Minggu demi minggu

Pengalaman Bersalin: Normal atau Caesarean?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kebanyakan ibu yang sedang hamil akan berasa risau mengenai apa yang perlu dan apa yang tidak perlu dilakukan sebelum melahirkan bayi dan ini adalah normal. Jika anda bercadang untuk merasai pengalaman bersalin secara normal mahu pun secara pembedahan, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Artikel ini akan mengupas lebih lanjut berkenaan pengalaman bersalin, sama ada secara normal mahupun caesarean.

Ketahui peringkat kelahiran

Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walau bagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:

  • Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks, yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
  • Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.  
  • Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.

Bersedia menghadapi kesakitan

Pengalaman Bersalin Normal atau Caesarean - normal

Bagi membantu mengawal kesakitan semasa proses kelahiran, ikuti perkara-perkara ini dan mulakannya ketika anda sedang hamil:

  • Praktis urutan perineum: Urutan perineum adalah teknik urutan lembut dan perlahan-lahan yang akan meregangkan kulit dan tisu di sekitar vagina dan anus ketika beberapa minggu terakhir kehamilan. Kebiasaannya, anda boleh mulakan urutan ini ketika minggu ke-34 kehamilan. Menurut kajian, urutan perineum menunjukkan keberkesanan dalam mengurangkan koyakan perineum semasa bersalin.
  • Senaman pelvik (senaman Kegel): Otot-otot pelvik anda perlu bekerja keras semasa proses menolak bayi keluar daripada pelvis. Oleh itu, ibu hamil wajar melakukan senaman pelvik bagi membantu proses melahirkan bayi. Menguatkan otot-otot ini akan membantu anda untuk mengawalnya semasa fasa kelahiran bayi kelak.

Uruskan bulu ari-ari anda

Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin sekali gus akan menjejaskan pengalaman bersalin anda. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum dimasukkan ke wad untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.

Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi

Bagi mendapatkan pengalaman bersalin yang lebih baik, selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah bersalin, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:

  • Tanda-tanda kelahiran
  • Progres kelahiran yang normal
  • Teknik menghadapi kesakitan
  • Bagaimana pasangan anda boleh membantu
  • Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat

Tanpa mengira keputusan anda untuk bersalin di rumah, di pusat bersalin atau hospital, perkara-perkara asas ini akan membantu anda bersedia untuk bersalin secara normal.

Rahsia pengalaman bersalin normal

Bagi setiap wanita, menanti kehadiran cahaya mata atau kelahiran anak adalah satu peristiwa luar biasa yang akan diingati sepanjang hayatnya. Setiap kelahiran adalah satu pengalaman bersalin unik untuk setiap ibu dan anak yang baru lahir. Oleh itu, anda sebagai seorang ibu akan mempunyai banyak jangkaan dan juga pengalaman positif. Berikut adalah beberapa pengalaman bersalin secara normal yang akan anda rasai:

  • Rahsia 1: Sisa peribadi akan keluar bersama

Semasa bersiap untuk kelahiran, anda mungkin tertanya-tanya apa lagi yang akan datang keluar bersama dengan bayi anda. Tidak banyak buku, artikel atau bahkan ibu anda sendiri yang menyebut mengenai pergerakan usus besar yang tidak enak pada saat yang sama ketika anda meneran bayi. Najis, air kecil dan tentunya darah adalah kesan pergerakan usus yang datang dengan bayi anda. Walau bagaimanapun, tidak usah berasa malu. Ini adalah fenomena semula jadi proses pengalaman bersalin normal. Selain itu, anda tidak boleh menghindari kejadian ini kerana anda menggunakan otot yang sama untuk meneran bayi anda seperti ketika anda menggerakkan usus anda. Jangan bimbang, doktor dan jururawat anda telah berpengalaman dan akan mengawasi keadaan anda.

  • Rahsia 2: Rasa tekanan dan sakit

Untuk merasai pengalaman bersalin normal, pastinya akan mendatangkan pelbagai jenis rasa sakit. Anda akan mengalami dua rasa utama iaitu rasa sakit dan tekanan. Apabila anda mula meneran, anda telah menghantar tekanan ke serviks supaya bayi itu akan keluar. Apabila bayi turun ke saluran kelahiran, anda akan mula merasai tekanan yang berterusan dan bertambah. Rasa tekanan ini seperti dorongan kuat untuk membuang air apabila bayi menekan ke atas saraf yang sama. Semasa melalui pengalaman bersalin normal, terdapat risiko kulit dan tisu di sekeliling faraj meregang dan terkoyak sementara janin bergerak melalui saluran kelahiran. Ini sekali gus akan membawa kepada kesakitan teruk pada masa ini dan kesakitan antara faraj dan dubur anda selepas bersalin.

  • Rahsia 3: Tarikan nafas yang berterusan

Pengalaman Bersalin Normal atau Caesarean - teknik pernafasan

Anda mungkin berasa tidak perlu tetapi teknik pernafasan yang betul adalah teknik melahirkan anak yang berkesan. Sebelum bersalin, anda disarankan untuk melatih pernafasan anda untuk membantu menghadapi kontraksi dengan lebih mudah dan meningkatkan keupayaan anda untuk bertenang di antara kesakitan. Berikan perhatian kepada kaedah pernafasan harian yang boleh membuat anda tenang. Melakukan yoga adalah satu lagi pilihan hebat untuk mempersiapkan kelahiran. Anda juga boleh berlatih bernafas dengan pasangan anda. Apabila anda merasakan semuanya tidak terkawal, pasangan anda boleh membantu anda bernafas. Cuba bernafas dengan mulut dan tekak yang terbuka luas, badan anda secara fizikal dan mental akan mendapat manfaat dengan menjadi kurang tegang dan lebih terbuka semasa proses bersalin.

  • Rahsia 4: Posisi menegak

Biasanya, anda akan melihat seseorang wanita yang akan melahirkan anak mereka akan lebih banyak berbaring di atas katil. Walau bagaimanapun, ia bukan kedudukan terbaik untuk ibu dan anak. Bergerak atau berdiri tegak sewaktu bersalin mendatangkan banyak manfaat untuk ibu dan anak. Pergerakan dan kedudukan semasa bersalin adalah suatu yang magik. Pergerakan meningkatkan keselesaan dengan merangsang reseptor di otak yang mengurangkan persepsi rasa sakit. Bakal ibu harus menggunakan kedudukan tegak yang membuatnya berasa selesa dan meredakan rasa sakit kontraksi. Beberapa posisi menegak termasuk: berdiri, condong ke hadapan, bertinggung, duduk dan berbaring mengiring. Setiap kedudukan ini boleh digunakan dalam peringkat pertama dan kedua kelahiran. Bergantung pada keadaan anda dan arahan doktor, anda boleh mengamalkan kedudukan yang sesuai dengan anda.

  • Rahsia 5: Masa pemulihan yang lebih cepat

Bagi setiap bakal ibu, berdepan dengan proses kelahiran dan menghadapi proses bersalin normal adalah proses yang panjang yang meletihkan serta menyukarkan. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan, salah satu faedah terbaik kelahiran normal ialah masa pemulihan yang lebih cepat. Kelahiran faraj adalah proses semula jadi. Oleh itu, tubuh anda boleh mencari cara sendiri untuk pulih dari semasa ke semasa. Biasanya, seorang individu wanita yang memilih untuk mendapatkan pengalaman bersalin normal akan mempunyai masa pemulihan antara 24 dan 48 jam. Jika anda berasa lebih baik, anda boleh memilih untuk keluar hospital lebih awal daripada tempoh masa yang dijangkakan. Ramai individu wanita selepas bersalin memilih untuk tinggal di rumah bagi kelahiran semula jadi supaya mereka dapat menikmati masa berharga dengan anak dan keluarga.

Terdapat banyak lagi yang boleh dikatakan mengenai proses kehidupan yang paling indah ini. Tetapi perkara-perkara yang paling tersembunyi tentang bersalin normal ini akan memberi anda gambaran yang lengkap ketika menyambut si kecil anda ke dunia.

Pengalaman bersalin secara pembedahan caesarean

Pembedahan caesarean atau lebih dikenali sebagai pembedahan C-section merupakan prosedur melahirkan bayi menggunakan kaedah pembedahan. Kaedah C-section mungkin terpaksa digunakan sekiranya terdapat banyak komplikasi kehamilan yang menyukarkan ibu untuk melahirkan anak secara normal atau proses melahirkan bayi secara normal akan membahayakan bayi atau ibu. Selain itu juga, kaedah ini boleh digunakan untuk ibu yang tidak mahu bersalin secara normal.

Apa yang akan berlaku jika anda menggunakan kaedah C-section? Walaupun bayi anda berkemungkinan besar selamat dilahirkan, badan anda memerlukan masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding mereka yang melahirkan anak secara normal. Oleh itu, anda perlu lebih berhati-hati dalam proses menjaga tubuh badan anda dengan berpandukan kepada perkara-perkara berikut.

Apakah itu pembedahan C-section?

Pengalaman Bersalin Normal atau Caesarean - caesarean

Pembedahan caesarean atau C-section adalah pembedahan yang dilakukan terhadap wanita hamil dan melibatkan pemotongan perut dan rahim untuk melahirkan bayi. Pembedahan ini dikategorikan kepada dua iaitu:

  1. Pembedahan caesarean elektif

Pembedahan ini adalah dirancang dan dijadualkan terlebih dahulu sebelum anda mengalami sakit bersalin.

  1. Pembedahan caesarean kecemasan

Pembedahan ini tidak dirancang dan boleh berlaku sekiranya berlaku komplikasi serius terhadap anda dan juga bayi ketika proses kelahiran.

Dalam kebanyakan kes, pembedahan caesarean ini berlaku tanpa dirancang. Sekiranya anda dimaklumkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan ini, jangan panik dan segera menyiapkan diri untuk melakukannya kerana pembedahan ini mempunyai tahap keberhasilan yang sangat tinggi. Namun begitu, pembedahan ini sebenarnya tidak boleh dilakukan banyak kali kerana akan meningkatkan risiko anda mempunyai masalah kehamilan kelak.

Persiapan sebelum melakukan C-section

Jika anda dan doktor sudah bersedia untuk C-section, jadual pembedahan akan ditetapkan. Doktor anda akan berbincang dengan anda tentang pembedahan dan potensi-potensi risiko yang mungkin berlaku. Ketika ini, anda wajar bertanya dan berkongsi kebimbangan, ketakutan yang akan menyediakan anda untuk operasi pembedahan.

Anda juga perlu melakukan beberapa ujian sebelum melakukan C-section untuk memastikan kumpulan darah serta isu perubatan anda yang lain. Keputusan ujian-ujian ini juga akan menyediakan informasi lengkap tentang kondisi kesihatan anda yang akan membantu sekiranya anda memerlukan pemindahan darah. Konsultasi bersama pakar bius juga akan berlangsung bagi membincangkan pilihan anestesia yang terbaik buat anda.

Pakar perubatan anda juga akan mengingatkan anda untuk berpuasa dalam tempoh lapan hingga dua belas jam sebelum pembedahan.

Sebelum masuk ke dewan pembedahan, cuba bertenang dan berfikiran positif. Ini sedikit sebanyak akan membantu pembedahan C-section anda.

Proses penyembuhan selepas melakukan C-section

Proses penyembuhan selepas pembedahan C-section adalah penting untuk kesihatan ibu. Kebiasaannya, individu yang memilih untuk merasai pengalaman bersalin secara pembedahan ini akan mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh berbanding mereka yang melahirkan bayi secara normal. Anda dan bayi mungkin terpaksa diwadkan di hospital sekurang-kurangnya tiga atau empat hari. Mereka yang bersalin normal pula hanya perlu diwadkan di hospital selama satu atau dua hari sahaja.

Selepas melahirkan, anda akan dibawa ke bilik penyembuhan. Sejurus selepas kesan bius hilang, anda akan mula berasa tidak selesa pada bahagian perut anda. Bagi mengawal kesakitan ini, anda boleh meminta bantuan ubat-ubatan daripada staf perubatan di situ seperti ubat penahan sakit.

Dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan pula, jururawat akan membantu anda menanggalkan catheter dan IV. Kemudian, doktor akan menggalakkan anda untuk bangun dan berjalan perlahan-lahan di kawasan sekitar demi mengelakkan penggumpalan darah berlaku dalam badan. Selepas itu, anda mungkin akan berasa lapar. Anda boleh mulakan dengan pengambilan makanan pepejal perlahan-lahan. Anda juga mungkin berasa badan anda penuh angin namun anda tidak perlu risau kerana ia adalah normal yang menunjukkan usus-usus anda berfungsi dengan normal.

Apa-apa sahaja perkara yang mendatangkan tekanan kepada kawasan yang dibedah akan mendatangkan ketidakselesaan, namun ia akan beransur hilang mengikut tempoh masa tertentu. Apabila anda batuk, bersih atau ketawa, gunakan tangan anda untuk menekap bahagian luka. Sesampainya anda di rumah, hindari beberapa aktiviti berat seperti elakkan memandu sekurang-kurangnya dalam tempoh enam minggu pertama selepas anda bersalin, ataupun lebih.

Selepas dua minggu, anda perlu ke hospital untuk memastikan luka anda sembuh dengan sebetulnya. Selepas enam minggu pula, anda masih perlu ke hospital untuk memeriksa kondisi kesihatan anda. Sepanjang tempoh penyembuhan, ikuti nasihat doktor dan sentiasa berfikiran positif bagi mendapatkan kesembuhan yang terbaik.

Walaupun pembedahan C-section mempunyai risikonya, anda berpeluang menimba pengalaman bersalin yang berbeza berbanding bersalin secara normal. Jika anda mempunyai pengetahuan yang memadai dan sentiasa berkomunikasi dengan pakar perubatan selain boleh mengawal emosi, anda mungkin dapat menyimpulkan bahawa pembedahan C-section ini tidak perlu menjadi satu kerisauan buat anda.

Berapa Kali Boleh Bersalin Secara Pembedahan Caesarean?

Pengalaman Bersalin Normal atau Caesarean - berapa kali c-section

Seringkali kita terdengar atau terbaca dakwaan yang mengatakan wanita yang melahirkan anak secara pembedahan caesarean akan mempengaruhi keupayaan mereka untuk hamil secara sihat pada masa hadapan kelak. Adakah dakwaan ini benar?

Apakah risiko melakukan pembedahan caesarean lebih daripada satu kali?

Sekiranya anda melakukan pembedahan ini lebih daripada satu kali untuk melahirkan anak, terdapat beberapa risiko yang mungkin berlaku pada anda. Antaranya:

  • Plasenta previa (uri di bawah)
  • Plasenta accreta (uri melekat)
  • Hysterectomy (pembedahan membuang rahim)

Risiko-risiko ini akan lebih tinggi bergantung kepada berapa banyak kali anda melakukan pembedahan caesarean. Selain itu juga, akan berlaku banyak masalah keibuan dan kehamilan selepas melakukan pembedahan caesarean seperti kecederaan usus, sista, pendarahan, ketidaksuburan, kebergantungan kepada mesin ventilator dan kemungkinan dimasukkan ke dalam unit kecemasan hospital (ICU) selepas pembedahan dilakukan.

Dalam pada itu, pembedahan caesarean ini sukar untuk dilakukan sekiranya sudah terdapat parut lama akibat pembedahan yang sama. Pembedahan ini sememangnya akan meninggalkan parut. Semakin banyak pembedahan caesarean pernah dilakukan, semakin banyak parut yang ditinggalkan. Ini akan menyebabkan pembedahan seterusnya menjadi sukar untuk dilakukan.

Berapa kali pembedahan caesarean boleh dilakukan?

Menurut pakar, pembedahan caesarean yang pertama atau kedua kali tidak akan mendatangkan mudarat yang teruk kepada si ibu. Namun begitu, pembedahan caesarean kali ketiga, keempat dan seterusnya akan mengundang pelbagai risiko kesihatan berkenaan keibuan dan kehamilan. Ini menunjukkan bahawa pembedahan caesarean yang dilakukan banyak kali sememangnya akan mengundang bahaya kepada wanita yang melakukannya.

Sebenarnya, tiada jawapan jelas mengenai angka tepat berkenaan berapa kali boleh melakukan pembedahan caesarean. Namun begitu, sudah jelas bahawa pembedahan ini selamat untuk dilakukan buat kali pertama dan kedua. Oleh itu, jika anda berhasrat untuk melahirkan anak melalui prosedur ini buat kali ketiga, keempat dan seterusnya, anda wajar berbincang terlebih dahulu dengan pakar perubatan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut