Keguguran, Nak Kena Tunggu Enam Bulan Baru Boleh Hamil?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

“Berapa lama kena tunggu sebelum boleh hamil kembali?”, pastinya ia merupakan satu soalan yang kerap ditanya oleh pasangan yang mengalami keguguran. Betul ke ada tempoh tertentu yang perlu ditunggu sebelum kembali hamil? Habis ‘tu’ kalau ‘melekat’ dalam masa terdekat, macam mana? Haaa…mesti rasa risaukan? 

Tempoh sesuai selepas keguguran

Berdasarkan saranan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), wanita yang mengalami keguguran dinasihatkan menunggu sehingga sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mencuba untuk hamil kembali. Manakala terdapat juga saranan lain yang mengatakan wanita yang ingin hamil perlu menunggu sehingga 18 bulan.

Walau bagaimanapun, terdapat satu kajian baru yang dilakukan oleh penyelidik dari University of Aberdeen di Scotland mencadangkan bahawa tiada tempoh menunggu yang perlu diikuti sebelum kembali hamil.

Malahan kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ ini menyatakan, kembali hamil dengan cepat akan cenderung membuatkan bakal ibu mendapat kehamilan yang lebih baik. Ini kerana, berbanding kehamilan selepas tempoh enam bulan, ia akan lebih berisiko untuk mengalami kegagalan dalam kandungan, kelahiran pramatang atau sebarang komplikasi lain berkaitan kehamilan.

Menurut salah seorang penyelidik yang merupakan pakar obstetrik, Dr Sohinee Bhattacharya, “Setiap pasangan yang sudah bersedia dari aspek fizikal dan mental boleh kembali mencuba untuk hamil tanpa perlu menunggu sebarang tempoh tertentu.”

Persetujuan pakar

Hasil dapatan kajian baru ini juga dipersetujui oleh beberapa pakar lain. Antaranya, pakar endokrinologi reproduktif, Dr Sami David, yang menyatakan, “Tiada sebab untuk melambatkan kehamilan selepas keguguran kali pertama. Tetapi sekiranya wanita tersebut mengalaminya lebih daripada dua kali, amatlah dinasihatkan untuk tidak kembali hamil sehingga puncanya dapat dikenal pasti.”

Bagi pengarah obstetrik dari New York Hospital-Cornell Weill Medical College di New York City, Dr Amos Grunenbaum, “Jika anda sudah bersedia untuk hamil kembali, teruskan. Tiada risiko yang buruk akan berlaku walaupun anda hamil sejurus selepas keguguran.”

“Cuma pastikan anda dalam keadaan yang baik dan mengambil vitamin pranatal termasuk asid folik sebelum mencuba untuk mengandung bagi mendapatkan kandungan yang sihat,” ujar beliau lagi.

Untuk pengetahuan umum, asid folik dalam membantu mengurangkan risiko kecacatan tiub saraf yang boleh menjejaskan perkembangan fetus. 

Pastikan bersedia

Keguguran pastinya satu perkara yang menyedihkan. Namun jangan jadikan ia sebagai satu halangan untuk tidak kembali hamil. Jika anda sudah bersedia: fizikal dan mental, teruskan mencuba.

Tetapi jika anda tidak bersedia, mungkin anda boleh menunggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sebelum mencuba untuk hamil. Kami di Hello Doktor mendoakan yang terbaik untuk anda dan pasangan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut