backup og meta

Perkembangan Janin: Apa yang Perlu Diketahui oleh Pasangan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 25/06/2020

    Perkembangan Janin: Apa yang Perlu Diketahui oleh Pasangan

    Perkembangan janin adalah sesuatu yang sangat diambil berat oleh pasangan suami isteri untuk memastikan perkembangannya sentiasa dapat diperhatikan, dirasai dan dipantau untuk mengelakkan sebarang komplikasi yang boleh menyebabkan janin menjadi tidak aktif. Perkembangan janin boleh diperhatikan mengikut minggu, daripada minggu pertama hinggalah ke minggu ke-40 atau 42. Berikut merupakan perkembangan janin mengikut minggu sehinggalah ke tarikh due date kelahiran bayi.

    Minggu 1

    Minggu pertama kehamilan mungkin mengelirukan. Biasanya pada ketika anda mengetahui anda hamil, anda sudah sekurang-kurangnya 4 minggu dalam fasa kehamilan. Adalah sukar untuk mengetahui tarikh tepat apabila telur anda disenyawakan sementara tarikh mula kitaran haid anda adalah sangat jelas. Atas sebab ini, doktor mengira usia kehamilan anda dengan menggunakan hari pertama haid terakhir anda (last menstrual period).

    Minggu 2

    Sewaktu minggu ini, badan anda mungkin menunjukkan tanda persediaan menerima pembentukan bayi. Pada penghujung minggu ini, telur anda akan dilepaskan, menunggu untuk disenyawakan. Tahukah anda jantina anak anda boleh ditentukan pada waktu ini? Tetapi, anda tidak akan mengetahuinya sehinggalah kehamilan mencapai usia 18 hingga 20 minggu.

    Minggu 3

    Walaupun anda mungkin tidak merasa kehamilan tetapi ada bayi yang tumbuh dan membesar dalam diri anda. Telur yang disenyawakan akan melalui proses pembahagian sel. Selepas 30 jam telur tersebut akan terbahagi kepada dua sel, kemudian 4 sel, kemudian lapan, dan berterusan terbahagi sambil bergerak daripada tiub fallopian ke uterus. Apabila sampai di uterus, kumpulan sel ini kelihatan seperti bebola kecil dan dipanggil embrio. Embrio tersebut akan menjadi berlohong dan diisi dengan cecair- dikenali sebagai blastosis. Berdekatan dengan waktu penghujung minggu, blastosis akan menempel dirinya pada dinding uterus. Proses ini dinamakan implantasi.

    Minggu 4

    Perkembangan janin anda sekarang bersaiz biji popi, iaitu lebih kurang 2 mm. Pada waktu ini bayi anda secara teknikalnya dipanggil embrio. Sewaktu fasa perkembangan ini, sel mula berkembang dalam semua organ penting bayi: otak, jantung, paru-paru, organ dalaman. Tangan dan kaki juga akan mula terbentuk. Untuk menyediakan perlindungan, amniotic sac dan yolk sac akan mula terbentuk di sekitar embrio. Yolk sac akan menyediakan darah dan membantu memberikan nutrien kepada embrio sehinggalah plasenta mengambil alih tugas tersebut.

    Minggu 5

    Anak anda sekarang seperti saiz biji-bijan dan mungkin lebih kelihatan seperti berudu kecil berbanding bayi. Pada saat ini, janin tersebut mempunyai sejumlah besar sel. Tiub neural akan membentuk spinal cord di sepanjang embrio dan membentuk otak, sementara bahagian tengah membesar ke dalam embrio akan membentuk jantung janin. Pada waktu ini, plasenta dan membran lain yang berbentuk jari juga mula berkembang. Nutrien daripada ibu akan menyeberangi plasenta serta membran tersebut untuk membekalkan nutrien kepada janin.

    Minggu 6

    Perkembangan janin anda kini sebesar biji kacang dhal dengan panjang 0.6 cm. Pada minggu keenam, otak dan sistem saraf bayi sedang berkembang pada kadar yang laju. Beg optik di kedua belah sisi janin – yang kemudiannya akan menjadi sebahagian daripada mata – akan berkembang pada minggu ini. Tanda beralun pada janin akan membentuk bahagian dalam telinga, yang telah mula berkembang. Jantung janin akan mula berdegup pada masa ini dan boleh dikesan melalui ultrabunyi. Sistem pencernaan dan pernafasan bayi juga telah terbentuk. Putik sel akan berkembang menjadi tangan dan kaki.

    Minggu 7

    Kandungan anda kini berkembang pantas dan mencapai saiz buah beri, berukuran kira-kira 1.27 cm. Kandungan anda sudah mula menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam rahim. Dalam minggu ini, tali pusat yang menghubungkan anda dan bayi anda mula terbentuk. Tali pusat membekalkan oksigen dan nutrien daripada darah kepada bayi anda di samping menyingkirkan bahan kumuh daripada bayi. Selain itu, paru-paru, buah pinggang dan saluran gastrousus bayi anda berterusan membentuk.

    Minggu 8

    Minggu ini perkembangan janin anda adalah kira-kira saiz kacang merah dengan panjang 2.7 cm. Kandungan akan sentiasa bergerak dan berubah dalam badan anda. Salah satu perubahan ini termasuklah perkembangan jari dan jari kaki. Embrio anda akan mula semakin kelihatan seperti bayi. Sebelum ini jari tangan dan kaki bayi anda bercantum, kini mereka mula terpisah. Bahagian atas bibir bayi, hidungnya yang kecil dan kelopak matanya mula terbentuk.

    Minggu 9

    Bayi anda berkembang pesat dan kini kira-kira saiz sebiji anggur, seberat kira-kira 28 gram dengan kepanjangan kira-kira 2.54 cm. Perkembangan jantung bayi anda hampir selesai, dengan pembahagian kepada empat kamar berasingan. Injap mula terbentuk, menghasilkan denyutan jantung janin yang kuat.

    Minggu 10

    Dalam minggu ini, perkembangan janin anda bersaiz seperti buah zaitun yang seberat 7 gram dan kira-kira 2.54 cm dari kepala ke kaki. Pada minggu ke-10, semua organ-organ bayi telah terbentuk tetapi masih memerlukan masa untuk matang sebelum kelahiran. Tulang dan tulang rawan pada kaki bayi anda sedang terbentuk untuk perkembangan lutut dan buku lali. Pada masa yang sama juga, tangan akan terbentuk dan menjadi kuat. Tulang semakin kuat, dan gigi sedang terbentuk di bawah gusi tetapi tidak akan memecahkan gusi sehinggalah usia bayi sekurang-kurangnya 6 bulan.

    perkembangan janin

    Minggu 11

    Sekarang bayi anda adalah sebesar buah tin dengan panjang lebih kurang 3 cm dari kepala ke kaki. Untuk menyokong pertumbuhan bayi anda, saluran darah anda dalam plasenta semakin meningkat dari segi saiz dan bilangan untuk menyampaikan nutrien yang mencukupi kepada bayi. Bayi anda sekarang bukan lagi embrio dan kini telah membentuk janin. Kepala bayi anda masih berkembang dan kebiasaannya mengambil lebih separuh daripada kepanjangan bayi.

    Minggu 12

    Sekarang perkembangan janin anda bersaiz sebesar limau kasturi dengan berat kira-kira 15 g dengan kepanjangan daripada kepala ke kaki kira-kira 5 cm. Dalam minggu ini, sebahagian besar organ-organ bayi anda sedang berkembang tetapi masih memerlukan masa untuk matang sepenuhnya bagi berfungsi dengan baik. Antara organ-organ yang berkembang, adalah organ-organ dalam sistem pencernaan. Bayi anda sudah mula berlatih pergerakan pencernaan. Ini mungkin melibatkan refleks seperti menggenggam, menghisap dan juga sedu.

    Minggu 13

    Anda kini hamil 13 minggu. Janin anda panjang seperti kacang panjang, iaitu kira-kira 7 cm dari kepala ke kaki dan berat kira-kira 30g. Tali pusat bayi melekat pada plasenta yang semakin membesar yang membekalkan semua keperluan penting kepada bayi anda. Berat plasenta anda kira-kira 30 gram sekarang tetapi akan berkembang menjadi hampir 900 gram. Pita suara bayi anda juga terbentuk.

    Minggu 14

    Selamat datang ke trimester kedua anda! Ini adalah peristiwa penting dalam perkembangan bayi anda. Bayi anda sekarang bersaiz seperti sebiji limau, seberat kira-kira 45 gram dengan panjang sekitar 9 cm dari kepala ke kaki. Dalam minggu ini, rambut / bulu bayi anda akan mula tumbuh. Rambut berkembang bukan sahaja di kepala dan kening malah di seluruh badan. Lapisan bulu nipis yang meliputi bayi anda dipanggil lanugo. Ini membantu menghangatkan bayi anda.

    Minggu 15

    Kini, perkembangan janin semakin berkembang dengan saiz sebiji epal, mempunyai berat sekitar 75 gram dan kepanjangan 10 cm dari kepala ke kaki. Bayi anda terus berkembang dan bergerak tangan dan kakinya. Tidak lama lagi anda akan mula merasa pergerakan bayi anda. Bayi anda juga belajar bagaimana untuk bernafas, menelan dan menghisap dan melakukan amalan seharian ini untuk memahirkan dirinya sebagai persediaan untuk kehidupan selepas kelahiran.

    Minggu 16

    Janin anda berkembang mencapai saiz avokado, seberat kira-kira 100 gram dan kepanjangan sekitar 12 cm dari kepala ke kaki. Tulang belakang dan otot kecil di belakang bayi anda semakin kuat, menjadikan lebih mudah baginya untuk meluruskan badan. Otot-otot di muka bayi anda juga semakin kukuh. Ini bermakna bayi anda boleh membuat ekspresi muka seperti juling, sedih dan tersenyum.

    Minggu 17

    Bayi anda kini sebesar saiz lobak putih (turnip), seberat kira-kira 150 gram dan kepanjangan daripada kepala ke kaki kira-kira 12 cm. Kini, terdapat beberapa lemak terkumpul pada badan bayi anda. Lemak badan bayi anda akan terus berkembang dan menjadi dua pertiga daripada berat badan bayi sewaktu kelahiran. Lemak badan adalah penting untuk memanaskan bayi anda.

    Minggu 18

    Bayi anda kini kira-kira saiz lada benggala, seberat kira-kira 200 gram dan panjang kira-kira 14 cm dari kepala ke kaki. Bayi anda sudah mula bergerak sedikit. Anda boleh berasa bayi anda berpusing dan menendang. Anda juga mungkin merasa bayi anda menguap dan tahu jika dia mempunyai masalah. Telinganya juga sedang berkembang dan akan dapat mendengar suara anda.

    Minggu 19

    Bayi anda sekarang adalah dalam saiz tomato, dengan berat kira-kira 240 gram dan panjang daripada kepala ke kaki sekitar 15 cm. Bayi anda kini dilindungi oleh lapisan lilin putih untuk kulit sensitif. Lapisan lilin ini akan hilang pada akhir kehamilan, jadi bayi pramatang sering diliputi dalam lilin apabila dilahirkan.

    Minggu 20

    Bayi anda kini mempunyai saiz seperti sebiji pisang, kira-kira 25 cm panjang dengan berat sekitar 315 g. Bayi anda kini mengambil lebih banyak ruang dan pertumbuhan berterusan akan memberikan tekanan pada paru-paru, perut, pundi kencing dan buah pinggang anda.

    perkembangan janin

    Minggu 21

    Pada masa ini, perkembangan janin anda sebesar saiz seperti lobak merah. Kepanjangan janin dari kepala ke tumit kira-kira 26.7 cm dan berat kira-kira 340 g. Sebelum ini, air ketuban bertindak seperti kusyen dan memberi sokongan untuk bayi dalam rahim, kini ia mempunyai tujuan lain. Usus bayi anda telah berkembang secukupnya untuk menyerap sedikit air gula, yang ditelan dan melalui sistem pencernaan dalam usus besar. Walau bagaimanapun, sebahagian besar pemakanan bayi disediakan melalui plasenta.

    Minggu 22

    Bayi anda sekarang mempunyai saiz sebesar labu dengan kepanjangan 27.9 cm daripada kepala ke kaki dan berat 453 g. Anak anda sudah mula kelihatan seperti bayi dengan bibir, lekuk mata dan kening sudah semakin jelas. Tunas rasa telah mula terbentuk pada lidah. Bayi kini boleh merasa sentuhan dengan mengusap muka atau menghisap ibu jari, serta merasa bahagian badan yang lain dan melihat cara mereka bergerak.

    Minggu 23

    Pada waktu ini, bayi anda seperti saiz buah mangga besar dengan berat 453 g dan kepanjangan 27.9 cm. Walaupun lemak mula terkumpul dalam badan bayi anda, kulitnya masih longgar dan berkedut. Senaman harian bayi anda melibatkan pergerakan otot pada jari, tangan dan kaki yang dapat anda rasai pada abdomen.

    Minggu 24

    Pada waktu ini perkembangan janin anda seperti saiz jagung, dengan kepanjangan hampir sekaki dan berat sekitar 113 g berbanding minggu lepas. Bayi anda masih menerima oksigen melalui plasenta. Tetapi, apabila dilahirkan, paru-parunya akan mula berfungsi dan dipenuhi oksigen. Bagi menyediakan diri untuk fungsi tersebut, bayi anda akan menghasilkan surfaktan.

    Minggu 25

    Pada masa ini, bayi anda bersaiz seperti sebiji lobak dengan purata berat 680 g dan 37.6 cm panjang daripada kepala ke tumit. Anda mungkin perasan bahawa bayi terjaga untuk sementara waktu dan tidur kebanyakan masa. Anda akan menyedari aktiviti janin dengan lebih mudah apabila anda tidak aktif. Pendengaran bayi anda terus berkembang dan kini dia boleh mendengar suara anda.

    Minggu 26

    Perkembangan janin anda sekarang bersaiz seperti panjang daun bawang daripada kepala ke tumit, iaitu 39 cm dan berat sekitar 750 g. Walaupun mata bayi anda tertutup beberapa bulan yang lepas, tidak lama lagi matanya akan terbuka dan boleh berkelip. Bergantung kepada bangsa atau etnik, sesetengah bayi akan dilahirkan dengan mata hitam atau coklat kehitaman.

    Minggu 27

    Bayi anda kini seperti saiz kubis bunga. Jika bayi anda membesar dengan sihat, beratnya sekitar 900 g dengan kepanjangan 36.8 cm. Daripada permulaan minggu pertama trimester ketiga, bayi anda semakin menyerupai rupanya waktu kelahiran kelak. Walaupun paru-paru, hati, dan sistem imun masih memerlukan masa untuk matang sepenuhnya, jika bayi dilahirkan sekarang, dia masih mempunyai peluang yang baik untuk hidup.

    Minggu 28

    Bayi anda kini bersaiz seperti terung, dengan berat 1 kg dan panjang 38 cm daripada kepala ke tumit. Pada pertemuan pranatal anda yang seterusnya, doktor mungkin akan memaklumkan posisi bayi anda dalam rahim. Bayi dalam kedudukan songsang mungkin perlu dilahirkan dengan pembedahan Caeserean. Masih ada 2 bulan untuk bayi anda berubah kedudukan, jadi jangan risau jika bayi dalam posisi songsang sekarang. Kebanyakan bayi akan berubah posisi dengan sendiri.

    Minggu 29

    Perkembangan janin anda kini bersaiz seperti labu madu, dengan berat kira-kira 1.1 kg dan kepanjangan sekitar 38.1 cm daripada kepala ke tumit. Bayi anda akan terus aktif. Beberapa pergerakan ringan sebelum ini kini telah menjadi pergerakan keras dan bertenaga yang mungkin mengujakan anda. Jika anda menyedari sebarang kekurangan pergerakan, kira bilangan pergerakan bayi anda. Kebiasaannya bayi akan bergerak sekurang-kurangnya 10 kali dalam masa 2 jam.

    Minggu 30

    Bayi anda sekarang bersaiz seperti kubis, dengan berat 1.3 kg dan kepanjangan 40 cm daripada kepala ke tumit. Bayi anda berterusan bertambah berat badan dengan lapisan lemak. Lemak ini membuatkan kulit bayi anda kurang berkedut dan memberikannya kehangatan selepas kelahiran.

    perkembangan janin

    Minggu 31

    Bayi anda kini mempunyai saiz seperti sebiji kelapa, dengan berat 1.5 kg dan kepanjangan 40 cm daripada kepala ke tumit. Pada waktu ini bayi anda membuang air kencing sekitar 250 ml sehari ke dalam air ketuban. Bayi anda juga menelan air ketuban tersebut yang akan digantikan sepenuhnya beberapa kali sehari. Air ketuban berlebihan mungkin menunjukkan bahawa bayi anda tidak menelan dengan normal atau terdapat halangan gastrousus. Air ketuban yang sedikit pula menunjukkan bayi anda tidak kencing dengan betul dan mungkin mempunyai masalah pada buah pinggang atau saluran kencing.

    Minggu 32

    Perkembangan janin anda kini bersaiz seperti kentang, mengambil ruang yang banyak dalam uterus dengan berat sekitar 1.7 kg dan kepanjangan lebih kurang 42.5 cm daripada kepala ke tumit. Bayi anda boleh selamat di luar rahim jika anda bersalin pada waktu ini.

    Minggu 33

    Bayi anda kini mempunyai saiz seperti nanas dengan kepanjangan 43 cm daripada kepala ke tumit dan mempunyai berat sekitar 1.8 kg. Dalam minggu-minggu terakhir sebelum kelahiran ini, berbilion saraf berkembang dalam otak bayi anda membantunya mempelajari persekitaran in-utero (dalam rahim) – bayi anda boleh mendengar, merasa dan dapat melihat sedikit. Mata bayi anda boleh mengesan cahaya dan pupilnya (bahagian hitam mata) boleh mengembang atau mengecil sebagai reaksi kepada cahaya.

    Minggu 34

    Bayi anda kini seperti saiz sebiji tembikai susu, dengan berat sekitar 2.15 kg dan kepanjangan 46 cm daripada kepala ke tumit. Pada waktu ini kebanyakan bayi berada dalam posisi untuk kelahiran dan doktor dapat menentukan jika bayi anda berposisi kepala atau kaki dahulu.

    Minggu 35

    Bayi anda kini bersaiz seperti tembikai kecil, dengan berat 3.8 kg dan kepanjangan lebih kurang 46 cm. Dengan saiz ini, tidak ada ruang dalam uterus untuk bayi bergerak. Disebabkan itu, bilangan pergerakan bayi mungkin berkurang, tetapi bertambah kuat. Lemak sedang terkumpul di sekeliling badan bayi anda, terutamanya sekitar bahu.

    Minggu 36

    Bayi anda sekarang sebesar seperti sayur kubis dengan kepanjangan 47 cm daripada kepala ke tumit dan berat sekitar 2.7 kg.

    Si kubis kecil yang anda perhatikan pada ultrabunyi tersebut bakal membentuk bayi yang berisi. Sekarang, telah ada lemak pada pipi bayi anda, dan otot menghisap yang kuat juga menyumbang kepada wajahnya yang bulat.

    Minggu 37

    Dengan kepanjangan 48 cm daripada kepala ke lutut dan berat sekitar 2.85 kg, anda boleh membandingkannya dengan saiz seikat sawi cina. Pada waktu ini, bayi anda sudah mempunyai koordinasi tubuh yang baik yang membolehkannya mengenggam tangan. Jika perut anda didedahkan kepada cahaya yang terang, bayi anda mungkin akan memandang ke arahnya dari dalam uterus.

    Minggu 38

    Bayi anda sekarang mempunyai saiz seperti batang sayur, dengan kepanjangan sekitar 45 cm daripada kepala ke tumit dan mempunyai berat sekitar 3.2 kg. Lemak kian berkumpul dalam badan bayi anda walaupun pertumbuhannya semakin perlahan sekarang. Anda mungkin menyedari pertambahan berat badan anda telah berkurang atau tiada.

    Minggu 39

    Bayi anda sekarang bersaiz seperti tembikai kecil dengan berat 3.5 kg dan kepanjangan daripada kepala ke kaki lebih kurang 50 cm. Kadangkala, tali pusat mungkin mengelilingi leher bayi. Ini tidak mendatangkan masalah melainkan jika berlaku tekanan kepada tali pusat sewaktu proses kelahiran, pembedahan Cesarean mungkin diperlukan. Tali pusat tersimpul pula jarang sekali berlaku, hanya sekitar 1% daripada semua kehamilan.

    Minggu 40

    Bayi anda sekarang bersaiz seperti sebiji labu kecil dan bersedia untuk kelahiran pada bila-bila masa. Berat bayi anda adalah sekitar 3.4 kg dengan kepanjangan lebih kurang 50.8 cm. Hanya 5% wanita melahirkan pada tarikh kelahiran yang diramalkan, dan ramai ibu yang pertama kali hamil mendapati mereka menunggu sehingga 2 minggu selepas jangkaan waktu kelahiran untuk menemui bayi mereka.

    perkembangan janin

    Minggu 41

    Bayi anda sekarang bersaiz seperti sebiji buah nangka, dengan panjang lebih 50 cm dan berat 3.6 kg. Walaupun bayi selesa berada dalam rahim anda, namun si manja tidak boleh berada di dalam selama-lamanya. Kebanyakan doktor tidak akan membiarkan anda melebihi dua minggu daripada tarikh jangkaan bersalin anda kerana ia boleh meningkatkan risiko komplikasi kepada anda dan bayi.

    Minggu 42

    Mencecah usia 42 minggu kandungan, kehamilan anda sudah dikira sebagai terlebih hari (melebihi tarikh jangkaan bersalin anda). Bagaimanapun, penting untuk anda memahami perkara ini; tidak bermakna kehamilan terlebih hari menunjukkan ada sesuatu berlaku pada bayi anda. Malahan, kebanyakan bayi baru lahir sebenarnya tidak lahir semasa tarikh jangkaan mereka. Sebaliknya, dalam kebanyakan kes, bayi baru lahir hanya tiba dalam 2 minggu tarikh jangkaan bersalin, jadi ini bermakna tiada apa yang perlu dibimbangkan jika bayi anda masih belum lahir semasa tarikh jangkaan. 98% bayi baru lahir tiba sebelum penghujung minggu ke-42, jadi bayi anda berkemungkinan akan tiba lebih awal daripada yang anda jangkakan.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 25/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan