backup og meta

Bolehkah Hamil selepas Rawatan Kanser?

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/09/2019

    Bolehkah Hamil selepas Rawatan Kanser?

    Selepas berjaya terselamat daripada kanser, ramai wanita yang menyimpan impian untuk menimang cahaya mata sendiri. Walau bagaimanapun, selepas mendapatkan rawatan kanser, terdapat kemungkinan bahawa anda sukar untuk hamil. Teruskan membaca untuk mengetahui jenis-jenis rawatan yang boleh menjejaskan kesuburan anda dan kebimbangan lain yang ibu bapa akan terima selepas rawatan kanser.

    Apakah rawatan yang boleh menjejaskan kesuburan?

    Sebelum anda menerima rawatan, lazimnya doktor akan memaklumkan kepada anda jika prosedur tersebut akan menjejaskan organ reproduktif anda ataupun tidak. Maklumat ini boleh membantu anda untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan, dari segi mental dan fizikal. Sesetengah rawatan kanser berkemungkinan menyebabkan ketidaksuburan, ini termasuklah rawatan:

    Kemoterapi

    Sesetengah ubat kemoterapi yang digunakan dalam prosedur merawat kanser boleh meninggalkan beberapa kesan yang teruk (contohnya, ketidaksuburan) berbanding ubat lain. Cytoxan (atau umumnya dikenali sebagai cyclophosphamide) adalah sebahagian kumpulan ubat kemo yang dipanggil alkylating agent. Semakin tinggi dos yang diberikan kepada anda, semakin cenderung organ pembiakan anda akan terjejas.

    Di samping itu, kombinasi ubat dan ubat kemoterapi yang lain juga turut memberi kesan kepada kesuburan anda. Memandangkan terdapat pelbagai jenis ubat kemoterapi, jadi, jika anda bercadang untuk hamil selepas rawatan, berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor anda bagi mengenal pasti rawatan yang menawarkan risiko paling rendah kepada kesuburan anda.

    Rawatan radiasi

    Rawatan radiasi mengandungi risiko yang boleh merosakkan sperma dan telur. Jika rawatan radiasi tertumpu pada atau berdekatan bahagian pelvik, berkemungkinan berlakunya kerosakan pada ovari wanita adalah amat tinggi. Untuk lelaki pula, bilangan sperma akan berkurangan. Perubahan-perubahan ini boleh mengambil masa untuk pulih dan ada kalanya akan kekal.

    Bergantung kepada jenis dan bahagian yang akan dirawat, doktor akan melindungi testis ataupun ovari daripada rosak, atau cuba menjarakkan ovari daripada terkena radiasi (atau dipanggil sebagai transposisi).

    Pembedahan

    Bagi pesakit yang mengalami kanser pada bahagian organ pembiakan mereka, doktor kadangkala terpaksa membuang bahagian tersebut bagi menghentikan kanser merebak.

    Kebimbangan lain

    Risiko untuk bayi mendapat kanser

    Ramai pejuang kanser yang bimbang jika anak mereka akan turut mendapat kanser. Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa anak yang ibu bapanya merupakan pejuang kanser tidak cenderung untuk mendapat kanser. Sesetengah kanser diketahui boleh diwarisi, iaitu boleh diturunkan daripada ibu bapa kepada anak-anak mereka. Jika anda menghidap kanser keturunan, anak anda berisiko tinggi untuk mendapat kanser tersebut. Berbincanglah dengan doktor atau kaunselor genetik anda sebelum memutuskan untuk mendapat anak mahupun tidak.

    Ketidaksuburan

    Rawatan kanser tertentu menjadikan sukar atau mustahil untuk pejuang kanser mendapat anak. Oleh itu, berundinglah dengan doktor anda tentang kemungkinan ketidaksuburan sebelum mendapatkan mana-mana rawatan. Pilihan untuk mengekalkan kesuburan boleh diambil jika perlu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Fakta Disemak oleh

    Hello Doktor Medical Panel


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 12/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan