10 Soalan Popular Jika Ingin Hamil (Bahagian 1)

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Bergelar ibu bapa adalah pengalaman paling terbaik dalam hidup setiap individu. Apatah lagi jika anda sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab membesarkan anak, mengajar mereka menjadi manusia yang berguna dalam hidup, dan melihat mereka membesar setiap hari. Akan tetapi, pernahkah anda dan pasangan anda bertanya, sama ada kedua-dua anda bersedia untuk alam kehamilan?

Apa yang perlu saya lakukan untuk mempersiapkan diri untuk hamil?

Perkara penting sebelum hamil adalah mendapatkan berat badan yang ideal dengan cara menjalani amalan pemakanan sihat dan kerap melakukan senaman. Pastikan anda mengambil vitamin dan mineral secukupnya seperti folat, zat besi, kalsium, dan vitamin D. Selain itu, tambah makanan seperti kekacang, tauhu, brokoli, dan labu, dalam diet anda. Ingatlah bahawa pengambilan alkohol, rokok, dan tabiat buruk lain adalah perkara yang boleh menjejaskan peluang anda untuk hamil.

Adakah saya perlu ambil vitamin pranatal?

Anda masih perlu mendapatkan vitamin dan mineral tertentu, terutamanya suplemen asid folik, dan dalam masa yang sama mengamalkan pemakanan sihat. Ramai wanita yang terlepas pandang untuk makan vitamin ini sebelum kehamilan, kerana tiub neural berkembang dalam 28 hari terawal selepas konsepsi, iaitu sebelum seseorang wanita itu tahu dia hamil. Jadi, anda disarankan mengambil vitamin pranatal sebelum dan semasa hamil.

Adakah usia boleh mempengaruhi peluang saya untuk hamil?

Peluang hamil secara semula jadi untuk wanita selepas usia 35 tahun akan berkurang kira-kira 50%, dan semakin berkurang kira-kira 90% selepas usia 40 tahun. Jika usia anda di bawah 35 tahun, berjumpalah dengan pakar kesuburan jika anda masih belum hamil selepas setahun mencuba. Jika usia anda 35 atau lebih, jumpa dengan doktor fertiliti jika anda tidak hamil secara semula jadi dalam masa enam bulan. Meskipun sukar untuk hamil selepas umur 40 tahun, namun ianya tidak mustahil. Jadi, bertemulah dengan doktor anda bagi mendapatkan nasihat untuk meningkatkan peluang kehamilan.

Adakah sejarah perubatan saya boleh menjejaskan kesuburan?

Gangguan genetik tertentu boleh menjejaskan kesuburan, dan atas alasan ini, penting untuk anda berjumpa dan memaklumkan pakar kesuburan. Tambahan lagi, dengan mengetahui sejarah perubatan seseorang individu dan mengesahkannya dengan pemeriksaan fizikal boleh membantu pakar kesuburan untuk meneruskan rawatan.

Bagaimana untuk tahu saya hamil?

Terdapat beberapa simptom awal yang anda boleh lihat seperti lewat haid, loya dan lesu. Bagaimanapun, bukan semua wanita mengalami simptom-simptom ini. Kaedah paling tepat adalah melakukan ujian kehamilan di rumah ataupun melalui imbasan ultra bunyi. Ujian kehamilan di rumah berfungsi dengan cara mengesan paras hormon kehamilan gonadotropin korionik manusia (human Chorionic Gonadotrophin-hCG). Ujian ini lebih baik jika dilakukan 10-15 hari selepas ovulasi.

Jika anda ingin hamil, anda perlu tahu bahawa untuk memiliki anak memerlukan anda bertanya dan kesabaran. Jika ada sebarang kemusykilan, hubungi doktor anda untuk lebih maklumat.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut