Ujian Kehamilan Berasaskan Peluntur: Berkesankah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Tidak datang bulan, kerap rasa mual dan payudara rasa sensitif? Terdapat kemungkinan bahawa anda sedang berbadan dua. Langkah seterusnya yang diambil oleh ramai wanita adalah untuk ke farmasi bagi mendapatkan kit ujian kehamilan. Namun, terdapat juga segelintir yang terlebih kreatif dan memilih untuk membuat ujian kehamilan berasaskan peluntur. Persoalannya, berkesankah? Lebih penting lagi, Selamatkah? Mari baca.

Bagaimana ujian kehamilan berasaskan peluntur dilakukan

Menggunakan peluntur untuk membantu mengesahkan sama ada anda hamil atau tidak, bunyi seperti sesuautu yang sangat tidak masuk akal dan boleh ditertawakan. Namun, seperti mitos kesihatan dan petua tidak masuk akal yang lain, terdapat segelintir individu yang memilih untuk mempercayainya. 

Bagi melakukan ujian ini, anda hanya memerlukan dua cawan, cecair peluntur biasa dan juga air kencing anda. Langkah – langkah yang perlu anda lakukan adalah seperti berikut:

  1. Tuang cecair peluntur dalam cawan pertama 
  2. Buang air kecil anda ke dalam cawan yang kedua
  3. Perlahan-lahan tuangkan air kencing anda ke dalam cawan yang mengandungi peluntur
  4. Tunggu beberapa minit dan perhatikan keputusannya

Keputusan dikatakan positif jika terdapat pembentukan buih manakala keputusan negatif adalah jika tidak ada sebarang pembentukan buih. Walaupun tidak ada sebarang kajian atau dakwaan saintifik, pelopor teknik ini mempercayai bahawa cecair peluntur mampu mengesan dan bertindak balas dengan kandungan hormon beta hCG seperti kit ujian kehamilan yang dijual di farmasi. Malahan, mereka juga turut mengeluarkan saranan untuk menggunakan cecair peluntur yang tidak diwangikan atau diwarnakan untuk tidak mengganggu keputusan ujian. 

Adakah ujian ini tepat?

Walaupun mudah dan menarik konsepnya, ujian ini jauh sekali tidak tepat. Bukan sahaja tiada asas saintifik untuk menyokong logik dan keberkesanan ujian ini, cecair peluntur juga bukanlah suatu cecair yang mampu untuk mengesan apa-apa hormon. Tambahan lagi, pembentukan buih boleh berlaku untuk pelbagai sebab lain seperti tindak balas bersama dengan kompaun lain dalam air kencing dan juga kerana tindakan seperti mengacau cecair tersebut. Untuk itu, lelaki, bayi dan anak dara juga boleh mendapat keputusan yang positif jika diikutkan oleh logik kaedah ini.

Walaupun tidak tepat, bolehkah ia tetap dilakukan?

Mungkin ada yang berpendapat bahawa kalau ia tidak tepat atau berkesan sekalipun, tidak ada apa-apa mudarat jika masih ingin melakukannya, kan? Sebelum anda mula mengambil cawan di dapur dan memenuhinya dengan sampel air kencing anda, ujian kehamilan berasaskan peluntur ini mempunyai risikonya yang tersendiri. Jelas sekali kerana ia membabitkan penggunaan bahan peluntur. Jika anda rajin mencuci bilik air dan kerap menggunakan bahan peluntur, tentu sekali anda tahu apa yang boleh berlaku kepada sistem pernafasan anda akibat pendedahan kepada peluntur yang terlalu banyak.

Jika anda benar-benar hamil, ujian kehamilan berasaskan peluntur ini bukanlah sesuatu yang anda ingin lakukan. Ini kerana banyak kajian telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada peluntur secara berlebihan mampu untuk menyebabkan kecacatan kepada janin dan juga keguguran. Selain itu, terdapat juga risiko untuk berlakunya kemalangan seperti tertumpahnya cecair peluntur kepada anggota badan. Ini mampu untuk mengakibatkan kebakaran kimia pada kulit dan juga kerengsaan. Segala risiko dan komplikasi yang boleh berlaku menyebabkan ujian ini langsung tidak berbaloi untuk dilakukan. Tambahan lagi, kalau sudah tidak tepat, mengapa perlu dibazirkan masa untuk mencuba kaedah ini?

Jika anda merupakan seseorang yang mempercayai keberkesan kaedah ini, anda perlu faham bahawa keputusan yang salah mampu untuk mengganggu kesihatan fizikal dan mental anda dan bayi anda. Jika keputusan kembali positif walaupun anda tidak hamil, ini akan menyebabkan anda menaruh harapan yang palsu. Jika keputusan kembali negatif walaupun anda hamil, ini akan melengahkan janji temu dan pemulaan penjagaan pranatal. Tuntasnya, tidak ada sebarang manfaat yang boleh anda perolehi daripada ujian ini. Sebaliknya, anda meletakkan diri anda berisiko untuk beberapa mudarat yang tidak diingini. Ikutlah ibu-ibu bijak yang lain dan gunalah kaedah yang telahpun dipastikan berkesan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut