backup og meta

3 Menu Makanan Berpantang Yang BAGUS Bagi Wanita Selepas Bersalin, Jom Try!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/07/2020

    3 Menu Makanan Berpantang Yang BAGUS Bagi Wanita Selepas Bersalin, Jom Try!

    Makanan merupakan topik yang kompleks tidak kiralah bagi bayi, remaja ataupun orang dewasa. Jika dibuka pada mana-mana laman sesawang jualan yang menawarkan buku khidmat nasihat pemakanan, terdapat lebih daripada 50,000 panduan yang dijual. Banyak kan?

    Bagaimana pula dengan makanan bagi wanita selepas bersalin? Adakah ia sama seperti pemakanan yang diambil oleh masyarakat setempat setiap hari?

    Betul ke ada makanan yang tidak boleh diambil oleh wanita selepas bersalin? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut mengenai makanan berpantang.

    Kenapa perlu berpantang?

    Dalam adat orang Melayu, amalan berpantang seringkali dikatakan menyusahkan dan sebahagian daripadanya melibatkan penggunaan wang yang banyak.

    Mana tidaknya, terdapat pelbagai jenis peraturan yang mesti diikuti seperti berurut, bertungku, bengkung, mandian herba dan pilis di dahi. Gaya pemakanan juga tidak terlepas daripada senarai perkara yang perlu dipantangkan.

    Perkara yang perlu anda lakukan bagi memastikan amalan berpantang tersebut tidak bercanggah dengan sistem fisiologi badan adalah bertanyakannya kepada golongan profesional. Jika tidak, sukar untuk anda bezakan sama ada perkara tersebut selaras dengan konsep asas fisiologi atau mitos semata-mata. Banyak je maklumat berkenaan dengan makanan berpantang namun tidak diketahui akan kebaikan sebenarnya atau adakah ia boleh memberikan kemudaratan.

    Sebagai contoh, dakwaan bahawa kononnya pengambilan air yang banyak boleh menyebabkan urat di kaki bengkak. Itu merupakan tanggapan pihak yang tidak bertanggungjawab berdasarkan logik dan tidak bersandarkan kepada ilmu sains. Selepas bersalin, wanita perlu mengambil minuman sekurang-kurangnya 3 liter air bagi memenuhi kehendak badan dalam menyediakan susu untuk si manja.

    Namun, salah ke jika anda ingin berpantang? Tidak sama sekali. Jika perkara tersebut tidak memudaratkan, anda boleh mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan tradisional yang mungkin menjadi pegangan individu dalam keluarga anda. Makanan berpantang juga baik untuk kesihatan secara umum, namun perlu dilihat juga pada makanan tersebut. Jika ragu-ragu, tanyalah kepada doktor, bukan kepada mereka yang hanya beranggapan semata-mata.

    Makanan berpantang bagi wanita

    Dalam artikel ini saya akan menyenaraikan 3 contoh menu makanan berpantang yang boleh diambil bagi mengekalkan nutrisi pada tahap yang optimum. 

    Nasi putih, ayam bakar, selar singgang, ulam pegaga, serunding ikan bilis halia dan bawang putih rangup

    Menu ini nampak ringkas namun ia mengandungi nutrisi makro dan mikro yang lengkap bagi memastikan anda sihat sepanjang tempoh berpantang. Ayam bakar dan ikan selar singgang dapat memberikan sumber protein sementara nasi putih pula diambil bagi mendapatkan sumber karbohidrat. 

    Ulam pegaga yang kaya dengan khasiatnya yang tersendiri dapat memberikan vitamin dan mineral yang mencukupi. Ia juga merupakan sumber serat yang dapat merawat atau mengelakkan masalah sembelit yang lazim dialami oleh wanita selepas bersalin. 

    Jika anda mempunyai masalah berkaitan kewangan, anda boleh pilih di antara ikan selar singgang atau ayam bakar sebagai sumber protein utama. Pastikan jumlah nasi diambil pada kuantiti yang sederhana. Jangan penuh satu pinggan pula.

    Nasi putih, sawi stim, siakap stim dan oren sunkist

    Menu ini juga mempunyai kandungan nutrisi makro dan mikro yang seimbang sebagai makanan berpantang. Nasi putih merupakan sumber tenaga utama diikuti dengan sawi stim dan oren sunkist yang menjadi sumber serat kepada wanita selepas bersalin. Pengambilan serat bersama dengan karbohidrat berpotensi untuk menyeimbangkan perembesan hormon insulin. Ini dapat membantu wanita mengurangkan berat badan selepas bersalin.

    Ikan siakap stim merupakan sumber pemakanan yang dapat memberikan nutrisi utama yang penting buat perkembangan otak si manja. Ini terutamanya penting bagi ibu yang memberi susu badan kepada anak mereka. Ikan mengandungi sumber Docosahexanoic Acid (DHA), Eicosapentanoic Acid (EPA) dan minyak Omega 3 yang sukar didapati dalam makanan lain.

    Namun pengambilan ikan sebagai makanan berpantang perlu dikawal bagi mengelakkan merkuri yang berpotensi untuk membantutkan perkembangan otak si manja. The Food and Drug Administration (FDA), Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) dan The American College of Obstetricians and Gynecologists menyarankan pengambilan makanan laut tidak melebihi 12 auns seminggu. 

    Sukar untuk kita ukur 12 auns itu banyak mana, jadi bagi mengambil langkah berjaga-jaga, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda.

    Lamb chop dengan kuah lada hitam dan sayur brokoli serta lobak merah

    Bagi yang tidak suka makan nasi, terdapat alternatif lain yang lebih western. Lamb chop dapat memberikan sumber protein yang baik. Sayur-sayuran seperti brokoli dan lobak merah pula dapat memberikan serat dan sumber karbohidrat. Campurkan juga dengan jus oren asli bagi mendapatkan vitamin dan mineral lain. Yang penting, kurangkan pengambilan gula.

    Diet yang tinggi protein dan serat boleh membantu mengurangkan berat badan selepas bersalin.

    Persamaan ketiga-tiga menu tersebut

    Jika anda sedar, menu makanan yang tersenarai terdiri daripada sumber nutrisi makro dan mikro yang seimbang. Ia juga kurang minyak dan kaya dengan serat yang dapat memberikan kebaikan kepada wanita khususnya dalam usaha untuk mengembalikan berat badan kepada jisim berat badan normal. Jika anda ingin mencuba hidangan lain, pastikan ia terdiri daripada sumber karbohidrat, protein dan lemak yang berkhasiat.

    Ikan haruan baik untuk sembuhkan luka bersalin?

    Perkara yang sering menjadi punca obsesi doktor terhadap pesakit adalah pemulihan luka bersalin. Tidak kiralah jika anda melahirkan anak melalui czer atau secara normal. Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa pengambilan ikan haruan dalam makanan berpantang boleh mempercepatkan proses pemulihan luka selepas pembedahan namun tiada kajian saintifik yang jelas menunjukkan ia berbuat sedemikian. 

    Betul ke tiada kajian saintifik? Pada tahun 2016, Dr Ahmad Faroukh Musa, seorang pakar bedah kardiotorasik, telah membentangkan kajian beliau berkenaan dengan potensi kesan pemulihan dengan pengambilan ekstrak ikan haruan setelah pembedahan pada Konferens Reka Bentuk dan Inovasi Antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur.

    Seramai 183 orang subjek terlibat di dalam kajian beliau sepanjang tempoh 2012 hingga 2014 di Institut Jantung Negara (IJN). Beliau mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak ikan haruan mempunyai kadar jangkitan luka yang lebih rendah berbanding dengan mereka yang mengambil plasebo. Subjek juga mengalami tahap kesakitan yang rendah berikutan peranan haruan dalam memberikan kesan terhadap reseptor kesakitan.

    Penggunaan soalan kaji selidik profil kesihatan Nottingham telah mendapati bahawa mereka yang mengambil ekstrak haruan mempunyai perubahan positif daripada sudut tenaga, kesakitan, emosi dan kesan fizikal. Jadi secara keseluruhannya, pengambilan ekstrak haruan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit selepas menjalani pembedahan.

    Konklusi

    Apakah makanan yang digemari oleh anda? Perkara penting yang perlu anda ambil kira dalam menetapkan jenis menu berpantang adalah makanan yang digemari oleh anda. Tiada gunanya jika anda benci makan ikan namun keluarga anda menyajikan masakan ikan kepada anda. Itu sedikit sebanyak akan menurunkan selera anda untuk makan seterusnya mempengaruhi aspek penjagaan diri dan anak anda. Jika anda khuatir akan kesan makanan terhadap tahap kesihatan anda, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat perubatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan