Ketahui Cara Berpantang Selepas Bersalin Mengikut Ajaran Islam

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Sebagai orang Melayu, mesti anda sudah biasa terdengar berkenaan dengan tempoh berpantang selepas bersalin kan? Amalan bertungku, berurut, mandian herba dan memakai pilis di dahi adalah tidak asing lagi dalam masyarakat kita namun ramai masih lagi keliru. Adakah ini merupakan adat orang Melayu atau amalan yang dituntut dalam agama Islam. Apakah perkara yang benar-benar dapat membantu si ibu untuk sembuh dalam tempoh selepas bersalin? Ikuti artikel ini untuk tahu berkenaan dengan pantang larang selepas bersalin mengikut Islam.

Berpantang selepas bersalin

Jangan salah faham. Penulis tidak berniat untuk mengkritik individu yang mengamalkan perkara yang disebutkan sewaktu tempoh berpantang untuk kekal sihat. Namun, jangan dianggap perkara tersebut merupakan tuntutan agama yang perlu dipatuhi oleh semua ibu sesudah bersalin. Islam adalah agama yang mudah. Tiada pantang larang yang berupa urutan, mandi herba ataupun calitan di dahi yang wajib dilaksanakan seusai bersalin. 

Tambahan pula, 60 hari tempoh berpantang bagi wanita selepas bersalin yang sering disebut-sebutkan di dalam ajaran agama Islam merupakan tempoh maksimum seorang wanita itu berada dalam keadaan nifas. Tempoh tersebut bergantung kepada mazhab yang dipegang oleh seseorang individu muslim itu. Mazhab Hanbali sebagai contoh, menetapkan 40 hari sebagai tempoh maksimum bagi pengeluaran darah nifas selepas bersalin manakala mazhab Syafie pula menetapkan 60 hari sebagai tempoh maksimum.

Jadi, apakah pantang larang selepas bersalin mengikut Islam yang perlu dipatuhi? Perlukah anda melaburkan masa dan wang kepada kaedah bertungku untuk mengecutkan rahim atau berurut bagi mengembalikan tenaga dan figura badan selepas bersalin? Jawapannya, tidak. Ada pun tidak dilarang sama sekali bagi seseorang individu itu untuk mengamalkan kaedah yang disenaraikan di atas, namun ia bukanlah sesuatu yang diwajibkan dalam ajaran agama Islam.

Sebagai contoh, amalan bertungku yang sering dikatakan sebagai satu kaedah penting bagi mengecutkan saiz rahim. Hakikatnya, tanpa kaedah tersebut, rahim seorang wanita itu akan mengecut secara semula jadi. Hormon oksitosin dan refleks daripada penyusuan badan boleh membantu mempercepatkan proses tersebut. Amalan bertungku bukanlah wajib tetapi ia dapat membantu mengurangkan sakit rengat (seakan-akan senggugut) kesan daripada proses pengecutan rahim.

Kewajipan suami terhadap isteri seusai tempoh bersalin

Jadi, apakah pantang larang selepas bersalin mengikut Islam? Bagi mereka yang berada dalam keadaan nifas, mereka tidak boleh bersolat, berpuasa, memegang kitab suci Al-Quran dan membuat hubungan kelamin dengan suami. Tempoh minimum keluarnya darah ini adalah sekelip mata manakala tempoh maksimumnya bergantung kepada ajaran mazhab yang diikuti.

Mazhab Imam Al-Syafie berpendapat bahawa tempoh maksimum bagi keluarnya darah nifas adalah 60 hari. Jika pendarahan berlaku melebihi tempoh tersebut, ia merupakan darah penyakit. Jika seseorang wanita itu bersih tanpa darah dalam tempoh 15 hari dan ia (darah) kembali semula sebelum lengkap tempoh 60 hari berpantang seperti yang dinyatakan di dalam ajaran mazhab tersebut, darah itu dianggap darah haid dan bukan lagi darah nifas.

Jadi, apa yang perlu suami buat sepanjang tempoh si isteri berpantang? Beri sokongan emosi, galakkan penyusuan badan dan pastikan si ibu mengambil nutrisi yang mencukupi bagi memenuhi kehendak anak untuk menyusu. Jika anda ingin mengamalkan mana-mana kaedah seperti bertungku, berurut atau mandian herba, jika ia tidak menjadi masalah buat kedua-dua pasangan (tidak menyusahkan atau menelan kos perbelanjaan yang tinggi), teruskan. Namun ingat, ia bukan pantang larang selepas bersalin mengikut Islam yang wajib.

Mereka yang mewajibkan amalan tersebut kepada ibu mengandung tidak sedar bahawa perkara tersebut merupakan kemewahan yang bukannya mampu ditanggung oleh semua pasangan suami isteri. Perkara yang membebankan umatnya bukanlah pantang larang selepas bersalin mengikut Islam. Ia cuma sekadar kepercayaan atau adat yang sering disalahertikan. Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk memastikan ia tidak disalah anggap sebagai kewajipan selepas bersalin. Bak kata pepatah  “Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul”.

Tempoh berpantang selepas bersalin menurut sains

Jika hendak dibandingkan pantang larang menurut adat dengan fakta sains yang berteraskan kajian, ia tidaklah sesukar seperti yang diheboh-hebohkan. Pantang larang selepas bersalin mengikut Islam juga tidak menyuruh umatnya melakukan perkara-perkara yang oleh dianggap melecehkan. Tempoh pospartum bagi seorang wanita kebiasaannya berlanjutan sehingga 8 minggu (56-60 hari) selepas bersalin bermula daripada saat bayi dilahirkan. Ia merupakan tempoh yang sukar bagi si ibu memandangkan mereka mengalami perubahan emosi, fizikal dan dalam masa yang sama perlu menjaga bayi yang baru dilahirkan.

3 komponen utama yang perlu dititikberatkan adalah:

  • Rehat yang cukup
  • Pemakanan seimbang
  • Penjagaan faraj terutamanya buat mereka yang mengalami kekoyakan sewaktu bersalin

Terdapat beberapa tips yang boleh diamalkan bagi memastikan kesihatan ibu berada pada tahap yang optimum semasa dalam tempoh berpantang selepas bersalin.

Minum air secukupnya

Banyak komplikasi dan keadaan kesihatan yang sering berlaku disebabkan oleh kekurangan air. Seusai bersalin, ibu perlu minum sekurang-kurangnya 2 hingga 3 liter air sehari bagi memenuhi kehendak badan untuk menyusukan anak. Susu ibu mengandungi komponen air yang tinggi jadi pengambilan air pada kadar tersebut menjadi kepentingan, terutamanya jika si ibu aktif melakukan senaman. 

Pernah dengar tak mitos yang mengatakan jika ibu minum terlalu banyak air boleh menyebabkan urat kembang? Penulis tidak berapa pasti apakah yang dimaksudkan dengan urat, tetapi jika ia merujuk kepada urat di kaki yang lebih dikenali sebagai varicose vein, ia bukan disebabkan oleh pengambilan air yang banyak mahupun “angin” masuk ke dalam urat manusia.

Sukar untuk kita simpulkan mengapa catuan air perlu untuk wanita bersalin pada masa dahulu kala. Namun jika dilihat pada akses untuk mendapatkan air bersih yang sukar buat mereka (ambil air di perigi, jerang air dengan teknik yang betul), itu berkemungkinan merupakan salah satu faktor mengapa mitos ini timbul. Ia lebih merujuk kepada kepayahan untuk mendapatkan sumber air dan bukanlah berteraskan kajian sains.

Amalkan pemakanan seimbang

Perlu ke anda berpantang makanan? Secara amnya, penjagaan pemakanan perlu dilakukan seumur hidup. Tiada larangan spesifik jika gaya pemakanan seimbang diamalkan oleh ibu seusai bersalin. Namun, kenapa banyak pantang larang pemakanan yang timbul dalam kalangan masyarakat melayu? Ada individu yang melarang pengambilan makanan “sejuk” seperti sayur-sayuran (timun dan bayam), buah-buahan (tembikai, betik dan jambu) kerana ia boleh menyebabkan simptom menggigil dan demam selepas tempoh bersalin. Betul ke?

Tiada bukti yang menunjukkan pengambilan makanan tersebut boleh menyebabkan demam. Jika anda mendapat simptom tersebut, anda digalakkan untuk berjumpa dengan doktor memandangkan ia berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan selepas bersalin. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, saranan sukatan pemakanan untuk ibu selepas bersalin sama seperti populasi umum iaitu menggunakan konsep suku-suku-separuh.

Sayur-sayuran dan buah-buahan penting buat mereka kerana ia mempunyai kandungan serat yang tinggi. Masalah sembelit boleh dielakkan dengan pengambilan makanan tersebut. Ia juga mengandungi nutrien lain seperti vitamin A, B, C, zat besi, garam galian seperti kalium, natrium dan asid folik. Jika anda berpantang dengan hanya mengambil bubur, ia jelas menunjukkan bahawa ibu akan kekurangan nutrisi. Ambil makanan yang berkhasiat dan jika anda ingin berpantang, elakkan mengambil makanan ringan dan makanan berminyak.

Jalani kehidupan secara aktif

Penulis percaya bahawa setiap perkara, sebaiknya dilakukan secara bersederhana. Jika anda ingin mengamalkan diet selepas tempoh bersalin bagi mendapatkan bentuk badan yang lebih langsing, lakukannya secara bersederhana. Jika anda ingin mengamalkan senaman, lakukannya secara bersederhana. Tidak semestinya mereka yang sudah bersalin perlu terlantar di atas katil sepanjang hari, sehingga tamat tempoh berpantang. 

Jika anda tidak mempunyai pembantu sewaktu tempoh berpantang, buatlah kerja rumah. Ia merupakan salah satu cara yang mudah buat para ibu untuk kekal aktif terutamanya jika mereka tidak mempunyai pembantu sewaktu tempoh tersebut.

Kesimpulan

Jika anda ingin berpantang selepas bersalin, lakukannya secara sederhana. Ambil makanan yang berkhasiat, minum air secukupnya dan lakukan aktiviti fizikal seperti mengemas rumah. Pantang larang selepas bersalin mengikut Islam dan kajian sains cukup mudah bagi wanita untuk mengamalkannya. Jika anda ingin berurut, bertungku dan sebagainya, ia tidak salah. Namun elakkan daripada menyampaikan maklumat yang tidak diketahui akan kebenarannya untuk mengelakkan salah faham.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Rujukan