Tanda Bersalin: Adakah Anda Sudah Bersedia?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Sekilas Pandang Kehamilan Yang Telah Dikecapi

Semakin dekat tempoh anggaran bersalin dan semakin muncul tanda bersalin pada diri anda, perjalanan kehamilan anda semakin hampir ke penghujungnya. Tentunya ini satu saat yang menggembirakan dan juga mendebarkan. Melihat semula permulaan segala-galanya, kehamilan yang kini dikecapi adalah satu pengalaman hidup yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain.

Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan dan zuriat yang bakal dilahirkan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata. Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah.

Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal anda sekali gus mempengaruhi peluang untuk mereka mengandung. Tidak terhad kepada wanita sahaja, faktor kaum lelaki juga turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan zuriat. Keadaan-keadaan kesihatan seperti disfungsi ereksi, kemurungan dan juga masalah berkaitan dengan penghasilan sperma boleh mempengaruhi peluang untuk si isteri mengandung. Justeru, kegembiraan terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti.

Tanda bersalin

Setelah anda memasuki tempoh trimester ketiga, semestinya anda sudah mula merasa gemuruh, mula menghitung hari. Namun yang demikian, bukan semua wanita mengandung akan mengecapi tempoh 40 minggu kehamilan. Justeru, perkara sebenar yang perlu anda peka adalah tanda bersalin. Anda perlu cakna terhadap tanda bersalin pada diri anda agar perhatian doktor dapat diperoleh sesegera mungkin dan rawatan yang mencukupi dapat diberi. Perlu diingati, ada wanita hamil yang mengalami tanda bersalin sebelum minggu ke-40 dan ada juga yang lebih awal iaitu dalam kalangan ibu yang melahirkan bayi pramatang. Secara amnya, tiada perbezaan yang ketara antara tanda bersalin untuk kehamilan pramatang dengan tanda bersalin untuk kandungan yang cukup bulan.

Berikut merupakan tanda bersalin yang perlu anda ambil tahu:

  1. Rasa sakit belakang, selalunya pada bahagian bawah belakang (pinggang). Tanda bersalin ini mungkin berlaku sekejap-sekejap atau berterusan, tetapi ia tidak akan lega sehingga anda menukar posisi atau melakukan sesuatu yang menyelesakan anda.
  2. Kontraksi setiap 10 minit atau lebih kerap. Tanda bersalin ini berlaku akibat rahim anda yang mengeras kemudiannya regang secara berselang-seli. Untuk sesetengah wanita, mereka akan memperincikan rasa sakit tanda bersalin ini (kontraksi) mirip sakit akibat datang bulan versi yang lebih teruk.
  3. Kejang pada bawah abdomen atau seperti sakit senggugut. Rasa sakit untuk tanda bersalin ini persis rasa sakit angin yang boleh berlaku akibat cirit-birit.
  4. Keluar cecair dari faraj (pecahnya air ketuban).
  5. Rasa ingin ke tandas atau kerap ke tandas untuk membuang air besar (kesan tekanan kepala bayi pada bahagian usus)
  6. Simptom seperti flu, contohnya loya, muntah, atau cirit-birit. Hubungi doktor anda walaupun anda mengalami kes ringan. Jika simptom berlanjutan selama lebih 8 jam, anda mesti berjumpa dengan doktor.
  7. Tekanan dalam pelvis atau faraj meningkat.
  8. Pengeluaran lendir faraj meningkat.
  9. Pendarahan faraj, termasuklah pendarahan ringan.

Persediaan bersalin

Setelah anda maklum tentang tanda bersalin yang di atas, perkara seterusnya adalah untuk anda melakukan persediaan sebelum tempoh dan tanda bersalin muncul. Berikut merupakan persediaan menjelang tempoh bersalin yang mungkin membantu anda:

Ketahui peringkat kelahiran

Peringkat kelahiran adalah berbeza mengikut individu. Tiada siapa yang mampu untuk menjangkakan tempoh peringkat kelahiran mereka. Walaubagaimanapun, anda tetap akan mengalami tiga peringkat ini semasa proses kelahiran bayi:

  1. Fasa pertama: Peringkat ini bermula apabila otot-otot rahim anda mula mengecut, mengecil dan kemudian relaks yang akan membantu membuka serviks agar bayi boleh melalui saluran kelahiran. Fasa pertama ini boleh berlangsung dalam tempoh beberapa jam atau berhari-hari. Anda juga akan mengalami kontraksi aktif yang bertahan dalam masa beberapa minit.
  2. Fasa kedua: Peringkat ini bermula apabila serviks anda diluaskan dan anda menolak bayi anda keluar.  
  3. Fasa ketiga: Peringkat ini adalah apabila bayi anda telah lahir. Kontraksi masih akan berlaku sehinggalah plasenta dikeluarkan daripada saluran kelahiran anda.

Persediaan untuk mengurangkan risiko koyakan perineum darjah tinggi

Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa waktu untuk meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin. Adalah penting untuk mengekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.

Ibu hamil disyorkan untuk cuba melakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Cara paling berkesan adalah dengan menggunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda. Dengan itu, anda dapat mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.

Uruskan bulu ari-ari anda

Ketika sedang hamil, adalah normal untuk anda bimbang terhadap pengurusan bulu ari-ari anda terutamanya jika ini adalah kehamilan yang pertama. Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran. Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin. Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari anda sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.

Hadiri kelas-kelas melahirkan bayi

Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi. Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin. Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda. Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:

  1. Tanda-tanda kelahiran
  2. Progres kelahiran yang normal
  3. Teknik menghadapi kesakitan
  4. Bagaimana pasangan anda boleh membantu
  5. Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat

Komplikasi bersalin yang perlu anda tahu

Proses bersalin bukanlah tanpa sebarang komplikasi. Oleh yang demikian, pesakit yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi akan diberikan perhatian yang lebih ketika mereka bersalin di hospital. Berikut adalah antara komplikasi yang boleh berlaku ketika bersalin.

Bahu bayi tersekat

Keterjadian bahu bayi tersekat ketika proses menyambut kelahiran bayi tersebut adalah satu mimpi ngeri bukan sahaja untuk si ibu, malahan untuk para doktor dan jururawat di sekelilingnya. Ianya adalah salah satu komplikasi popular ketika proses kelahiran (labour) berlangsung. Apa yang lebih merisaukan adalah ianya merupakan komplikasi yang tidak boleh diduga, justeru tidak boleh dibendung. Definisi keadaan ini adalah apabila pergerakan-pergerakan tambahan diperlukan (berbanding pergerakan biasa) untuk mengeluarkan bahu bayi tersebut. Ini terjadi apabila bahu bayi tersebut tersangkut pada simfisis pubis ibu atau bahagian unjuran/promontori sacrum. Lazimnya, satu tanda yang diperhatikan berlaku apabila insiden bahu tersekat ini terjadi dan tanda tersebut disebut sebagai ‘turtle sign’, merujuk kepada keadaan kepala bayi yang, apabila sudah terkeluar sedikit, ianya termasuk semula ke dalam, seolah-olah melekat pada perineum si ibu.

Keterjadian bahu bayi tersekat ini membawa komplikasi lain yang tidak terhad untuk ibu sahaja, bahkan untuk bayi tersebut. Untuk bayi yang ingin dilahirkan, komplikasi yang mungkin berlaku, dan cukup digeruni adalah kecederaan brachial plexus dan juga kecederaan hipoksisk-iskemik otak. Bagi si ibu pula, komplikasi yang berupaya untuk berlaku adalah pendarahan selepas bersalin (post-partum haemorrhage), luka melecet pada dinding faraj, kekoyakan perineum dan juga kekoyakan rahim (uterine rupture).

Bahagian muncul bayi yang tidak normal (Malpresentation)

Komplikasi ini merujuk kepada bahagian pertama yang muncul atau keluar daripada faraj si ibu. Beberapa minggu sebelum anda sudah cukup bulan untuk bersalin, kedudukan bayi dalam rahim anda adalah dalam posisi di mana kepala mereka akan berada di bahagian bawah rahim (paling dekat dengan faraj), dagu bertemu dada, dan punggung dan kaki mereka berada di bahagian atas (menunjuk ke arah dada ibu), bersedia untuk masuk ke dalam bahagian pelvis. Dengan posisi ini, bahagian kepala bayi yang paling kecil mendahului penurunan ke dalam pangkal rahim, sebelum keluar melalui faraj. Posisi ini dikenali sebagai verteks (kepada bawah) occiput anterior (OA).

Memandangkan bahagian kepala bayi adalah bahagian yang paling besar dan paling fleksibel, posisi ini adalah posisi yang terbaik untuk bayi tersebut keluar. Dengan cara ini, risiko badan bayi untuk tersekat atau terhalang ketika ingin dilahirkan, dapat dikurangkan ke paras yang minima. Posisi ini juga mengurangkan risiko untuk kekoyakan faraj/perineum pada darjah yang lebih tinggi.

Namun yang demikian, sesetengah bayi tidak berada dalam posisi ini ketika dalam proses kelahiran (labour). Sebaliknya, mereka boleh berada dalam posisi di mana punggung atau kaki mereka yang masuk menuju ke dalam pelvis. Ini disebut sebagai ‘breech presentation’. Lazimnya, kedudukan sebegini akan dilihat melalui ujian pengimejan ultrasound ketika tempoh-tempoh awal janji temu berkala dengan doktor namun majoriti mereka akan mengambil kedudukan verteks OA semula apabila menghampiri tempoh cukup bulan untuk dilahirkan. Malangnya, segelintir daripada mereka akan mengalami keadaan di mana bayi tersebut tidak berada dalam posisi verteks OA apabila semakin dekat dengan tempoh bersalin.

Breech presentation ini berupaya untuk membawa kepada komplikasi lain yang boleh mengancam nyawa si ibu dan juga si bayi. Antara komplikasi yang berkait rapat dengan keadaan ini, dan berupaya menyebabkan kematian sekitar proses bersalin (perinatal mortality) adalah prolaps tali pusat, asfixia ketika bersalin dan juga kepala bayi tersekat.

Pendarahan pasca-bersalin

Pendarahan pasca-bersalin adalah salah satu komplikasi yang cukup digeruni oleh pakar perubatan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), keadaan ini adalah punca kematian ibu utama dunia, dengan anggaran 35% daripada keseluruhan kematian ibu mengandung disebabkan olehnya. Menurut WHO lagi, dianggarkan seramai 14 juta wanita menghidap PPH setahun, dengan kadar kematian majoritinya berlaku dalam negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Keadaan ini boleh disebabkan oleh beberapa perkara dan akronim yang digunakan untuk pengelasan punca-punca pendarahan pasca-bersalin adalah ‘4T.’ 4T merujuk kepada Tone, Trauma, Thrombin dan juga Tissue. Tone di sini merujuk kepada tona rahim, khususnya ketiadaan tona rahim (uterine atony). Ini adalah punca utama mengapa terjadinya pendarah pasca-bersalin dan ketiadaan tona rahim menyebabkan ianya tidak mampu untuk mengecut, atau tidak mampu untuk mengecut dengan cepat. Pentingnya untuk ia mengecut adalah untuk menutup kebocoran salur darah selepas uri dipisahkan daripada dinding rahim. Punca di bawah tajuk Trauma pula merujuk kepada mana-mana bahagian sistem reproduktif yang terlibat dalam proses bersalin, yang tercedera sehingga pendarahan banyak berlaku. Tissue pula merujuk kepada uri atau cebisan uri yang mungkin tertinggal di dalam rahim dan tidak habis dikeluarkan. Memandangkan ianya kaya dengan salur darah, kewujudannya dalam rahim secara berterusan akan menyebabkan pendarahan terus-menerus berlaku. Akhir sekali, Thrombin di sini merujuk kepada masalah-masalah atau keadaan kesihatan yang berkait rapat dengan faktor darah pesakit, khususnya jika pesakit mempunyai keadaan kesihatan atau penyakit yang menyebabkan proses penutupan luka dan pemberhentian pendarahan mereka terjejas. Contoh keadaan yang dimaksudkan adalah Haemophilia.

Kekoyakan faraj/perineum darjah tinggi

Kekoyakan perineum akibat proses bersalin adalah sesuatu yang sangat lazim berlaku. Malahan, kekoyakan ini, dalam kebanyakan kes, adalah perlu untuk memudahkan pengeluaran bayi tersebut. Untuk tujuan itu, doktor mungkin akan melakukan guntingan episiotomi bagi membuka ruangan untuk bayi tersebut keluar. Namun yang demikian, kekoyakan perineum melalui guntingan episiotomi adalah sesuatu yang terkawal dan pada darjah koyak yang lebih rendah. Darjah kekoyakan perineum ini terbahagi kepada 4 dan darjah 4 adalah yang paling teruk, membabitkan kekoyakan yang mencapai lapisan epitelium anus, sehingga terbentuknya laluan antara epitelium faraj dan juga epitelium anus.

Untuk kekoyakan darjah satu atau dua, komplikasi jangka masa panjang adalah sangat jarang berlaku. Untuk kekoyakan perineum darjah tiga dan empat pula, 60 hingga 80% daripada wanita tidak mengalami apa-apa simptom atau komplikasi dalam masa 12 bulan pertama. Komplikasi yang mungkin berlaku adalah tidak lawas membuang air besar, rasa sakit di bahagian tersebut ketika melakukan hubungan seks dengan pasangan dan juga rasa sakit perineum yang kronik. Namun yang demikian, walaupun tidak lazim keterjadian komplikasi-komplikasi ini, ianya boleh kekal selama-lamanya pada pesakit, khususnya rasa sakit kronik di bahagian perineum.

Setelah beberapa lama membawa kandungan, tempoh untuk melahirkan dan mendukung zuriat hasil cinta anda pasangan akhirnya hampir tiba. Dengan persediaan dan pengetahuan yang mencukupi (khususnya tentang persediaan untuk bersalin dan juga tanda bersalin), serta penjagaan yang rapi daripada pihak perubatan, risiko-risiko dan komplikasi berkaitan bersalin dapat dikurangkan seminimum yang mungkin. Kelahiran zuriat adalah satu rezeki daripada tuhan yang perlu disyukuri dan amanah yang perlu dijaga sebaik mungkin. Sekiranya anda risau akan kesihatan anda dan kandungan anda, berjumpalah dengan doktor anda demi mendapatkan nasihat yang tepat dan pilihan rawatan yang terbaik.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan