepada perut bayi agar sistem penghadamannya dapat berfungsi dengan lebih baik. Gunakan hujung jari anda untuk mengurut bahagian bawah perut bayi secara lembut dan perlahan-lahan.
  • Biarkan bayi mempunyai ‘tummy time’: Ini bertujuan untuk membiasakan bayi anda terbiasa dengan keadaan posisi perut mereka menerima tekanan yang diperlukan untuk sistem penghadaman yang lebih baik. Namun begitu, ibu bapa dinasihatkan untuk sentiasa mengawasi si kecil anda ketika melakukan ini untuk mengelakkan sebarang komplikasi lain.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut