backup og meta

Mama, Ini Persiapan Untuk Anda Bersalin Normal Ataupun C-Section!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 21/06/2021

    Mama, Ini Persiapan Untuk Anda Bersalin Normal Ataupun C-Section!

    Bakal ibu, ini merupakan salah satu pengetahuan penting yang perlu ada; ilmu persediaan sebelum bersalin dan persediaan selepas bersalin untuk memastikan anda tidak melengahkan proses penting berkaitan dengan kelahiran zuriat anda.

    Setelah anda memasuki tempoh trimester ketiga, semestinya anda sudah mula merasa gemuruh dan menghitung hari.

    Namun, anda perlu tahu bukan semua wanita mengandung akan mengecapi tempoh 40 minggu kehamilan.

    Justeru, perkara sebenar yang perlu anda peka adalah tanda bersalin

    Ingin mengetahui tarikh jangkaan bersalin anda dengan lebih tepat? Kira EDD anda di kalkulator tarikh bersalin kami.

    Untuk mengetahui persediaan sebelum bersalin buat bakal ibu, jom teruskan pembacaan anda.

    Apa persediaan sebelum dan selepas bersalin?

    persediaan sebelum bersalin

    Perlu diingat, ada wanita hamil yang mengalami tanda bersalin sebelum minggu ke-40 dan ada juga yang lebih awal iaitu dalam kalangan ibu yang melahirkan bayi pramatang.

    Secara amnya, tiada perbezaan yang ketara antara tanda bersalin untuk kehamilan pramatang dengan tanda bersalin untuk kandungan yang cukup bulan.

    Berikut merupakan tanda bersalin lazim yang perlu anda ambil tahu, mudah untuk anda melakukan persediaan sebelum bersalin:

    1. Rasa sakit belakang, selalunya pada bahagian bawah belakang (pinggang). Tanda bersalin ini mungkin berlaku sekejap-sekejap atau berterusan, tetapi ia tidak akan lega sehingga anda menukar posisi atau melakukan sesuatu yang menyelesakan anda.
    2. Kontraksi setiap 10 minit atau lebih kerap. Tanda bersalin ini berlaku akibat rahim anda yang mengeras kemudiannya regang secara berselang-seli. Untuk sesetengah wanita, mereka mengatakan rasa sakit kontraksi mirip sakit akibat datang bulan yang teruk.
    3. Kejang pada bawah abdomen atau seperti sakit senggugut. Rasa sakit untuk tanda bersalin ini persis rasa sakit angin yang boleh berlaku akibat cirit-birit.
    4. Keluar cecair dari faraj (pecahnya air ketuban).
    5. Rasa ingin ke tandas atau kerap ke tandas untuk membuang air besar (kesan tekanan kepala bayi pada bahagian usus).
    6. Simptom seperti flu, contohnya loya, muntah, atau cirit-birit. Hubungi doktor anda walaupun anda mengalami kes ringan. Jika simptom berlanjutan selama lebih 8 jam, anda mesti berjumpa dengan doktor.
    7. Tekanan dalam pelvis atau faraj meningkat.
    8. Pengeluaran lendir faraj meningkat.
    9. Pendarahan faraj, termasuklah pendarahan ringan.

    Persediaan sebelum bersalin normal

    Ini adalah persediaan untuk bakal ibu yang ingin bersalin normal:

    Persediaan sebelum bersalin bagi mengurangkan risiko koyakan perineum darjah tinggi

    1. Amalkan diet yang sihat demi memastikan bekalan mineral dan vitamin yang mencukupi untuk tisu kulit anda menjadi kuat dan fleksibel.
    2. Bersenam secara konsisten untuk membina dan mengekalkan kesihatan sistem kardiovaskular dan otot yang kuat bagi membolehkan anda mempunyai kekuatan dan stamina semasa meneran. Senaman pranatal yang disyorkan termasuk Yoga, senaman Kegel, dan berjalan kaki.
    3. Si ibu juga harus belajar teknik pernafasan untuk mencegah tekanan semasa bersalin.
    4. Kekalkan berat yang sihat sebelum dan semasa hamil kerana berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya koyakan vagina.
    5. Lakukan urutan perineum (kawasan faraj/vagina hingga dubur) sekali atau dua kali sehari dari minggu ke-34 kehamilan dan seterusnya. Gunakan pelincir kulit seperti minyak mineral, vitamin E atau minyak kelapa. Urutan perineum adalah cara yang cepat dan mudah untuk meningkatkan fleksibiliti lantai pinggul anda bagi mengurangkan risiko berlaku koyakan teruk.

    Bergerak

    Kerap lakukan aktiviti fizikal ringan seperti berjalan untuk memudahkan anda bersalin. Jika larat, anda juga boleh lakukan aktiviti naik turun tangga, namun berhati-hatilah semasa melakukan pergerakan ini.

    Uruskan bulu ari-ari anda

    Kawasan ari-ari yang bersih dan kemas akan membantu anda serta doktor menjalankan sebarang prosedur yang diperlukan ketika proses kelahiran.

    Ini juga akan mengurangkan risiko infeksi yang mungkin berlaku sekiranya bulu ari-ari tidak dicukur sebelum bersalin.

    Oleh itu, pihak hospital selalunya akan menasihatkan anda untuk mencukur bulu ari-ari sebelum diwadkan untuk tujuan keselamatan dan kebersihan.

    Hadiri kelas pranatal

    Selain mendapatkan nasihat daripada ibu atau saudara-mara yang pernah melahirkan bayi, anda juga boleh menghadiri kelas-kelas melahirkan bayi.

    Tujuan kelas ini diadakan adalah untuk menyediakan informasi yang diperlukan ketika bersalin.

    Ini bertujuan untuk memastikan anda dapat membuat keputusan yang sebetulnya selain mengurangkan perasaan takut anda.

    Berikut merupakan beberapa perkara asas yang anda akan pelajari sepanjang mengikuti kelas-kelas tersebut:

    1. Tanda-tanda kelahiran.
    2. Progres kelahiran yang normal.
    3. Teknik menghadapi kesakitan.
    4. Sokongan pasangan dalam persediaan sebelum bersalin dan persediaan selepas bersalin.
    5. Bila waktu yang sesuai untuk menghubungi doktor atau jururawat.

    Persediaan bersalin yang khusus untuk C-section

    persediaan sebelum bersalin

    Pembedahan C-section atau cesarean melibatkan kelahiran bayi melalui potongan surgeri pada abdomen dan uterus wanita.

    Pembedahan C-section ini boleh dilakukan secara sukarela (elective) atau berdasarkan indikasi kesihatan yang mendesak seperti keadaan kehamilan yang berpotensi untuk mengakibatkan komplikasi.

    Kebanyakan daripada persediaan sebelum bersalin untuk C-section akan diberitahu oleh doktor anda terlebih dahulu khususnya jika ia adalah pembedahan yang sukarela.

    Berikut merupakan persediaan sebelum bersalin untuk kelahiran C-section:

    1. Beberapa minggu sebelum tarikh kelahiran, anda perlu pergi ke hospital untuk menghantar borang prapendaftaran anda.

    2. Malam sebelum tarikh kelahiran, anda perlu menyiapkan prosedur prapembedahan.

    Pertama, anda akan menjalani anesthesia epidural, yang melibatkan suntikan di belakang badan anda untuk membuatkan anda kebas semasa menjalani pembedahan.

    Kemudian, anda akan dikateter bagi mengelakkan anda bangun untuk ke bilik air semasa 24 jam pertama pemulihan. Memandangkan ini bukanlah merupakan prosedur yang menyelesakan, pastikan anda bertanya kepada doktor untuk mendapatkan epidural dahulu sebelum memasukkan kateter.

    Selepas itu, anda akan diberikan sejenis ubat yang digunakan untuk mengosongkan asid cecair perut anda. Anda dibenarkan untuk meminta ubat antiloya, dan berbuat demikian sebelum epidural untuk mengelakkan rasa tidak selesa.

    3. Selain itu, ujian darah tertentu boleh dilakukan sebelum pembedahan mengikut saranan doktor.

    Pemeriksaan darah anda boleh membantu doktor untuk bersedia dengan sebarang perkara yang tidak diingini, seperti jika anda memerlukan pemindahan darah semasa pembedahan C-section berlangsung.

    Perkara terakhir yang anda perlu ingat adalah anda perlu menyiapkan beg untuk ke hospital, yang mengandungi pakaian anda dan kelengkapan diri untuk beberapa hari anda berada di hospital.

    Disebabkan pembedahan C-section mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih berbanding dengan bersalin normal, jadi anda boleh meminta bantuan pasangan atau ahli keluarga anda semasa berpantang di rumah nanti.

    Pastikan juga anda mendapat nasihat doktor yang secukupnya berkaitan penjagaan luka pembedahan.

    Sekiranya anda ada sebarang kemusykilan berkaitan dengan persediaan bersalin untuk kelahiran normal mahupun melalui pembedahan, dapatkan nasihat dan maklumat yang tepat daripada doktor anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 21/06/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan