Minggu demi minggu

Kenapa Ibu Mengandung Alami Mood Swings?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Jika pasangan anda sedang melalui proses kehamilan, pernahkah anda berdepan dengan situasi di mana pada satu ketika pasangan anda berasa gembira dan secara tiba-tiba emosinya berubah secara mendadak bertukar sedih atau marah? Jika pernah, mengapakah mood swings ini sering berlaku kepada ibu mengandung? Ikuti perkongsian artikel berikut untuk mengetahui puncanya dan tip mengendalikan keadaan ini. 

Mengalami perubahan emosi atau mood swings seperti roller coaster bagi ibu yang mengandung adalah satu keadaan biasa untuk berlaku. Keadaan ini disebabkan oleh perubahan tahap hormon yang sedang memuncak apabila jumlah estrogen dan progesteron meningkat. Peningkatan ini boleh menjejaskan emosi dan membuatkan mereka lebih mudah tersentuh. 

Namun, ketidakstabilan emosi ini mungkin juga disebabkan oleh proses kehamilan yang sedang isteri anda alami yang melibatkan pelbagai perubahan bakal berlaku. Contoh situasi yang sering berlaku, mereka mungkin gembira bakal menimang zuriat lambang kasih sayang anda berdua, tetapi kemudian mungkin akan terlintas di fikiran pasangan anda, mampukah dia menjadi ibu yang terbaik dan bersediakah anda berdua dengan tanggungjawab sebagai ibu bapa?

Berikut adalah beberapa kebimbangan dan keadaan kesihatan biasa yang mendasari perubahan emosi ibu mengandung:

  • Isu kewangan selepas kehadiran bayi
  • Perubahan bentuk badan
  • Kesihatan bayi
  • Penjagaan bayi 
  • Gementar dan takut memikirkan proses kelahiran
  • Mengalami masalah pedih ulu hati
  • Keletihan dan kelesuan
  • Berdepan dengan mabuk hamil atau morning sickness yang teruk

Keadaan dan situasi yang dinyatakan di atas merupakan contoh keadaan yang boleh membuatkan emosi anda terganggu. Jadi adakah terdapat cara yang boleh membantu untuk mengendalikan perubahan emosi ini? 

Tip mengendalikan mood swing ibu mengandung

Jangan risau, setiap masalah yang berlaku pastinya mempunyai jalan penyelesaian. Selain memastikan ibu mengandung mendapatkan rehat yang mencukupi terutamanya jika mengalami tekanan dan berasa sangat letih, anda juga harus mengingatkan pasangan anda untuk meminta bantuan mahupun pertolongan daripada anda atau ahli keluarga untuk membantu mereka melakukan sesuatu perkara yang sukar.

Berikut adalah beberapa tip yang boleh membantu mengendalikan perubahan emosi yang berlaku:

Me time

Pada ketika isteri anda berasa tertekan, sarankan kepadanya untuk mengajak rakan-rakannya untuk berjumpa. Cadangkan kepada pasangan anda untuk mereka pergi menonton filem yang menarik atau hanya duduk di taman mahupun restoran dan berbual kosong. 

Dalam erti kata lain, lakukan apa sahaja yang boleh membantu dan membuatkan pasangan anda melupakan sebentar tekanan atau sebarang kesan daripada proses kehamilan sedang dilaluinya.

Fahami proses kehamilan

Mempunyai pasangan yang sedang bergelar ibu mengandung, perkara terbaik boleh anda lakukan adalah untuk memahami tentang keadaan atau situasi semasa yang sebenar dengan memperbanyakan bacaan mengenai kehamilan, proses kelahiran bayi dan peranan keibubapaan. 

Tip ini pasti dapat membantu anda untuk lebih memahami apa yang sedang dialami oleh ibu mengandungi. Bahkan, pada pandangan isteri anda, pastinya anda tampak seperti anda mengambil berat tentang kehamilan yang dilaluinya. 

Luangkan masa bersama

Adalah satu perkara yang normal untuk ibu mengandung mengalami keletihan dan kelesuan sepanjang tempoh kehamilan. Luangkan masa bersama dengan pasangan anda dengan mengajak mereka untuk melakukan aktiviti riadah mengikut kesesuaian situasi mereka.

Bersenam atau sebarang aktiviti fizikal pastinya dapat mengembalikan kecergasan dan keceriaan dalam diri pasangan anda. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama, antara aktiviti riadah yang paling mudah untuk dilakukan adalah berjalan-jalan sekitar taman rekreasi. 

Pemakanan seimbang

Sememangnya seorang ibu yang sedang dalam proses kehamilan cenderung mempunyai selera atau keinginan makan yang membuak-buak. Namun, ia bukan bermakna mereka boleh mengambil apa sahaja makanan tanpa mempedulikan mengenai khasiat dan nutrisi yang terkandung dalam pemakanan yang diambil.

Jadi sebagai pasangan yang prihatin, elakkan isteri anda daripada mengambil makanan yang merapu dan tidak mengandungi khasiat, kerana secara tidak langsung ia turut akan mempengaruhi perubahan emosi mereka. Dalam masa yang sama, anda juga harus menghindari dari memakan makanan sebegini di hadapan mereka. Jika mereka teringin, sudah pasti anda tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka, bukan?

Sekiranya pada lewat tengah malam, pasangan anda secara tiba-tiba mengidamkan sesuatu yang pelik-pelik dan mungkin sukar untuk anda dapatkan. Satu tip yang mungkin boleh membantu anda lakukan untuk mengelakkan isteri anda yang sedang hamil daripada mengalami mood swings adalah dengan menunjukkan bahawa anda berusaha untuk mencarinya. Walaupun pada akhirnya anda mungkin balik dengan tangan kosong, percayalah ia cukup untuk menggembirakan hati isteri anda. 

Tempoh sementara

Perubahan emosi atau mood swings seperti roller coaster yang dialami oleh ibu mengandungi ini bukanlah berlaku sepanjangan masa. Kalau mungkin ada dalam kalangan ibu mengandung yang mengalaminya sentiasa untuk tempoh kehamilan, tanamkan dalam kotak ingatan anda bahawa apa yang berlaku hanyalah untuk tempoh 9 bulan dan isteri anda sedang mengandungkan zuriat untuk anda berdua. Perbanyakkan bersabar dan elakkan dari terasa hati jika timbul sebarang perbuatan, kata-kata atau permintaan yang diluar kotak pemikiran anda seperti isteri anda mengadu mengenai bau badan anda yang padanya adalah memualkan.

Penjagaan diri

Dalam anda sibuk menjaga isteri anda yang sedang sarat mengandung, pastikan dalam masa yang sama anda turut menjaga aspek kesihatan anda. Jika anda tidak sihat, pastinya ia akan memburukkan lagi keadaan.  

Fasa kehamilan bukanlah satu fasa yang mudah untuk dilalui oleh pasangan anda. Ia mungkin sesuatu yang menjengkelkan. Tetapi sebaiknya cuba untuk bertolak ansur setiap keadaan dan situasi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut