Panax Ginseng

Oleh

Kegunaan

Apakah kegunaan Panax Ginseng?

Panax ginseng adalah tumbuhan yang tumbuh di Korea, timur laut China dan jauh di timur Siberia. Orang menggunakan akarnya untuk membuat ubat. Panax ginseng adalah berbeza daripada ginseng Amerika, ginseng Siberia atau Panax pseudoginseng.

Panax ginseng diambil melalui mulut untuk meningkatkan pemikiran, tumpuan, ingatan, penyakit Alzheimer, kecekapan bekerja, stamina fizikal, mencegah kerosakan otot daripada senaman dan ketahanan atletik.

Sesetengah orang menggunakan Panax ginseng untuk membantu mereka mengatasi stres dan sebagai tonik umum bagi memperbaiki kesejahteraan. Mereka kadangkala memanggil Panax ginseng sebagai “adaptogen” apabila ia digunakan dengan cara ini.

Panax ginseng juga digunakan untuk merawat kemurungan, kegelisahan, kelesuhan umum dan sindrom kelesuan kronik (CFS), sklerosis berbilang, untuk meningkatkan sistem imun dan bagi melawan jangkitan tertentu dalam penyakit paru-paru yang disebut fibrosis sistik. Jangkitan ini disebabkan oleh bakteria bernama Pseudomonas.

Sesetengah orang menggunakan Panax ginseng untuk merawat kanser payudara dan mencegah kanser ovari, kanser hati, kanser paru-paru dan kanser kulit.

Penggunaan lain termasuk rawatan anemia, bronkitis kronik, flu babi, pradiabetes dan diabetes, keradangan lapisan perut (gastritis), demam, mabuk, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), HIV / AIDS, masalah kesuburan dan disfungsi seksual bagi lelaki, untuk meningkatkan rangsangan seksual pada wanita dan asma.

Panax ginseng turut digunakan untuk merawat gangguan pendarahan, hilang selera makan, muntah, masalah usus, batu hempedu, nafas berbau, fibromialgia, masalah tidur (insomnia), sakit saraf, sakit sendi, pening, sakit kepala, hilang pendengaran, sawan, gangguan kehamilan dan kelahiran, hangat memerah akibat menopaus, selesema dan flu, kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, kualiti hidup, kulit berkedut serta melambatkan proses penuaan.

Sesetengah lelaki menyapukan Panax ginseng pada kulit zakar sebagai sebahagian daripada produk pelbagai bahan untuk merawat orgasma awal (ejakulasi pramatang).

Dalam pembuatan, Panax ginseng digunakan untuk membuat sabun, kosmetik dan sebagai perasa dalam minuman.

Bagaimana ia berfungsi?

Tiada kajian yang cukup tentang bagaimana herba tambahan ini berfungsi. Sila berunding dengan doktor atau ahli herba anda untuk maklumat lanjut. Walau bagaimanapun, diketahui bahawa Panax ginseng mengandungi banyak bahan aktif. Bahan-bahan yang dianggap paling penting dipanggil ginsenosides atau panaxosides. Ginsenosides adalah istilah yang dicipta oleh penyelidik Asia, dan istilah panaxosides dipilih oleh penyelidik awal Rusia.

Panax ginseng sering dirujuk sebagai ubatan kesejahteraan umum. Hal ini kerana ia mempengaruhi banyak sistem tubuh yang berbeza.

Langkah berjaga-jaga & Amaran

Apa yang perlu saya tahu sebelum mengambil Panax Ginseng?

Berunding dengan doktor, ahli farmasi atau ahli herba anda, sekiranya:

  • Anda mengandung atau menyusu badan bayi anda. Hal ini kerana, semasa anda sedang menjangkakan atau menyusu bayi, anda hanya perlu mengambil ubat seperti yang dinasihatkan doktor.
  • Anda mengambil ubat lain. Hal ini termasuklah sebarang pengambilan ubatan yang boleh dibeli tanpa preskripsi.
  • Anda mempunyai alergi dengan mana-mana bahan dalam Panax ginseng atau ubatan lain atau herba lain.
  • Anda mempunyai penyakit, gangguan atau keadaan perubatan lain.
  • Anda mempunyai jenis alergi lain seperti terhadap makanan, pewarna, pengawet atau haiwan.

Pengawalan bagi pengambilan herba tambahan kurang ketat berbanding dengan pengawalan bagi pengambilan ubat. Banyak kajian diperlukan bagi menentukan keselamatannya. Faedah mengambil herba tambahan ini mestilah melebihi risikonya sebelum digunakan. Sila berunding dengan doktor atau ahli herba anda untuk maklumat lanjut.

Adakah Panax Ginseng selamat digunakan?

Panax ginseng mungkin selamat digunakan apabila disapukan pada kulit sebagai sebahagian daripada produk pelbagai-bahan (Krim SS), dalam jangka masa pendek.

Panax ginseng mungkin tidak selamat digunakan apabila diambil melalui mulut, jangka masa panjang (lebih daripada enam (6) bulan). Penyelidik berpendapat ia mungkin mempunyai beberapa kesan seperti hormon yang boleh memudaratkan jika guna secara berpanjangan.

Langkah berjaga-jaga & amaran khusus

Mengandung dan menyusu susu: Panax ginseng mungkin tidak selamat diambil melalui mulut semasa mengandung. Salah satu bahan kimia dalam Panax ginseng telah didapati menyebabkan kecacatan kelahiran pada haiwan. Jangan gunakan Panax ginseng sekiranya anda mengandung.

Tidak cukup kajian diketahui tentang keselamatan Panax ginseng semasa menyusu badan. Ambillah pendapat yang selamat dan elakkan penggunaannya.

Bayi dan kanak-kanak: Panax ginseng mungkin tidak selamat digunakan pada bayi dan kanak-kanak. Menggunakan Panax ginseng pada bayi telah dikaitkan dengan keracunan yang boleh membawa maut. Keselamatan Panax ginseng bagi kanak-kanak tidak diketahui. Sehingga diketahui lebih lanjut, jangan gunakan Panax ginseng walaupun pada kanak-kanak yang lebih tua.

“Penyakit auto-immun” seperti sklerosis berbilang (MS), lupus (sistemik lupus erithematosus, SLE), reumatoid artritis (RA) atau keadaan lain: Panax ginseng dilihat dapat meningkatkan aktiviti sistem imun. Ia boleh membuat penyakit auto-imun menjadi lebih teruk. Jangan gunakan Panax ginseng sekiranya anda mempunyai penyakit auto imun.

Penyakit pendarahan: Panax ginseng dilihat mengganggu pembekuan darah. Jangan gunakan Panax ginseng sekiranya anda mengalami penyakit pendarahan.

Penyakit jantung: Panax ginseng boleh menjejaskan ritma jantung dan juga tekanan darah pada hari pertama ia digunakan. Walau bagaimanapun, biasanya tiada perubahan dengan penggunaan yang berterusan. Meskipun begitu, Panax ginseng tidak dibuat kajian pada orang yang menghidap penyakit kardiovaskular. Gunakan Panax ginseng dengan berhati-hati sekiranya anda mempunyai penyakit jantung.

Diabetes: Panax ginseng boleh menurunkan gula dalam darah. Bagi penghidap diabetes yang mengambil ubatan bagi menurunkan gula dalam darah, menambah Panax ginseng akan menurunkan gula dalam darah terlalu banyak. Pantau gula dalam darah anda dengan teliti sekiranya anda mempunyai diabetes dan menggunakan Panax ginseng.

Penyakit sensitif hormon seperti kanser payudara, kanser rahim, kanser ovari, endometriosis, atau fibroid uterin: Panax ginseng mengandungi bahan kimia (ginsenosides) yang boleh bertindak seperti estrogen. Sekiranya anda mempunyai sebarang penyakit yang menjadi bertambah teruk apabila terdedah kepada estrogen, jangan guna Panax ginseng.

Masalah tidur (insomnia): Dos Panax ginseng yang tinggi telah dikaitkan dengan insomnia. Sekiranya anda mempunyai masalah tidur, gunakan Panax ginseng dengan berhati-hati.

Pemindahan organ: Panax ginseng boleh membuatkan sistem imun lebih aktif. Hal ini boleh mengganggu keberkesanan ubatan yang diberi selepas pemindahan organ bagi mengurangkan peluang untuk organ ditolak. Sekiranya anda menerima pemindahan organ, jangan gunakan Panax ginseng.

Skizofrenia (gangguan mental): Dos Panax ginseng yang tinggi telah dikaitkan dengan masalah tidur dan hasutan pada penghidap skizofrenia. Berhati-hati apabila menggunakan Panax ginseng sekiranya anda menghidap skizofrenia.

Kesan Sampingan

Apakah kesan sampingan pengambilan Panax Ginseng?

Kesan sampingan yang paling banyak berlaku adalah masalah tidur (insomnia). Manakala bagi penyakit-penyakit berikut kurang kesan sampingan yang diketahui berlaku, iaitu mengalami masalah haid, sakit payudara, kadar degupan jantung meningkat, tekanan darah tinggi atau rendah, sakit kepala, hilang selera, cirit birit, kegatalan, pening, perubahan mood, pendarahan vagina dan kesan sampingan lain.

Kesan sampingan yang jarang berlaku telah dilaporkan seperti ruam teruk dipanggil sindrom Stevens-Johnson dan reaksi alergi yang teruk.

Tidak semua orang mengalami kesan sampingan ini. Mungkin terdapat beberapa kesan sampingan yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kesan sampingan di atas, sila berjumpa pakar herba atau doktor anda.

Tindak balas

Apakah tindakbalas yang boleh saya alami dengan Panax Ginseng?

Panax ginseng  mungkin bertindak balas dengan ubatan semasa atau keadaan perubatan anda. Sila berunding dengan doktor atau ahli herba anda sebelum guna.

Produk yang mungkin bertindak balas dengan Panax ginseng termasuk:

  • Alkohol

Tubuh badan menghancurkan alkohol untuk menyingkirkannya. Mengambil Panax ginseng boleh meningkatkan tubuh badan pantas menyingkirkan alkohol.

  • Kafein

Kafein boleh menpercepatkan sistem saraf. Dengan menpercepatkan sistem saraf, kafein boleh membuatkan anda berasa gugup dan melajukan detak jantung anda. Panax ginseng juga boleh melajukan sistem saraf. Mengambil Panax ginseng bersama dengan kafein boleh mengakibatkan masalah yang serius termasuk kadar degupan jantung meningkat dan tekanan darah tinggi. Elakkan pengambilan kafein bersama dengan Panax ginseng.

  • Furosemide (Lasix)

Sesetengah saintis beranggapan bahawa Panax ginseng boleh mengurangkan fungsi furosemide (Lasix). Namun tiada maklumat yang cukup untuk mengetahui sekiranya ia kebimbangan terbesar.

  • Insulin

Panax ginseng boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Insulin juga boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Mengambil Panax ginseng bersama dengan insulin boleh menyebabkan gula dalam darah menjadi terlalu rendah. Awasi gula dalam darah anda dengan dekat. Dos insulin anda mungkin perlu diubah.

  • Ubatan yang diubah oleh hati (Substrat sitokrom P450 2D6 (CYP2D6))

Sesetengah ubatan diubah dan dihancurkan oleh hati. Panax ginseng mungkin mengurangkan kepantasan hati menghancurkan sesetengah ubatan. Mengambil Panax ginseng bersama dengan sesetengah ubatan yang diubah oleh hati boleh meningkat kesan dan kesan sampingan ubatan anda. Sebelum mengambil Panax ginseng, maklumkan kepada doktor anda jika anda mengambil sebarang ubatan yang diubah oleh hati.

Sesetengah ubatan yang diubah oleh hati termasuk amitriptyline (Elavil), clozapine (Clozaril), codeine, desipramine (Norpramin), donepezil (Aricept), fentanyl (Duragesic), flecainide (Tambocor), fluoxetine (Prozac), meperidine (Demerol), methadone (Dolophine), metoprolol (Lopressor, Toprol XL), olanzapine (Zyprexa), ondansetron (Zofran), tramadol (Ultram), trazodone (Desyrel) dan lain-lain.

  • Ubatan untuk merawat kemurungan (MAOI)

Panax ginseng boleh merangsang tubuh badan. Sesetengah ubatan yang digunakan untuk merawat kemurungan boleh merangsang badan. Mengambil Panax ginseng bersama ubatan untuk merawat kemurungan boleh mengakibatkan terlalu banyak rangsangan. Hal ini menyebabkan kesan sampingan seperti kegelisahan, sakit kepala, keresahan dan insomnia.

Sesetengah ubatan yang digunakan untuk rawat kemurungan termasuk phenelzine (Nardil), tranylcypromine (Parnate) dan lain-lain.

  • Ubatan untuk merawat diabetes (Ubat antidiabetes)

Panax ginseng boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Ubatan diabetes juga boleh menurunkan kadar gula dalam darah. Mengambil Panax ginseng bersama dengan ubatan diabetes boleh menyebabkan gula dalam darah menjadi terlalu rendah. Awasi gula dalam darah anda dengan dekat. Dos ubatan diabetes anda mungkin perlu diubah.

Sesetengah ubatan untuk merawat diabetes termasuk glimepiride (Amaryl), glyburide (DiaBeta, Glynase PresTab, Micronase), insulin, pioglitazone (Actos), rosiglitazone (Avandia), chlorpropamide (Diabinese), glipizide (Glucotrol), tolbutamide (Orinase) dan lain-lain.

  • Ubatan yang mengurangkan sistem imun (Imunosupresan)

Panax ginseng meningkatkan sistem imun. Dengan meningkatkan sistem imun, Panax ginseng boleh mengurangkan keberkesanan ubatan yang mengurangkan sistem imun.

Sesetengah ubatan yang mengurangkan sistem imun termasuk azathioprine (Imuran), basiliximab (Simulect), cyclosporine (Neoral, Sandimmune), daclizumab (Zenapax), muromonab-CD3 (OKT3, Orthoclone OKT3), mycophenolate (CellCept), tacrolimus (FK506, Prograf), sirolimus (Rapamune), prednisone (Deltasone, Orasone), corticosteroids (glucocorticoids) dan lain-lain.

  • Ubatan yang memperlahan pembekuan darah (Ubat antikoagulan / antiplatelet)

Panax ginseng boleh memperlahan pembekuan darah. Mengambil Panax ginseng bersama dengan ubatan yang juga memperlahan pembekuan darah boleh meningkatkan peluang lebam dan pendarahan.

Sesetengah ubatan yang memperlahan pembekuan darah termasuk aspirin, clopidogrel (Plavix), diclofenac (Voltaren, Cataflam, others), ibuprofen (Advil, Motrin, others), naproxen (Anaprox, Naprosyn, others), dalteparin (Fragmin), enoxaparin (Lovenox), heparin, warfarin (Coumadin) dan lain-lain.

  • Ubat perangsang

Ubat perangsang melajukan sistem saraf, Dengan melajukan sistem saraf, ubatan perangsang boleh membuatkan anda berasa gugup dan melajukan detak jantung. Panax ginseng juga boleh melajukan sistem saraf. Mengambil Panax ginseng bersama dengan ubat perangsang boleh mengakibatkan masalah yang serius termasuk kadar degupan jantung meningkat dan tekanan darah tinggi. Elakkan pengambilan ubat perangsang bersama dengan Panax ginseng.

Sesetengah ubat perangsang termasuk diethylpropion (Tenuate), epinephrine, phentermine (Ionamin), pseudoephedrine (Sudafed) dan banyak lagi.

  • Warfarin (Coumadin)

Warfarin (Coumadin) digunakan untuk memperlahan pembekuan darah. Terdapat beberapa kebimbangan bahawa Panax ginseng boleh mengurangkan keberkesanan warfarin (Coumadin). Tetapi hal ini masih kurang jelas sekiranya tindakbalas ini suatu masalah yang besar. Pastikan darah anda diperiksa dengan kerap. Dos warfarin (Coumadin) anda mungkin perlu diubah.

Penggunaan /Dos

Maklumat yang diberikan tidak menggantikan nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor atau pakar herba anda sebelum menggunakan ubat ini

Apakah dos Panax Ginseng yang biasa digunakan?

Dos berikut telah dikaji dalam kajian saintifik:

Melalui mulut:

  • Untuk penyakit Alzheimer: 4.5 hingga 9 gram akar Panax ginseng setiap hari untuk 12 minggu telah digunakan.
  • Untuk penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD): 100 mg hingga 6 gram Panax ginseng tiga kali setiap hari sehingga 3 bulan telah digunakan.
  • Untuk fungsi mental: 200 hingga 400 mg ekstrak Panax ginseng spesifik (G115, Pharmaton SA, Lugano, Switzerland) diambil sekali setiap hari atau dua dos yang telah dibahagikan sehingga 12 minggu, atau 200 hingga 960 mg sebagai dos tunggal, telah digunakan.
  • Untuk disfungsi erektil: 1400 hingga 2700 mg Panax ginseng, diambil dalam dua atau tiga dos yang telah dibahagikan setiap hari sehingga 12 minggu, telah digunakan.
  • Untuk flu: 200 mg ekstrak Panax ginseng (G115) setiap hari, bermula 4 minggu sebelum mengambil suntikan flu dan bersambung untuk 8 minggu selepasnya, telah digunakan. Selain itu, 1 gram ekstrak Panax ginseng tiga kali setiap hari untuk 12 minggu turut digunakan.
  • Untuk kelesuan berkaitan sclerosis berbilang: 250 mg Panax ginseng duak kali setiap hari untuk 3 bulan telah digunakan.
  • Untuk rangsangan seksual: 3 gram Korean red ginseng, satu bentuk Panax ginseng, setiap hari untuk 8 minggu telah digunakan. Produk kombinasi spesifik (ArginMax untuk Wanita, Syarikat The Daily Wellness), diambil setiap hari untuk 4 minggu turut digunakan.

Disapukan Pada Kulit:

Untuk ejakulasi pramatang: Krim (Krim-SS) mengandungi Panax ginseng dan bahan lain telah disapukan pada glans penis satu jam sebelum persetubuhan dan mencucinya sebelum persetubuhan.

Dos bagi herba tambahan ini mungkin berbeza bagi setiap pesakit. Dos yang diambil bergantung kepada umur, kesihatan anda dan beberapa keadaan lain. Herba tambahan tidak selamanya selamat. Sila berunding dengan doktor atau ahli farmasi anda untuk dos yang sesuai.

Apakah bentuk penyediaan Panax Ginseng?

Panax ginseng tambahan boleh didapati dalam bentuk yang berikut

  • Kapsul.
  • Ekstrak cecair.
  • Tinktur.
  • Teh.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 24, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Mei 24, 2018