backup og meta

Mengapa Saya Masih Belum Berjaya Hamil: Ini 5 Kesilapan Lazim yang Anda Lakukan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/07/2020

    Mengapa Saya Masih Belum Berjaya Hamil: Ini 5 Kesilapan Lazim yang Anda Lakukan

    Pelbagai usaha telah dilakukan dalam cubaan untuk hamil, namun rezeki masih belum berpihak pada anda. Periksa dahulu adakah anda ada melakukan kesilapan seperti di bawah. Ini 5 kesilapan yang biasa dilakukan oleh ramai wanita yang sedang merancang untuk hamil.

    1 Hanya menunggu hari subur

    Kebanyakan wanita yang sedang dalam fasa TTC atau sedang mencuba untuk hamil mungkin sedar bahawa peluang kehamilan mereka akan meningkat jika bersama suami semasa hari subur. Akan tetapi, kesilapan yang selalu dilakukan oleh golongan ini adalah, mereka hanya menunggu hari subur sahaja untuk melakukan hubungan kelamin.

    Benar bahawa peluang kehamilan menjadi tinggi jika hubungan intim dilakukan semasa hari subur. Akan tetiba, kita tidak boleh menjangka bilakah hari sebenar subur seseorang wanita. Ini kerana, telur yang dilepaskan semasa hari subur atau ovulasi akan hanya bertahan sekitar 12 hingga 24 jam. Bayangkan jika anda hanya menyasarkan hari subur sahaja, pastinya terdapat kebarangkalian bahawa anda akan terlepas hari subur anda. Malahan, anda mungkin akan tersilap kira hari subur anda pada bulan tersebut. Apa yang anda perlu ingat adalah sperma boleh hidup dalam tubuh wanita selama tiga hingga lima hari. Jadi, adalah disarankan untuk setiap pasangan yang dalam tempoh TTC bersama dalam tempoh kesuburan, iaitu beberapa hari sebelum waktu subur.

    2 Kekal melakukan satu-satu posisi

    Anda tentu pernah mendengar tentang posisi ‘bersama’ yang disarankan untuk pasangan yang ingin segera dapat anak. Tidak kiralah jika anda berada di atas ataupun pasangan anda yang berada di atas, seharusnya hubungan intim perlu dilakukan dengan keseronokan. Bukannya dengan hanya menyasarkan satu-satu posisi yang dikatakan dapat meninggikan peluang anda untuk hamil. Jika demikian, ditakuti hubungan seks anda dan pasangan akan jadi membosankan.

    3 Jangan terlebih, jangan terkurang

    Ada pasangan yang menganggap hubungan intim yang dilakukan terlalu kerap boleh menjejaskan bilangan sperma suami. Jadi, mereka hanya memilih masa-masa tertentu untuk melakukan hubungan seks. Dan, ada pula pasangan yang setiap hari melakukan hubungan intim kerana menganggap peluang kehamilan akan jadi lebih tinggi jika selalu melakukannya. Kedua-duanya adalah tidak benar. Setiap pasangan yang sedang mencuba untuk mendapat anak boleh melakukan hubungan intim paling kerap adalah selang sehari. Anda tidak perlu melakukannya setiap hari atau seminggu sekali jika anda sudah tahu bahawa sperma lelaki boleh bertahan dalam tubuh anda antara tiga hari hingga lima hari. Jadi, sudah pasti anda boleh merancang bila selang hari yang sesuai untuk anda bersama.

    4 Tidak jaga perkara asas

    Anda dan pasangan hanya mementingkan hubungan seks sahaja. Kebanyakan pasangan menganggap bahawa satu-satunya peluang mereka untuk mendapat anak adalah dengan memfokuskan kepada berhubungan intim. Sehinggakan anda terlepas pandang perkara asas yang perlu untuk meningkatkan peluang kehamilan. Perkara paling utama jika anda ingin hamil adalah dengan menjaga pemakanan dan melakukan gaya hidup sihat. Jangan merokok, mengambil dadah, mengambil alkohol, dan jaga pemakanan anda.

    5 Bergantung pada vitamin pranatal

    Vitamin pranatal bukan sahaja penting untuk ibu hamil, tetapi ia juga perlu diambil jika seseorang wanita itu ingin hamil. Bagaimanapun, ramai wanita yang menganggap bahawa pengambilan vitamin pranatal akan meningkatkan peluang kehamilan mereka. Walhal, fungsi vitamin ini adalah bagi membantu tubuh wanita mendapat nutrien yang secukupnya di samping mempersiapkan tubuh untuk kehamilan. Meskipun anda sudah mengambil vitamin pranatal, anda masih perlu menjaga makan dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sihat dan seimbang.

    Setiap pasangan yang bercadang untuk mendapat anak disarankan untuk berjumpa dengan pakar fertiliti bagi memeriksa tahap kesihatan dan kesuburan mereka. Pakar akan membantu anda mencari rawatan yang sesuai dan alternatif yang perlu anda lakukan sebagai usaha untuk meningkatkan peluang anda untuk menimang cahaya mata.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan