Passionflower

Oleh

Kegunaan

Apakah kegunaan passionflower?

Passionflower adalah ubat herba. Ia digunakan untuk masalah tidur (insomnia), gangguan gastrointestinal (GI) yang berkaitan dengan kebimbangan atau kegelisahan, gangguan kebimbangan umum (GAD) dan melegakan simptom yang berkaitan dengan ketagihan dadah narkotik.

Passionflower juga digunakan untuk sawan, histeria, asma, simptom menopaus, gangguan kekurangan tumpuan (ADHD), kegelisahan dan kegembiraan, berdebar-debar, degupan jantung tidak teratur, tekanan darah tinggi, fibromyalgia dan pelega kesakitan.

Sesetengah orang menyapukan passionflower kepada kulit untuk buasir, melecur, sakit dan bengkak (keradangan).

Passionflower boleh diberikan untuk kegunaan lain; tanya doktor atau ahli farmasi anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimanakah passionflower berfungsi?

Tiada kajian yang mencukupi tentang bagaimana herba tambahan ini berfungsi. Sila berbincang dengan ahli herba anda atau doktor untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kajian yang menunjukkan passionflower berfungsi dengan meningkatkan tahap bahan kimia yang dipanggil asid gamma aminobutyric (GABA) dalam otak. GABA merendahkan aktiviti sesetengah sel otak, seterusnya menjadikan anda berasa lebih tenang.

Langkah berjaga-jaga & amaran

Apakah yang saya perlu tahu sebelum mengambil passionflower?

Berunding dengan doktor, ahli farmasi atau ahli herba anda, sekiranya:

  • Anda mengandung atau menyusu badan. Hal ini kerana, semasa anda sedang menjangkakan atau menyusu bayi, anda hanya perlu mengambil ubat seperti yang dinasihatkan doktor
  • Anda mengambil ubat lain. Hal ini termasuklah sebarang pengambilan ubatan yang boleh dibeli tanpa preskripsi
  • Anda mempunyai alergi dengan mana-mana bahan dalam passionflower atau ubatan lain atau herba lain
  • Anda mempunyai penyakit, gangguan atau keadaan perubatan lain
  • Anda mempunyai jenis alergi lain seperti terhadap makanan, pewarna, pengawet atau haiwan

Pengawalan bagi suatu herba tambahan kurang ketat berbanding dengan pengawalan ubat. Banyak kajian diperlukan bagi menentukan keselamatannya. Faedah mengambil herba tambahan ini mestilah melebihi risikonya sebelum digunakan. Sila berunding dengan doktor atau ahli herba anda untuk maklumat lanjut.

Adakah passionflower selamat digunakan?

Kanak-kanak:  Tiada kajian yang mengkaji kesan passionflower pada kanak-kanak. Jadi jangan beri passionflower kepada kanak-kanak tanpa pengawasan doktor.

Ubah dos dewasa yang disyorkan bagi mengira berat badan kanak-kanak.

Mengandung dan menyusu badan:  Tidak cukup maklumat yang boleh dipercayai mengenai keselamatan mengambil passionflower jika anda hamil atau menyusu badan. Ambillah pendapat yang selamat dan elakkan penggunaannya.

Pembedahan:  Berhenti mengambil passionflower sekurang-kurangnya dua minggu sebelum pembedahan yang dijadualkan.

Kesan sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan passionflower?

Passionflower boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan, seperti:

  • Pening
  • Kecelaruan
  • Aksi otot yang tidak sekata
  • Koordinasi
  • Kesedaran yang diubah
  • Salur darah yang meradang
  • Loya
  • Muntah
  • Mengantuk
  • Kadar jantung laju
  • Ritma jantung tidak normal

Tiada maklumat yang cukup bagi mengukur keselamatan passionflower apabila disapukan pada kulit.

Tidak semua orang mengalami kesan-kesan sampingan ini. Terdapat beberapa kesan sampingan lagi yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan terhadap sesuatu kesan sampingan, sila merujuk dengan doktor atau ahli herba anda.

Tindak balas ubat

Apakah ubat yang mempunyai tindak balas dengan passionflower?

Herba tambahan ini mungkin bertindak balas dengan ubatan semasa atau keadaan perubatan anda. Sila berunding dengan doktor atau ahli herba anda sebelum guna.

Ubatan yang mungkin berinteraksi dengan herba ini, termasuk:

  • Ubatan penenang: Mengambil passionflower bersama ubat penenang mungkin menyebabkan terlalu banyak tidur. Beberapa ubat penenang termasuk pentobarbital (Nembutal), phenobarbital (Luminal), secobarbital (Seconal), clonazepam (Klonopin), lorazepam (Ativan), zolpidem (Ambien) dan lain-lain
  • Antiplatelet dan antikoagulan: Passionflower boleh meningkatkan tempoh masa yang darah perlukan untuk beku. Jadi ia dapat memberi kesan pencairan darah yang lebih kuat dan meningkatkan risiko pendarahan. Ubat cair darah termasuk Clopidogrel (Plavix), Warfarin (Coumadin), Aspirin
  • Monoamine oxidase inhibitors (MAOIs): Mengambil passionflower dengan MAOIs mungkin meningkatkan kesan MAOIs, serta kesan sampingan mereka yang berbahaya. Ubat-ubat ini termasuklah Isocarboxazid (Marplan), Phenelzine (Nardil), Tranylcypromine (Parnate)

Penggunaan / Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda sebelum menggunakan ubatan ini.

Apakah dos kebiasaan bagi passionflower?

Ekstrak cecair Passionflower:

Dos yang disyorkan adalah 45 titik setiap hari untuk gangguan kebimbangan umum (GAD).

Dos yang disyorkan adalah 60 titik ekstrak cecair Passionflower gabungan dengan 0.8 mg clonidine bagi mengurangkan simptom yang berkaitan dengan gian ubat narkotik.

Tablet passionflower:

90 mg/hari juga telah digunakan untuk merawat gangguan kebimbangan umum (GAD).

Teh Passionflower:

Rendam 0.5 hingga 2 g herba kering dalam 1 cawan air yang mendidih selama 10 minit; tapis dan sejukkan.

Untuk merawat kegelisahan, minum 3 hingga 4 cawan setiap hari.

Untuk merawat insomnia, minum 1 cawan sejam sebelum tidur.

Tinktur Passionflower (1:5 dalam 45% alkohol):

Dos yang disyorkan adalah 10-45 titik, 3 kali sehari.

Dos bagi herba tambahan ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang diambil bergantung kepada umur, kesihatan anda dan beberapa keadaan lain. Herba tambahan tidak selamanya selamat. Sila berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda untuk dos yang sesuai.

Ketersediaan passionflower

Herba tambahan ini boleh didapati dalam bentuk yang berikut:

  • Infusi
  • Teh
  • Ekstrak cecair
  • Tinktur

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 18, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Julai 18, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut