backup og meta

Untuk Memastikan Proses Yang Lancar, Ini Persiapan Bersalin Secara Normal Perlu Anda Ketahui

Ditulis oleh Dian Sonnerstedt · Yoga · Yoga Alliance


Disemak pada 27/11/2020

    Untuk Memastikan Proses Yang Lancar, Ini Persiapan Bersalin Secara Normal Perlu Anda Ketahui

    Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal.

    Jika anda bercadang untuk bersalin secara normal, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

    Artikel ini akan mengupas lebih lanjut berkenaan persiapan untuk bersalin secara normal.

    Ketahui peringkat kelahiran

    Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walaubagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:

  • Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
  • Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.  
  • Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.
  • #1 Bersedia menghadapi kesakitan

    sakit pundi kencing

    Bagi membantu mengawal kesakitan semasa proses kelahiran, ikuti perkara-perkara ini dan mulakannya ketika anda sedang hamil:

    Praktis urutan perinium: Urutan perineum adalah teknik urutan lembut dan perlahan-lahan yang akan meregangkan kulit dan tisu di sekitar vagina dan anus ketika beberapa minggu terakhir kehamilan.

    Kebiasaanya, anda boleh mulakan urutan ini ketika minggu ke-34 kehamilan.

    Menurut kajian, urutan perineum menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan koyakan perineum semasa bersalin.

    Senaman pelvik (senaman Kegel): Otot-otot pelvik anda perlu bekerja keras semasa proses menolak bayi keluar daripada pelvis.

    Oleh itu, ibu hamil wajar melakukan senaman pelvik bagi membantu proses melahirkan bayi.

    Menguatkan otot-otot ini akan membantu anda untuk mengawalnya semasa fasa kelahiran bayi kelak.

    #2 Uruskan bulu ari-ari anda

    Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama.

    Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran.

    Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin.

    Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.

    #3 Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi

    kelas ibu hamil

    Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi.

    Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin.

    Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda.

    Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:

  • Tanda-tanda kelahiran
  • Progres kelahiran yang normal
  • Teknik menghadapi kesakitan
  • Bagaimana pasangan anda boleh membantu
  • Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat
  • Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda untuk bersedia untuk bersalin secara normal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Ditulis oleh

    Dian Sonnerstedt

    Yoga · Yoga Alliance


    Disemak pada 27/11/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan