Alamak, Berat Badan Rollercoaster Selepas Bersalin?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Aduh…masuk minggu ke-25 ni, makin bertambah pulak berat. Risaunya kalau tak turun lepas beranak nanti. Hmmm…pernah dengar mengenai berat badan rollercoaster tak?

Bahaya berat badan rollercoaster?

Walaupun berat yang naik mencanak ketika tempoh kehamilan dikatakan tidak bagus, tetapi ia adalah satu perkara biasa. Ini kerana berat yang naik ketika hamil dan turun selepas bersalin seperti rollercoaster adalah perkara yang akan berlaku, terutamanya dalam kalangan wanita dengan berat badan normal. 

Walau bagaimanapun, penyelidik daripada Marquette University dan University of Michigan mendapati kenaikan berat badan rollercoaster mempunyai hubung kait dengan komplikasi berkaitan kehamilan.

Keadaan ini cenderung untuk berlaku kepada wanita dengan berat normal serta mengalami kenaikan berat rollercoaster ketika kehamilan pertama dan akan mengulanginya untuk kehamilan yang seterusnya. 

Penyelidik juga memberitahu bahawa wanita dengan berat yang berlebihan dikatakan tidak akan mengalami isu berat badan naik turun seperti individu dengan berat normal. Berat normal ditakrifkan dengan nilai BMI kurang daripada 25. 

Kajian yang dilakukan

Berdasarkan analisis sejumlah 24,795 rekod data kelahiran dari tahun 2006 hingga 2013, penyelidik memberitahu bahawa berat yang naik ketika kehamilan pertama dan turun selepas kelahiran, merupakan permulaan kepada sistem rollercoaster yang tidak sihat. 

Ini kerana keadaan ini meningkatkan risiko diabetes, hipertensi, kelahiran caesarean dan macrosomia janin iaitu bayi yang lebih besar daripada berat biasa pada proses kehamilan yang seterusnya.

Hasil kajian

Menurut Profesor Bersekutu di U-M School of Nursing dan School of Public Health, Olga Yakusheva, perkara ini akan memeranjatkan dirinya. Ini kerana beliau beranggapan bahawa jika berat badan naik ketika kehamilan dan turun selepas kelahiran kelahiran pertama, seseorang individu itu tidak akan berdepan sebarang risiko atau komplikasi berkaitan kesihatan pada kehamilan kedua.”

“Dua perkara yang boleh dirumuskan berdasarkan hasil kajian ini. Pertama, jangan sekadar melihat berapa jumlah berat yang naik ketika sesi pemeriksaan kehamilan, tetapi anda perlu mengetahui mengenai corak naik turun yang dialaminya. 

Perkara kedua adalah sesi kaunseling dan pengurusan berat badan perlu diberikan kepada setiap wanita dan bukan hanya melibatkan wanita dengan berat badan yang berlebihan semata-mata,” ujar Olga lagi.

Profesor Emerita Kejururawatan di Marquette, Marianne Weiss berkata, “Wanita berat badan normal akan menerima pertambahan berat yang banyak dan akan kehilangan berat dengan lebih banyak selepas bersalin.”

“Kitaran ini akan berulang pada setiap kehamilan. Walau bagaimanapun, berat badan rollercoaster bukan sekadar berkisarkan mengenai berat yang naik dan turun tetapi ia berkaitan kesan selepas kehamilan yang mungkin akan berlaku,” ujar Marianne.

Kesimpulan

Rasanya setiap wanita mengandung akan menggunakan alasan “makan untuk dua orang” jika mengambil hidangan makanan yang banyak. Namun, sebenarnya mengandung bukanlah tiket untuk anda makan secara membuta tuli. Anda masih perlu menjaga kesihatan dan berat badan sepanjang tempoh kehamilan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: November 19, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 2, 2019