backup og meta

Berdebar & Takut Tunggu Masa Nak Bersalin? Ini 5 Tips BERGUNA Kurangkan Gemuruh Itu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    Berdebar & Takut Tunggu Masa Nak Bersalin? Ini 5 Tips BERGUNA Kurangkan Gemuruh Itu

    Menantikan kelahiran bayi comel anda bukanlah satu perkara yang mudah. Anda perlu bersedia dengan segala persiapan sebelum kelahiran dan selepas kelahiran.

    Segala peralatan berkaitan seperti pakaian dan kelengkapan lain bayi perlu dibeli terlebih dahulu kerana anda tidak mahu menyusahkan diri anda untuk mencarinya selepas bayi anda lahir.

    Di sebalik kerisauan anda terhadap persiapan membeli kelengkapan bayi, ada satu lagi kerisauan yang sering menghantui diri anda iaitu keresahan bagi melahirkan bayi itu sendiri.

    Jika anda sering berasa resah dan gusar berkenaan kelahiran bayi anda, ikuti tip berikut bagi membantu menenangkan diri anda. 

    Tip mengatasi ketakutan kelahiran bayi

    Bagi ibu-ibu yang berasa sedikit gementar mengenai proses kelahiran yang akan dialami, ikuti tip di bawah ini bagi menjadikan anda lebih tenang, relaks dan gembira dalam melalui hari-hari bermakna anda. 

    #1. Pastikan penyebab keresahan anda

    Sesetengah pengalaman boleh memicu ketakutan melampau terhadap proses kelahiran.

    Ini termasuklah sejarah silam seseorang wanita, kes keguguran yang lalu, kesusahan melahirkan anak dan pendedahan terhadap pelbagai kisah-kisah kelahiran yang menakutkan.

    Memahami ketakutan anda ini adalah langkah pertama untuk anda mengurus ketakutan anda.

    #2. Pertimbangkan untuk melakukan terapi

    Satu kajian yang dilaksanakan di Finland menemui bahawa wanita yang mempunyai ketakutan melampau terhadap kelahiran bayi, mempunyai tempoh masa yang lebih pendek dalam melahirkan anak setelah mereka menjalani terapi kognitif (perbualan).

    Oleh itu, cuba sertai terapi untuk membantu mengurangkan tekanan yang anda alami.

    #3. Belajar kemahiran relaksasi

    Anda boleh cuba untuk belajar melakukan meditasi dan senaman pernafasan kerana ia boleh memberikan ketenangan semasa kehamilan dan kelahiran anak.

    Ikuti panduan melalui penggunaan YouTube mengenai bagaimana untuk melakukan meditasi yang sesuai untuk diri anda.

    #4. Kongsikan perasaan ketakutan anda

    Jangan ragu-ragu atau teragak-agak untuk menyatakan kepada doktor atau bidan mengenai apa yang anda rasa.

    Luahan perasaan anda mungkin boleh membantu anda kerana mereka pasti mengetahui cara bagaimana untuk mengurangkan kebimbangan anda. 

    #5. Jauhkan diri daripada persekitaran yang negatif

    Jangan sesekali menonton rancangan televisyen atau video yang menakutkan mengenai kelahiran bayi.

    Anda juga tidak digalakkan untuk membaca cerita-cerita seram atau mendengar pengalaman-pengalaman kelahiran yang menakutkan daripada rakan-rakan anda.

    Ini hanya akan meningkatkan tahap keresahan dalam diri anda. 

    Begitu mudah untuk anda mendapat keresahan berkenaan proses kelahiran, begitu mudah jugalah untuk anda menanganinya kembali.

    Tip-tip yang dikongsikan ini bukanlah satu tip yang sukar, sebaliknya hanyalah langkah-langkah mudah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada.

    Paling penting sekali, letakkan diri anda dalam persekitaran yang positif sepanjang masa. Kelahiran anak adalah saat yang paling bermakna untuk seorang ibu, bukanlah satu penderitaan yang perlu anda takuti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan