backup og meta

Buah Zuriat: Fakta atau Mitos Kehamilan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/12/2022

    Buah Zuriat: Fakta atau Mitos Kehamilan

    Pasangan yang sudah berkahwin, pastinya mengimpikan untuk memperolehi cahaya mata, zuriat hasil perkongsian hidup bersama insan yang dicintai. Penantian sememangnya menguji kesabaran. Tidak dinafikan, anda telah melakukan pelbagai usaha untuk hamil. Ada yang mengatakan terdapat sejenis buah, yang dipanggil buah zuriat boleh membantu anda untuk mengandung, benarkah?

    Atau buah zuriat ini mungkin sekadar mitos?

    Jom, teruskan pembacaan anda untuk ketahui manfaat dan kegunaan buah zuriat untuk apa.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Apa itu buah zuriat?

    buah zuriat

    Buah zuriat atau terdapat sesetengah yang memanggilnya sebagai buah Adam dan Hawa, merupakan buah dari pohon yang terdapat banyak di tanah Arab, iaitu di Mekah dan Madinah.

    Dikatakan antara kelebihan ini atau turut dikenali sebagai doum fruit, atau nama saintifiknya, Hyphaene thebaica adalah:

    • Dapat merawat masalah kesuburan sperma lelaki dan ovum wanita
    • Menambah kepekatan air mani lelaki, menguatkan dinding rahim wanita. Ia dikatakan sesuai untuk individu wanita yang pernah mengalami keguguran, mandul dan tidak mempunyai rezeki untuk memiliki zuriat
    • Mengaktifkan sel darah yang baru, dan hormon yang lebih subur tanpa menjejaskan sel-sel lama

    Cara untuk mengambil buah ini sebagai salah satu usaha untuk hamil adalah dengan mengamalkan meminum air rebusan buah zuriat ini, bergantung kepada rezeki masing-masing.

    Kandungan buah zuriat

    Selain dikatakan dapat berfungsi membantu kesuburan, buah zuriat ini juga dikatakan berperanan membantu memberikan kesihatan yang baik dengan melawan dan mencegah penyakit.

    Antara yang terkandung dalam buah ini adalah seperti:

    • Tinggi kandungan serat dan karbohidrat
    • Mempunyai kandungan protein yang tinggi
    • Kandungan kalsium
    • Terdapat kandungan lemak yang sedikit
    • Tinggi kandungan vitamin B1, B2, dan B3
    • Bersifat antikanser, antimikrob
    • Mengandungi antioksidan yang tinggi

    Manfaat buah zuriat

    Selain memberikan manfaat dalam aspek kesuburan, berikut adalah beberapa manfaat lain yang dipercayai dapat diperoleh.

    Antaranya:

    1. Melancarkan haid
    2. Mencegah penuaan
    3. Melawan radikal bebas dan kanser
    4. Meningkatkan stamina dan kecergasan diri
    5. Mengurangkan tindak balas alahan
    6. Mengurangkan tekanan
    7. Mengatasi gangguan pencernaan dan sembelit
    8. Mengurangkan tekanan darah tinggi
    9. Mencegah osteoporosis
    10. Mencegah jangkitan dan keradangan
    11. Mengurangkan masalah dehidrasi
    12. Melancarkan peredaran darah
    13. Merawat saluran darah tersumbat
    14. Mengurangkan rasa sakit dan lenguh sendi

    Jika anda mempunyai rezeki untuk mendapat dan memperolehi buah zuriat ini, tidak salah untuk mencubanya bukan?

    Anggaplah ia sebagai satu ikhtiar dan usaha anda dan pasangan untuk hamil. Jangan pernah putus asa!

    Makanan bantu tingkatkan kesuburan selain buah zuriat

    Tidak salah untuk anda berusaha pelbagai cara untuk hamil. Selain meminum air rebusan buah zuriat, berikut adalah senarai beberapa jenis makanan yang dikatakan dapat membantu meningkatkan kesuburan.

    Selamat berusaha!

    1. Buah sitrus

    sitrus

    Tidak hanya kaya dengan sumber vitamin C yang tinggi, buah-buahan seperti oren, limau gedang dan pelbagai buah-buahan sitrus lain turut mengandungi kalium, kalsium dan vitamin B.

    Buah-buahan ini juga mengandungi folat yang dapat membantu meningkatkan kesuburan dengan mengawal selia ovulasi dan memujudkan persekitaran yang sihat untuk ovum. 

    2. Sayuran berdaun hijau

    Sayuran seperti bayam merupakan antara sumber terbaik untuk mendapatkan nutrien pranatal yang penting seperti kalsium, zat besi – terutama ketika anda sedang dalam kedatangan haid dan folat. 

    Sayuran ini dapat melindungi dan mencegah kecacatan kelahiran bayi pada tumbesaran otak dan tulang belakang yang pesat membangun dalam beberapa minggu pertama kehamilan.

    3. Beri

    Buah beri seperti beri biru atau rasberi tinggi dengan kandungan antioksidan semula jadi dan antiradang fitonutrien – yang membantu meningkatkan kesuburan lelaki dan wanita.

    Seperti buah-buahan sitrus, buah beri juga kaya dengan kandungan folat dan vitamin C, yang dapat membantu perkembangan janin dalam proses tumbesarannya.

    Beri juga dikatakan sebagai sumber serat yang baik dan dapat membantu mengurangkan berat badan, ini kerana wanita yang mempunyai berat badan berlebihan cenderung untuk berdepan dengan isu sukar hamil.

    4. Avokado

    buah zuriat

    Satu cara lagi untuk meningkatkan pengambilan dos harian folat anda adalah menerusi buah avokado.

    Buah berkulit hijau gelap ini mengandungi kandungan vitamin K yang dapat membantu badan menyerap nutrien secara berkesan sambil mengekalkan keseimbangan hormon. Avokado juga tinggi kalium yang berperanan mengawal tekanan darah.

    5. Salmon

    Merupakan alternatif terbaik untuk sumber protein selain daging dan ayam. Ikan berlemak ini adalah kaya dengan sumber omega-3 dan DHA (Docosahexaenoic acid), yang amat penting untuk perkembangan otak dan mata untuk janin di dalam kandungan anda.

    Individu yang mempunyai masalah berat badan dan obesiti, kebiasaannya mengalami masalah kekurangan DHA, jadi pengambilan salmon adalah sumber nutrien yang baik untuk diambil sebelum anda hamil.

    6. Telur

    Telur ayam organik mempunyai kandungan mineral dan vitamin yang tinggi bersama asid amino seperti kolin, yang dapat meningkatkan kualiti folikel.

    Seperti folat, ia dapat membantu mencegah kecacatan kelahiran saraf neural dan membantu dalam perkembangan otak bayi dalam kandungan anda.

    7. Walnut

    usaha untuk hamil

    Setiap kacang mempunyai manfaat yang tersendiri, yang berbeza antara satu sama lain. Kacang walnut kaya dengan serat tinggi dan mengandungi omega-3.

    Kacang ini turut tinggi kandungan magnesium, yang membantu penghasilan progresteron dan meningkatkan bekalan darah ke rahim, sekali gus membantu kesuburan anda.

    Magnesium dapat membantu meredakan simptom morning sickness yang sering dihadapi oleh wanita mengandung pada trimester pertama kehamilan.

    Tetapi kebanyakan kacang mempunyai kandungan kalori yang tinggi, jadi pastikan anda mengehadkan pengambilan harian anda.

    8. Delima

    Buah dengan isi yang berwarna merah ini kaya dengan vitamin C – sumber antioksidan yang baik. Ia juga mengandungi antioksidan lain seperti resveratrol dan merupakan sumber buah-buahan yang mengandungi tiga kali ganda antioksidan berbanding teh hijau.

    Antioksidan dikatakan dapat membantu mencegah gangguan yang boleh menyumbangkan kepada risiko kecacatan dan keguguran. Buah ini juga mempunyai khasiat nutrien kesuburan seperti vitamin A, vitamin E dan vitamin B3, asid folik, kalium dan serat.

    Terdapat kajian juga menyatakan bahawa buah delima ini mempunyai kesan pencegahan terhadap kanser prostat dan payudara. Ia juga dipercayai dapat melindungi otak bayi jika sewaktu dalam kandungan, ibu yang hamil mengambil minuman jus delima.

    9. Buah ara

    usaha untuk hamil

    Buah ara (figs) merupakan buah yang kaya dengan kalsium dan serat, di mana mineral dan vitamin ini membantu menyingkirkan estrogen dan xenoesterogen dari sistem pencernaan sebelum ia diserap.

    Buah yang dikenali sebagai buah tin ini juga memberi manfaat kepada masalah kesihatan sindrom ovari polisistik (PCOS) – PCOS ialah sejenis gangguan pada hormon wanita dan ovulasi.

    Buah ara juga dapat melindungi dari kanser payudara, meningkatkan kepadatan tulang, melindungi sistem kardiovaskular dan mengurangkan tekanan darah tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 19/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan