backup og meta

Kalkulator Kehamilan: Persediaan ketika Hamil

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 25/06/2020

    Kalkulator Kehamilan: Persediaan ketika Hamil

    Apakah signifikan dalam mengetahui pengiraan melalui kalkulator kehamilan? Pasangan yang sedang mencuba untuk hamil biasanya akan tertanya-tanya bilakah masa terbaik untuk mereka melakukan hubungan kelamin bagi meningkatkan peluang kehamilan. Secara asasnya, dalam semua faktor yang boleh meningkatkan peluang hamil, ovulasi adalah yang paling penting. Dalam kata lain, anda paling cenderung untuk hamil jika melakukan hubungan intim dalam sehari atau semasa ovulasi. Di sinilah perkaitannya dengan pengetahuan berkenaan kalkulator kehamilan. Ovulasi adalah proses di mana sel telur wanita yang sudah matang dikeluarkan daripada ovari ke tiub fallopian.

    Bilakah masa terbaik untuk melakukan hubungan seks jika kami sedang mencuba untuk mendapat anak?

    Sperma boleh hidup dalam tempoh masa selama 3 hingga 5 hari, tetapi telur hanya bertahan selama separuh atau satu hari. Jika mengikut kepercayaan lama, penting untuk anda melakukan hubungan intim setiap hari apabila semakin hampir dengan waktu ovulasi dan wanita dalam keadaan subur. Namun, pendekatan yang ideal adalah untuk melakukan hubungan seks bermula 1 atau 2 hari sebelum ovulasi dan pada hari ovulasi anda. Terdapat kebarangkalian sperma akan menunggu dalam tiub fallopian apabila telur keluar.

    Namun, bilakah masa ovulasi wanita adalah agak samar. Wanita secara semula jadinya mengalami ovulasi kira-kira dua minggu sebelum haid seterusnya – bukan pada pertengahan kitaran seperti yang difikirkan oleh kebanyakan wanita. Jika kitaran haid anda 28 hari, tempoh ovulasi anda adalah pada pertengahan kitaran iaitu pada hari ke-14. Akan tetapi, jika kitaran haid anda 35 hari, anda akan mengalami ovulasi pada hari minggu ketiga, bukannya hari ke-17.

    Bagi mengetahui kemungkinan masa subur , anda boleh cuba menggunakan kalkulator kehamilan kami.

    Bagaimana untuk tahu jika saya mengalami ovulasi?

    kalkulator kehamilan

    Sesetengah wanita akan mengetahui bilakah mereka ovulasi. Walau bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak mendapat sebarang tanda perubahan semasa ovulasi. Jika anda ingin hamil, cuba perhatikan kitaran anda selama dua bulan. Antara tanda-tanda anda mengalami ovulasi ialah:

    • Peningkatan lendir pada bahagian serviks yang kelihatan seperti putih telur
    • Sedikit peningkatan suhu tubuh (kira-kira 0.1 hingga 0.3 darjah Celcius) pada suhu badan asas, atau BBT. Anda boleh mengukurnya setiap pagi semasa bangun tidur, satu atau dua hari selepas ovulasi anda. Anda akan dapat memahami corak kitaran jika anda memerhatikan BBT untuk tempoh beberapa bulan.
    • Jika anda mempunyai masalah untuk mencari waktu sebenar ovulasi, anda boleh mencuba melakukan kit ujian ovulasi.

    Adakah ovulasi berlaku pada hari ke-14?

    Tidak, ovulasi tidak semestinya berlaku pada hari ke-14. Ingat, proses ovulasi bukanlah ditentukan oleh waktu haid anda yang sekarang sebaliknya waktu haid yang akan datang. Jadi, mengetahui purata kitaran haid anda adalah penting. Jika anda mempunyai kitaran haid sekitar 35 hari, ovulasi berlaku pada hari ke-21 (21+14=35).

    Bilakah waktu subur wanita?

    Waktu subur wanita bukanlah merujuk kepada hari ovulasi sahaja. Ia bergantung kepada jangka hayat sperma dan ovum. Kebanyakan sperma akan mati dalam masa beberapa minit selepas ejakulasi. Manakala yang lain akan mampu bertahan selama hingga 5 hari dalam sistem reproduktif wanita. Sementara ovum hanya mampu bertahan selama 24 jam selepas ovulasi.

    Oleh itu, tingkap kesuburan (fertile window) adalah tempoh hari dalam kitaran haid apabila kehamilan mungkin berlaku. Kehamilan secara teknikal hanya mungkin berlaku dalam masa lima hari sebelum ovulasi hingga ke hari ovulasi. Jika kitaran haid anda adalah selama 28 hari, tingkap kesuburan anda adalah sekitar hari ke-9 hingga hari ke-14. Ini disebabkan jangka hayat sperma yang panjang.

    Jika seorang wanita mengadakan hubungan kelamin enam hari sebelum ovulasi, kemungkinan untuk hamil hampir sifar. Sekiranya dia mengadakan hubungan kelamin lima hari sebelum ovulasi, kebarangkalian kehamilannya adalah kira-kira 10%.

    Kebarangkalian kehamilan meningkat secara berterusan sehingga dua hari sebelum dan termasuk hari ovulasi. Pada penghujung ‘tingkap kesuburan’, kebarangkalian kehamilan menurun dengan cepat dan menjelang 12-24 jam selepas ovulasi, seorang wanita tidak lagi dapat hamil semasa kitaran itu.

    Jadi, untuk mengira waktu subur anda, anda perlu mengetahui purata kitaran haid anda. Rekodkan fasa haid anda dengan menggunakan aplikasi telefon pintar yang sesuai seperti diari menstruasi atau kalkulator kehamilan.

    Jika anda merancang untuk tidak hamil, anda perlu mengelakkan hubungan kelamin atau melakukan langkah pencegahan yang sesuai sepanjang tempoh subur tersebut. Pencegahan kehamilan menggunakan pengiraan tingkap kesuburan mungkin tidak akan berkesan 100%, oleh itu, ambil langkah pencegahan lain seperti menggunakan kondom atau mengambil ubat agar lebih selamat.

    Jika haid saya tidak menentu, adakah lebih sukar untuk saya hamil?

    kalkulator kehamilan

    Kebanyakan wanita mengalami 12 kali haid setiap tahun, tetapi sesetengahnya kurang daripada itu dan sesetengah lain melangkau banyak bulan atau langsung tidak haid. Tekanan, senaman berat, penambahan atau penurunan berat badan- kesemua ini boleh mengganggu haid anda. Semakin tidak normal haid anda, semakin sukar untuk meramal masa ovulasi anda.

    Katakanlah kitaran anda 28 hari sebulan, 21 hari pada bulan seterusnya, dan 32 hari pada bulan akan datang. Catat kitaran haid anda untuk setiap bulan. Kemudian, tolak 17 daripada kitaran terpendek anda dan tolak 11 daripada kitaran terpanjang anda. Hari-hari di antara kedua-dua hasil tadi adalah hari subur anda.

    Jika kitaran anda tidak teratur dan lebih daripada 35 hari ataupun lebih lama daripada itu, anda perlu berjumpa dengan pakar fertiliti atau doktor obstetrik – ginekologi untuk memeriksa punca yang menyebabkan kitaran anda tidak teratur, seperti sindrom ovarian polisistik (PCOS), penurunan berat badan yang berlebihan, gangguan tiroid, disfungsi ovari, atau tahap prolaktin yang tinggi.

    Bolehkah jika pasangan hanya mencuba dan berusaha sehingga kehamilan terjadi?

    Ya, anda tidak perlu memantau suhu tubuh asas atau membuat jadual yang rumit jika anda merasakan ianya sukar. Cuma, anda perlu melakukan hubungan intim sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu secara konsisten.

    Apabila anda sudah bersedia sepenuhnya untuk bergelar ibu, itulah masa yang sesuai untuk anda mencuba untuk hamil. Namun, ingatlah untuk mempersiapkan pengetahuan bergelar ibu dan nikmati perjalanan anda sepanjang kehamilan.

    Apa yang perlu dilakukan sekiranya disahkan hamil di trimester pertama?

    Bagi mempersiapkan anda dengan dunia kehamilan, setiap bakal ibu perlu menyediakan senarai yang perlu dilakukan untuk memastikan anda mencapai pertumbuhan dan perkembangan yang betul pada setiap peringkat kehamilan. Jika anda masih keliru, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh anda pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai perlu buat semasa trimester pertama:

    • Cari doktor khas

    Kebanyakan wanita biasanya sudah mempunyai doktor mereka sendiri sebelum mula hamil. Bagaimanapun, tidak mengapa jika anda tiada doktor khas yang memeriksa kesihatan anda. Sebaik sahaja anda disahkan hamil, ini (mencari doktor kehamilan) adalah perkara paling penting yang perlu anda lakukan dalam senarai yang perlu dilakukan semasa trimester pertama.

    • Tinggalkan tabiat buruk anda

    Walaupun sebenarnya ini adalah perkara yang sepatutnya telah lama dilakukan, namun kehamilan adalah salah satu tempoh terpenting di mana anda sememangnya perlu menghentikan kesemua tabiat buruk anda:

    • Hadkan jumlah pengambilan kafein kurang daripada 200 mg sehari untuk mengelakkan keguguran.
    • Bebaskan diri daripada semua bentuk asap rokok, alkohol, penggunaan dadah, dan semua bahaya lain kerana ia boleh meletakkan anda dan bayi kepada risiko mendapat pelbagai komplikasi kehamilan seperti kelahiran pramatang, kehamilan ektopik, keguguran, dan banyak lagi. Ia juga boleh meningkatkan peluang bayi anda mendapat berat badan rendah semasa lahir di mana ia amat dikaitkan dengan kelaziman SIDS (Sindrom Kematian Bayi Mengejut).
    • Kekal sihat

    Penting untuk anda mewujudkan dan mengekalkan amalan gaya hidup yang sihat terutama semasa anda hamil. Ibu hamil perlu memastikan mereka mendapat cukup rehat sepanjang hari, dan tidur yang cukup di malam hari, serta mendapat diet harian yang seimbang bagi menyediakan jumlah vitamin dan mineral secukupnya untuk tubuh ibu dan bayi dalam kandungan. Pengambilan dos tambahan asid folik juga adalah perlu jika anda ingin mengurangkan peluang bayi mendapat kecacatan tiub neural.

    Ibu hamil juga perlu mengelak daripada beremosi negatif dengan cara kerap bersenam dan mengekalkan interaksi yang sihat dengan orang lain. Jika perlu, ibu hamil boleh berjumpa dengan pakar atau ahli psikologi bagi membantu mengurangkan perasaan negatif yang ada dalam diri.

    • Pelajari asas pengetahuan mengenai kehamilan

    Ahli keluarga anda ataupun doktor tidak akan berada sepanjang masa bersama dengan anda. Oleh itu, setiap ibu hamil perlulah mempelajari semua maklumat umum mengenai kehamilan bagi mempersiapkan dan melindungi diri dan bayi. Sebagai bakal ibu, anda perlu tahu apa yang bakal anda lalui semasa kehamilan, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa tempoh ini dan sentiasa berhati-hati dengan simptom bahaya yang boleh berlaku supaya tindakan segera boleh dilakukan.

    • Kalkulator kehamilan

    Kira tempoh kehamilan anda melalui penggunaan kalkulator kehamilan. Kalkulator kehamilan membantu anda untuk lebih bersedia dengan kelahiran bayi. Selain itu, kalkulator kehamilan turut membantu anda dengan keperluan bayi anda, bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku dan sebagai anggaran dalam membantu anda memantau perkembangan bayi anda.

    Bagaimana ingin merahsiakan kehamilan pada trimester pertama?

    kalkulator kehamilan

    Trimester pertama selalunya merupakan tempoh yang paling berisiko buat mana-mana wanita hamil. Jadi, tiada salahnya jika anda ingin merahsiakan kehamilan anda sepanjang 12 minggu terawal kandungan. Kami sediakan beberapa tip di bawah untuk membantu anda menyembunyikan kehamilan.

    • Beritahu atau tidak?

    Terpulang kepada anda untuk beritahu ataupun tidak. Namun, jangan beritahu anak anda yang lain (jika ini bukan kandungan pertama anda) ataupun anak saudara anda. Ini kerana kanak-kanak akan menganggapnya sebagai berita baik dan tidak mustahil mereka akan berkongsi berita ini dengan orang lain. Selain daripada pasangan anda, anda boleh berkongsi rahsia ini dengan orang lain seperti rakan-rakan atau saudara yang anda percayai. Ini boleh membantu memenuhi keinginan anda untuk berkongsi rasa dengan orang lain. Di pejabat pula, meskipun anda tidak memberitahu rakan sekerja anda, tetapi mereka mungkin boleh mengesyaki kehamilan anda berdasarkan penampilan anda sekarang atau juga melihat kepada kelakuan anda. Jika begini, ramai ibu hamil yang memilih untuk ‘menipu sunat’ atau berdalih. Contohnya, ibu akan memberikan alasan tidak boleh minum alkohol (bagi yang bukan Islam) kerana masalah kesihatan – secara teknikalnya, ia benar, ataupun ibu memberi alasan tersalah makan disebabkan itulah mereka mengalami loya-loya dan muntah. Namun, ingatlah bahawa apabila anda memasuki trimester seterusnya, mereka sudah boleh mengetahui ‘penipuan’ anda. Oleh itu, jangan jadikan ianya terlalu rumit, sebaliknya beritahulah secara halus tentang perkara ini.

    • Menyembunyikan loya

    Di tempat kerja, anda perlu menyediakan teh halia, gula-gula lemon atau biskut bagi melegakan masalah tidak sedap perut. Minum air secukupnya supaya tubuh anda boleh membantu melindungi anda daripada rasa loya. Anda juga boleh menggunakan masa rehat anda dengan sebaiknya bagi memberikan anda lebih keselesaan.

    • Menyembunyikan kandungan dengan pakaian

    Selepas beberapa minggu dan anda masih belum mahu mendedahkan kehamilan, jadi anda perlu mencari pakaian yang sesuai untuk menyembunyikan ‘baby bump’ anda. Ibu hamil boleh memakai pakaian yang longgar. Helah lain adalah dengan memakai aksesori yang lebih menonjol seperti anting-anting atau rantai kristal ataupun gelang tangan. Pemakaian aksesori boleh mengalih perhatian orang terhadap perut anda. Selain itu, anda juga boleh mengenakan pakaian yang berwarna gelap ataupun satu warna pakaian sahaja kerana ia boleh memperlihatkan ilusi kurus pada badan anda.

    • Jangan rasa bahawa anda sedang memegang rahsia

    Sekali lagi diingatkan bahawa ini merupakan pilihan anda (sama ada ingin memberitahu orang ataupun tidak). Jika anda berasa tertekan disebabkan memegang rahsia kehamilan anda, minta bantuan rakan anda. Ramai wanita yang menyembunyikan kehamilan mereka dan berhadapan dengan masalah tersebut bersendirian, dan ini adalah tidak baik untuk diri mereka dan bayi dalam kandungan. Lakukan sahaja apa yang anda rasa betul dan terbaik untuk diri anda.

    Bagaimana menjangkakan kelahiran bayi melalui kalkulator kehamilan?

    Pengiraan due date kelahiran bayi bagi seorang ibu hamil adalah dengan mengira sebanyak 40 minggu bermula daripada hari pertama kitaran haid anda yang terakhir. Sekiranya kitaran haid anda berada secara konsisten dalam sekitar 4 minggu, hari tersebut pada kebiasaannya dalam masa dua minggu sebelum anda hamil.

    Walau bagaimanapun, sekiranya anda mengetahui pada hari apakah anda hamil, berkemungkinan anda menjejaki ovulasi anda dan anda mengetahui berkenaan hari di mana telur anda telah disenyawakan. Kita boleh mengira due date kelahiran bayi dengan mengira 38 minggu dari tarikh tersebut.

    Penyedia kemudahan penjagaan kesihatan anda mungkin akan menyemak kembali due date anda sekiranya mereka percaya bahawa target kelahiran tersebut tersasar. Mereka akan mengukur bayi atau janin semasa melakukan pemeriksaan ultrasound, dan sekiranya saiz bayi anda lebih besar atau lebih kecil daripada apa yang dijangkakan, mereka akan menyediakan anda dengan tarikh due date yang baharu. Sudah semestinya due date anda hanyalah sebagai tarikh anggaran. Hanya 1 daripada setiap 20 wanita melahirkan anak mereka pada tarikh due date mereka. Anda akan berada di bilik pembedahan pada bila-bila masa sahaja semasa dalam tempoh dua minggu sebelum dan selepas tarikh due date.

    Dengan mengetahui kalkulator kehamilan, seorang wanita yang hamil dapat mengetahui perkembangan janinnya, keperluan yang dikehendaki oleh janinnya, dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan semasa dalam proses kehamilan. Seorang wanita hamil yang mengetahui kalkulator kehamilan boleh membantunya menghitung usia kehamilannya selain keadaan bayi dan tubuhnya. Kira waktu subur anda di sini.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 25/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan