Kurangkan Berat Ketika Hamil. Nak Tahu Caranya?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Pertambahan berat badan ketika hamil adalah perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap individu wanita hamil. Tetapi kalau berat anda menjadi berlebihan, bagaimana untuk mengurangkan berat?

Mengurangkan berat

Kenaikan berat sepanjang tempoh kehamilan adalah normal tetapi bagi individu wanita yang sudah mempunyai masalah berat badan berlebihan, sudah tentu situasi ini mendatangkan dilema yang merungsingkan hati.

Namun, berita baiknya, terdapat kajian dan penyelidikan yang telah dijalankan mencadangkan bahawa mengurangkan berat ketika hamil adalah perkara yang dibolehkan dan ia mungkin akan memberikan manfaat khususnya bagi individu wanita dengan berat yang berlebihan atau mempunyai nilai BMI melebihi 23. 

Walau bagaimanapun, wanita hamil yang mempunyai berat badan normal sebelum mengandung mungkin tidak sesuai untuk mengurangkan berat. Tetapi jika anda berasa perlu untuk menurunkan berat dan akan memperolehi manfaat daripadanya, anda disarankan untuk berbincang dengan doktor atau pakar perubatan terlebih dahulu, okay?

Berat yang disarankan

Sebelum kita fahami cara untuk mengurangkan berat badan, anda harus tahu mengenai kenaikan berat yang disarankan bagi setiap individu wanita hamil mengikut BMI.

  • Wanita yang kekurangan berat badan dengan nilai BMI <18.5, perlu mendapatkan lebih banyak berat, dari 12.5 hingga 18 kilogram (kg)
  • Wanita dengan purata berat badan nilai BMI dari 18.5 – 22.9, perlu mendapat kira-kira 11.5 hingga 16 kg
  • Wanita yang mempunyai berat badan berlebihan dengan nilai BMI 23 hingga 26.9, sepatutnya menambah berat dari 7 hingga 11.5 kg
  • Manakala wanita dengan nilai BMI 27 dan ke atas disarankan untuk menambah berat antara 5 hingga 9 kg sahaja

Secara mudahnya, jika BMI anda adalah antara 18.5 hingga 22.9 sebelum mengandung, pastikan kenaikan berat badan anda sepanjang tempoh kehamilan adalah tidak melebihi 16 kg. Sebaliknya, jika BMI anda adalah tinggi sebelum hamil, kenaikan berat yang lebih rendah adalah amat digalakkan. 

Berikut merupakan penambahan berat badan mengikut minggu yang dicadangkan untuk wanita hamil dengan purata BMI dari 18.5-22.9:

  • Minggu 1 hingga minggu 12 (trimester pertama): 0.9 hingga 2 kilogram
  • Minggu 13-26 (trimester kedua): 4 hingga 5 kilogram
  • Minggu 27-40 (trimester ketiga): 5 hingga 6 kilogram

Pelan mengurangkan berat semasa hamil

Menggunakan alasan “makan untuk dua orang” adalah antara punca mengapa berat badan anda boleh naik secara mendadak ketika mengandung. Berikut merupakan beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi menurunkan berat anda:

Pengambilan kalori

Anda memerlukan kalori untuk memastikan bayi anda membesar tetapi ia perlu diambil dalam kuantiti yang betul. Apa yang penting adalah untuk mengawal kenaikan berat badan anda agar tidak terlalu cepat naik.

Anda boleh memilih untuk mengisi perut anda dengan sesuatu makanan yang lebih sihat seperti minum susu skim, kentang bakar berbanding kentang goreng atau isi ayam bakar tanpa lemak menggantikan ayam goreng.

Ketika menyediakan makanan, pilihlah makanan yang dapat mengenyangkan anda untuk tempoh jangka panjang tetapi masih mempunyai kandungan kalori yang rendah. Antara contoh pilihan makanannya adalah:

  • Sayuran segar, terutama daun hijau
  • Buah-buahan dengan kandungan air tinggi, seperti tembikai
  • Isi ayam
  • Ikan
  • Bijirin gandum seperti oat

Jumlah makanan dan lemak

Pastikan saiz dan kuantiti hidangan makanan yang diambil adalah bersesuaian dan mempunyai kandungan nutrisi yang diperlukan. Walau bagaimanapun, anda tetap perlu memastikan ada pengambilan lemak dalam hidangan makanan anda.

Ini kerana sesetengah jenis lemak adalah penting dalam membantu perkembangan bayi dalam kandungan anda. Sebaiknya pengambilan makanan bergoreng, (jika anda terlalu teringin untuk makan makanan sebegitu), ambillah dalam kuantiti yang terkawal.

Bersenam 

Siapa kata wanita hamil tidak boleh bersenam atau melakukan aktiviti fizikal? Anda masih boleh melakukan senaman tetapi pastikan ia adalah bersesuaian dengan keadaan fizikal anda. Anda boleh memilih untuk mengikuti kelas yoga pranatal atau hanya berjalan kaki mengelilingi taman. Paling penting luangkan sedikit masa untuk melakukan aktiviti fizikal. 

Akhir kata

Berat badan naik secara tidak terkawal boleh mendatangkan beberapa risiko masalah kesihatan kepada anda dan bayi dalam kandungan seperti kelahiran pramatang, diabetes, tekanan darah tinggi dan kecacatan kelahiran. Jadi pastikan anda mengawal pemakanan serta melakukan senaman yang bersesuaian untuk memastikan anda kekal aktif dan sihat. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.