backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Semak 12 Tanda Awal Mengandung Ini, No. 12 Simptom Paling 'Rare'!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 29/09/2023

    Semak 12 Tanda Awal Mengandung Ini, No. 12 Simptom Paling 'Rare'!

    Apabila tanda awal mengandung mula muncul pada diri anda, semestinya ini satu perkara yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja anda atau pasangan, bahkan ahli keluarga terdekat juga. 

    Jauh ke hadapan, sudah pun terfikir pelbagai perkara seperti jantina si bayi, nama-nama indah yang ingin diberikan sehinggalah institusi mana yang anda ingin hantar mereka untuk sambung belajar.

    Ia pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya zuriat yang bakal dilahirkan ini adalah sesuatu yang dinantikan dan diusahakan sekian lama. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Tanda awal mengandung yang perlu diketahui

    tanda awal mengandung

    #1. Terlepas Haid/ Haid tidak datang

    Sekiranya anda dalam usia reproduktif, tidak mempunyai sebarang masalah kitaran haid tidak teratur dan perasan bahawa seminggu telah berlalu tanpa anda datang bulan (daripada waktu sepatutnya), maka tanda awal mengandung ini mempunyai ketepatan yang tinggi.

    Ini bermakna sekiranya anda telah terlepas haid, terdapat kemungkinan besar bahawa anda sedang hamil. Ini merupakan tanda pertama dalam senarai tanda-tanda mengandung yang lain.

    #2. Buah dada menjadi bengkak dan sensitif

    Apabila mengandung, terdapat perubahan hormon yang berlaku dalam badan anda. Perubahan hormon-hormon ini adalah penting bagi menyokong perkembangan proses kehamilan tersebut.

    Namun yang demikian, kesan daripada perubahan hormon ini, anda mungkin akan perasan bahawa buah dada menjadi sedikit bengkak dan lebih sensitif.

    Mujurlah, rasa tidak selesa ini akan berkurangan setelah beberapa minggu kerana badan anda akan menyesuaikan dirinya dengan perubahan hormon yang telah berlaku.

    #3. Rasa mual (boleh berlaku tanpa muntah) adalah antara tanda awal mengandung sebelum period

    Tanda mengandung yang seterusnya adalah rasa mual khususnya di waktu pagi atau waktu berjaga. Fenomena yang dikenali sebagai morning sickness ini merupakan antara tanda awal kehamilan yang paling popular dan kerap digunakan dalam menggambarkan seseorang itu sedang hamil.

    Sungguhpun begitu, rasa mual ini turut boleh berlaku ketika waktu malam. Rasa mual ini lazimnya diikuti oleh muntah-muntah namun dalam sesetengah orang, rasa ingin muntah ini tidak berlaku. Berbanding dengan tanda awal kehamilan lain yang telah disebut, tanda awal mengandung yang ini lazimnya berlaku sebulan selepas anda mengandung.

    #4. Tanda awal mengandung 2 minggu, kerap membuang air kecil

    tanda awal mengandung

    Mungkin ia adalah salah satu tanda-tanda awal mengandung yang kurang difikirkan tetapi apabila anda hamil, diri akan mula perasan bahawa kekerapan kencing terjadi. 

    Hal ini kerana apabila mengandung, kandungan darah dalam badan anda meningkat, menyebabkan buah pinggang akan menapis lebih banyak darah dan akhirnya membentuk lebih banyak air kencing.

    #5. Rasa letih dan lesu

    Merasa letih dan lesu merupakan antara tanda-tanda awal mengandung yang lazim berlaku. Walaupun ia sedikit subjektif, anda akan mengetahui perbezaannya apabila badan mula rasa lesu dan letih berbanding biasa.

    Tanda ini dikatakan berpunca daripada peningkatan paras hormon progesteron yang tinggi pada peringkat awal kehamilan. Hormon progesteron menyebabkan anda berasa lebih penat dan mengantuk.

    #6. Gangguan mood

    Perubahan hormon ketika trimester pertama ini mampu untuk mempengaruhi emosi dan mood anda. Hasilnya, anda atau pasangan mungkin akan perasan bahawa emosi kalian sedikit sensitif ketika tempoh ini.

    #7. Kembung perut

    Seperti kebanyakan tanda-tanda mengandung dalam artikel ini, perubahan hormon turut berupaya menyebabkan anda merasa kembung perut sedikit.

    Rasa kembung perut ini boleh diperincikan sebagai mirip rasa kembung perut ketika permulaan datang bulan.

    #8. Kewujudan sedikit tompokan darah pada tuala wanita

    Berbeza dengan tanda-tanda mengandung yang lain, tanda ini tidak dikaitkan dengan hormon. Sebaliknya, kewujudan tompokan darah pada pad adalah disebabkan satu fenomena yang disebut sebagai implantation bleeding.

    Apabila persenyawaan telah berlaku antara sel telur wanita dan juga sel sperma lelaki, bebola sel yang terhasil akan bergerak ke dalam rahim dan akan menampal pada dinding rahim.

    Proses penampalan atau implantasi ini berlaku dalam tempoh 10 hingga 14 hari setelah persenyawaan berlaku dan ia akan menyebabkan pembentukan bekalan salur darah bagi membekalkan nutrien penting kepada janin yang sedang berkembang.

    Dalam proses ini, sedikit pendarahan boleh berlaku, menyebabkan darah tersebut muncul sebagai tompokan pada tuala wanita.

    #9. Rasa kejang pada bahagian abdomen

    tanda awal mengandung

    Sesetengah wanita akan mengalami rasa kejang sedikit pada bahagian abdomen mereka. Rasa kejang ini sebenarnya merujuk kepada kekejangan rahim.

    #10. Sembelit

    Salah satu contoh bagaimana perubahan hormon ketika mengandung mempengaruhi badan anda adalah dengan menyebabkan sembelit.

    Peningkatan hormon tertentu akan menyebabkan pergerakan sistem penghadaman menjadi perlahan. Kesannya, pergerakan makanan dan tinja dalam usus besar tidak selancar dulu, menyebabkan terjadinya sembelit.

    #11. Mengelak sesetengah makanan

    Apabila mengandung, anda mungkin akan perasan bahawa diri menjadi lebih sensitif kepada bau dan rasa sesetengah makanan sehinggakan ia mampu menyebabkan anda merasa mual dan loya.

    Tambahan lagi, anda juga mungkin akan perasan bahawa diri lebih cenderung untuk makan sesetengah makanan sahaja.

    Seperti tanda-tanda awal mengandung yang lain, tanda ini dikatakan berlaku disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh hormon ketika mengandung.

    Tanda awal mengandung paling ‘rare’ #12. Hidung tersumbat

    Peningkatan paras hormon tertentu boleh menyebabkan membran mukosa pada sekitar hidung membengkak.

    Dalam sesetengah kes, ia turut boleh berdarah. Pembengkakan ini, khususnya jika dicampur dengan penghasilan cecair mukus yang banyak, akan menyebabkan hidung tersumbat.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Halifah · Disemak pada 29/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan